Saya tertarik dengan isu yang
hangat diviralkan sejak dua tiga hari lepas mengenai kisah bakal
pengantin yang tidak kesampaian untuk mendirikan rumah tangga gara-gara pihak
pengantin lelaki gagal untuk menyediakan hantaran kahwin sebanyak RM 15,000.
Saya difahamakan pihak pengantin lelaki hanya mampu menyediakan hantaran
sebanyak RM 10,000 sahaja.
Banyak pandangan yang dikongsikan
oleh pengguna Facebook terutamanya mengenai hadis nabi Muhammad s.a.w mengenai
mahar kahwin iaitu “sebaik-baik perempuan adalah rendah mahar kahwinnya”
Memandangakan agak lama mindapaksu
tidak menulis mengenai hal-hal rumah tangga, maka dikesempatan ini, saya ingin
kongsikan sedikit sebanyak pandangan peribadi berkaitan isu mahar kahwin.
Seperti yang kita maklum bahawa mahar
kahwin adalah perkara yang berbeza dengan hantaran kahwin. Mahar kahwin adalah
perkara wajib yang harus diberikan oleh pihak lelaki(bakal suami) kepada
pengantin perempuan(bakal isteri), sedangkan hantaran kahwin adalah sumbangan
sagu hati oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk dibelanjakan seperti
mengadakan majlis perkahwinan dan lain-lain lagi.
Kebanyakan Majlis Agama Islam
Negeri telah meletakkan kadar minima mas kahwin, seperti di Melaka kadar minima
mas kahwin adalah RM 80 (ini bayaran minima yang dikenakan kepada saya
apabila melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012) dan berbeza mengikut
negeri.
Saya kira kebanyakan kita tidak
bermasalah dengan bayaran mas kahwin, dan mungkin paling tinggi pun akan
mencecah RM 2,000(inipun sudah cukup dikira tinggi) mengikut budi bicara keluarga
bakal pengantin.
Namun yang menjadi permasalahan
besar kita adalah nilai hantaran kahwin yang kadang kala begitu tinggi. Ada
sesetengah pihak keluarga meletakkan kadar hantaran kepada pihak lelaki
berdasarkan taraf pendidikan anak-anak mereka seperti graduan diploma RM 10,000
dan graduan ijazah RM 15,000 – 20,000!
Kadar ini bagi seorang graduan
yang baru bekerja di peringkat esekutif dan bergergaji RM 2,500-RM 3,000 memang
di luar kemampuan mereka ditambah pula dengan komitmen bayaran pinjaman PTPTN,
kereta, sewa rumah, wang ihsan kepada ibu bapa dan lain-lain lagi.
Namun terdapat juga sebilangan
kecil pihak lelaki yang mampu untuk memberikan wang hantaran tersebut. Pendek
kata ia bergantung kepada saiz poket kita dan ia merupakan perkara yang agak
subjektif.
Di dalam keadaan ekonomi yang
gawat dengan perlaksanaan GST dan penurunan nilai mata wang negara, agak sukar
untuk pihak keluarga perempuan meletakkan nilai hantaran kahwin yang
rendah seperti sepuluh tahun dahulu dan logik ini kita masih boleh menerimanya.
Memandangkan keadaan sekarang yang
terlalu idealistik untuk memperolehi bakal isteri yang meletakkan hantaran yang
rendah walau diviralkan sekalipun hadis mengenai mahar kahwin, namun ia
tidak mampu merubah keadaan semasa yang mendorong kebanyakan keluarga untuk
merendahkan hantaran kahwin! Sekiranya ada itu rezeki permulaan perkahwinan.
Nah, kalau sudah terjadi keadaan
seperti ini apakah perkara pokok yang seharusnya perlu difahami prinsipnya
secara betul dan adil. Saya fikir pada zaman sekarang, bukan lagi soal hantaran
tinggi atau rendah, namun ia berkaitan soal kasih sayang, kebahagiaan dan
kesejahteran pasangan pengantin.
Biarpun bakal isteri yang
hantarannnya RM 20,000 tetapi memiliki ciri-ciri yang solehah, pandai memasak,
berbudi pekerti, menghormati suami, menjaga aib suami adalah lebih baik
memiliki seorang isteri yang hantarannya adalah RM 5,000 tetapi mempunyai
akhlak yang keji dan tercela!
Sekiranya memiliki isteri yang
hantarannya murah dan akhlak terpuji, itu merupakan rezeki yang melimpah ruah
datang kepada bakal suami, namun sukar untuk mendapatkan dua perkara dalam masa
yang sama memandangkan keadaan ekonomi negara yang sudah gawat.
Saya kira cukup memadai sekiranya
pasangan kedua-dua belah pihak memahami dan mengetahui hadis “sebaik-baik
perempuan adalah rendah maharnya” walaupun mereka tidak beramal kerana mungkin
faktor kemampuan yang terbatas. Namun ia sudah cukup untuk memberi sedikit
keinsafan dan galakan kepada bakal pasangan untuk bersama-sama berusaha ke arah
keluarga yang mawaddah dan warahmah.
Wang hantaran yang tidak mencukupi
secara tak langsung akan mengguris perasaan pihak perempuan memandangakan wang tersebut
sudah pasti sebelum ini telah diputuskan secara bersama oleh kedua-dua belah
pihak.
Perkara yang sudah berlaku biarlah
berlalu dan perlu diambil beberapa pengajaran buat kita sebagai bakal pengantin
mahupun bakal mertua. Biarlah kita secara berbudi dan berbahasa apabila
berhadapan dengan perkara tersebut cubalah kita fikir sedalam-dalamnya dengan
mengutamakan kebahagiaan rumah tangga pasangan dengan merealisasikan impian
suci mereka untuk mendirikan rumah tangga.
Tidak keterlaluan untuk saya
katakan korbankanlah perasaan kekecewaan kita disebabkan wang hantaran yang
tidak mencukupi untuk melihat kebahagiaan mereka kelak yang lebih bermakna.
No comments:
Post a Comment