Ketegangan agama merupakan bom jangka pendek untuk mengeksploitasi
kepentingan sesuatu pihak atau parti sekiranya ia melibatkan kaum
Melayu yang sudah termaktub di dalam perlembagaan adalah mesti seorang Islam.
Saya tidak mahu membahas secara baik dan buruk mengenai definasi Melayu di
dalam rangka perlembagaan negara, kerana fokus saya pada penulisan kali ini
adalah kegagalan mengamalkan Islam secara hujah dan rasional akan menyebabkan bangsa
Melayu menjadi suatu bangsa yang cepat melatah atau mudah dipermain-mainkan
atas eksploitasi agama.
Beberapa tahun yang lepas negara kita dihangatkan dengan isu penggunaan
kalimah Allah untuk digunakan secara inklusif oleh pihak minoriti Kristian di
Semenanjung Malaysia dan wujud seketika ketegangan antara bangsa, agama serta
politik.
Sesetengah politikus menjadikan isu ini sebagai modal untuk
mengeksploitasikan kepelbagaian penganut agama supaya mereka memperolehi laba
poliitk untuk terus mengekalkan kuasa dan pengaruh agama atau bangsa.
Maka pada ketika itu umat Islam diseru untuk bersatu bagi mempertahankan
penggunaan kalimah Allah secara eklusif milik orang Islam di Semenanjung
Malaysia. Secara hemahnya kepelbagaian pendapat perlu dirai dan dihormati di
dalam isu kalimah Allah, dan terpulangkah kepada masing-masing untuk meyakini
hujah tersebut. Pokok pangkalnya isu ini masih lagi di dalam permasalahan
ikhtilaf.
Namun yang menjadi persoalannya adalah sekiranya kita mempertahankan isu
kalimah Allah ini, adakah kita sudah dikira orang yang menghampiri kesempurnaan sebagai
seorang pejuang Islam?
Sebagai contoh kita begitu bersemangat melaungkan laungan takbir, pertahan
Islam, Melayu bersatu Islam berdaulat dan pelbagai slogan yang kita laungkan seolah-olah memberi makna kita adalah sang pejuang agama, dan benarkah begitu?
Peserta yang terlibat di dalam protes ini misalnya ada kalanya kita dapat
lihat, kepala pun tidak bertudung, pakain pula menjolok mata, solat pun
tunggang langgang dan sempat juga bercumbu-cumbuan. Lalu atas rasional apakah
mereka ini bersemangat mempertahankan agama dan tidakkah ia lari dari akhlak seorang pejuang Islam?
Ini etos rakyat biasa dan para pemimpin negara juga tidak terlepas untuk
menjadi politkus agama. Kita dapat lihat bahawa seorang pemimpin Melayu
berapi-api membakar semangat cintakan agama Islam namun terpalit dengan skandal
rasuh dan penyalahgunaan kuasa. Adakah layak pemimpin ini bergelar panglima
Islam?
Saya merasakan permasalahan ini berlaku dek kerana nilai emotional lebih
tinggi dari sifat rational yang ada pada kita di dalam pengamalan agama. Hakikatnya
yang kita pertahankan bukannya Islam tetapi keabsahan dan keberlangsungan
politik bangsa Melayu!
Bagi kita biarpun orang Melayu itu tidak solat dan perasuah, tetapi kita
beranggapan mereka ini mampu menjaga agama Islam dan Melayu adalah tuan besar
di dalam Malaysia. Bangsa selain Melayu tidak ada hak ke atas Malaysia dan
hanyalah seorang pendatang yang harus bersyukur menikmati kesejahteraan hidup
di dalam negara.
Jika mereka cuba menyuarakan hak mereka sebagai rakyat yang minoriti, maka bersedialah
dengan pelbagai labelan seperti mahu lawan Islam, mahu mengkafirkan negara
Malaysia, ingin meliberalkan Malaysia dan ingin merampas hak-hak keistimewaan
orang Melayu.
Ini baru isu kalimah Allah, bayangkan begitu banyak isu-isu sensitif agama
yang dimainkan oleh politikus berniat jahat untuk mengeksploitasikan agama
bertujuan untuk mengekalkan keberlangsungan kuasa politik mereka di tanah air.
Malangnya yang menjadi mangsa adalah Melayu Islam! Begitu mudah maruah kita
menjadi bahan dagangan politikus.
Saya buntu dan tidak pasti bagaimana untuk keluar dari konflik ini. Mereka
yang menjadi mangsa kerakusan politikus ini terdiri daripada seorang peminta
sedekah hinggalah kepada seorang Perdana Menteri.
Apa yang boleh kita
lakukan adalah mencari garis pemisah antara hitam dan putih lalu berhujah di
atas garisan ini untuk membina sebuah keyakinan.
No comments:
Post a Comment