Itulah ungkapan yang boleh dikatakan dalam mukadimah
makalah ini. Apabila menyelesuri jemaah-jemaah yang dikatakan “Islamic” sama
ada di luar atau di dalam negara, para pemimpin atau pengikutnya masing-masing
akan berkempen mengatakan kamilah jemaah Islam yang berlandaskan Al-Quran dan
Hadis nabi s.a.w.
Walaupun secara konteksnya tidak semua pemimpin dan
pengikut beranggapan seperti itu, namun saya yakin dan percaya hampir majoriti
mempunyai iktikad seperti itu, lantas membentuk keyakinan kepada jemaah yang dianutinya.
Saya bukan lagi berbicara soal retorik atau teori
semata-mata kerana saya juga pernah mengikut beberapa program jemaah-jemaah
yang berada di dalam negara.
Apabila bicara soal jemaah, permis yang paling awal untuk
dipertimbangkan adalah soal pengkaderan(recruitment).
Untuk memudahkan proses ini, maka perlulah digunakan bahasa “agama candu”
dengan mengatakan ikutlah kami, kerana kamilah jemaah paling hampir dengan
Al-Quran dan Hadis, atau kamilah jemaah yang paling awal di Malaysia dan
lain-lain lagi.
Tidak cukup dengan itu, untuk menambah keyakinan kepada
proses recruitment, lalu dibentangkan
perbezaan antara jemaah-jemaah yang ada di Malaysia, dan mengkritik
jemaah-jemaah yang tidak sealiran dengan mereka hingga hampir menjadikan jemaah
mereka sajalah yang paling suci. Inilah realiti berjemaah di Malaysia!!
Hampir kesemua jemaah akan mengeluarkan hadis-hadis
kelebihan jemaah seperti hadis daripada Huzaifah r.a.w dan beberapa hadis sahih
lagi untuk dibacakan secara literal kepada pengikut mereka.
Apabila mendengar hadis tersebut, maka jatuhlah kewajipan
kepada pengikut mereka untuk ‘wala’ kepada jemaahnya sekarang. Inilah proses
doktrinisasi untuk mendapatkan ahli.
Sekiranya terdapat pengikut tersebut cuba untuk berhujah
kembali maksud jemaah di luar konteks jemaah mereka, maka individu tersebut
akan dicop sebagai individu yang tidak jelas fikrah. Bagi saya, inilah klimaks
kepada proses pembodohan manusia yang beragama.
Memang terdapat kelebihan di dalam hadis sahih untuk umat
Islam berjemaah dan mengikut pemimpin tersebut serta amaran sekiranya
meninggalkan jemaah.
Ada amaran yang mesejnya adalah keras, seperti mati kafir
sekiranya meninggalkan jemaah atau boleh dibunuh seseorang yang ingin menubuhkan
jemaah baru pada tempat atau kawasan yang sama dan lain-lain lagi.
Mungkin disebabkan kelebihan hadis itu, menyebabkan
masing-masing kumpulan berlumba-lumba untuk mengabsahkan kamilah jemaah yang
disebut dalam hadis tersebut.
Kalau di zaman dahulu, kita mudah untuk mengenal siapakah
jemaah Islam kerana ia wujud sebagai satu khalifah walaupun berlaku perbalahan
dengan khalifah bermula pada zaman Saidina Uthman r.a.w hingga ke hari ini.
Namun naratifnya sekarang kita berbicara soal masa di
zaman ini. Pokoknya siapakah jemaah Islam yang satu ini dan wujudnya khalifah.
Ada beberapa teori ulama klasik tentang siapakah jemaah
Islam. Antaranya adalah golongan majoriti dalam umat, terdapatnya golongan
ulama, pengikut jalan sahabat nabi s.a.w, ijmak para ulama, dan umat Islam yang
duduk di dalam pemerintah seorang khalifah.
Manakala teori ulama kontemporari juga mempunyai variasi
pendapat. Sebahagian ulama mengatakan pada zaman ini tidak lagi wujud jemaah Islam
kerana tiada lagi khilafah dan perlu ada usaha untuk mewujudkan khilafah.
Bagi saya untuk mewujudkan khilafah pada saat ini adalah
kurang praktikal, kerana perjalanan politik di sesebuah negara begitu rumit dan
sukar. Bandingkanlah Malaysia dan Arab Saudi, begitu kompleks bukan demografi
dan budaya antara dua negara ini. Lainlah kalau kita berbicara soal kepimpinan
wahyu seperti Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.
Saya lebih cenderung kepada teori ulama kontemporari yang
berpandangan jemaah Islam ini adalah kita semua umat Islam yang berada di dalam
sesebuah negara yang ketuanya adalah Islam.
Jadi siapakah ketua negara di dalam Malaysia dengan
melihat beberapa konteks hadis? Saya lebih cenderung melihat hadis jemaah dalam
konteks maqasid.
Tujuannya adalah untuk memelihara keharmonian, perdamaian dan
ketenteraman rakyat di dalam sesebuah negara.
Maka tidak hairanlah ada hadis membolehkan pembunuhan
sekiranya berlaku dua jemaah pada tempat yang sama. Hadis tersebut tidak
menyatakan orang soleh atau tidak.
Dalam erti kata yang mudah jika terdapat orang soleh cuba
untuk menubuhkan jemaah baru pada tempat yang sama, maka orang soleh itu juga
boleh dibunuh kerana telah memecahbelahkan masyarakat.
Jadi di dalam Malaysia siapakah ketua yang kita tidak
boleh lawan atau cuba menubuhkan jemaah baru? Adakah parti pemerintah?
Jawapannya adalah institusi Raja atau Agung, kerana baginda adalah ketua negara
di dalam Malaysia atau negeri yang diperintahnya.
Maka apabila kita sudah memahami konsep ini, jadi tidak
timbul lagi jemaah kamilah yang paling suci dan jemaah lain adalah jemaah kelas
kedua, atau jemaah kami yang paling awal.
PAS mungkin mempunyai kredit dalam soal masa, kerana
mereka dikatakan adalah jemaah yang paling awal di dalam Malaysia. Mewujudkan
jemaah-jemaah muslim tidak salah bagi pandangan ulama kontemporari, cuma
sekiranya menganggap kamilah saja yang paling tepat adalah falasi yang boleh
membawa kepada takfiri.
Soal awal atau tidak bukan menjadi ukuran kebenaran
sesuatu jemaah-jemaah muslim. Prof Jaser Audah memberi pandangan bahawa setiap
kumpulan berhak mengabsahkan diri mereka sebagai jemaah Muslim, yang bedanya
adalah gred sahaja. Itupun berdasarkan prestasi kumpulan mereka kepada rakyat.
Dr Yusof Al-Qadhrawi dan Said Hawa yang merupakan orang
kuat Iklhwan melarang mana-mana gerakan siyasi mendakwa diri mereka hanya
jemaah Muslim. Bagi sheikh ia membuka ruang kejahatan. Budaya label-melabel(takfiri) akan dicanangkan bagi individu-individu
yang tidak sealiran dengan mereka.
Saya ingin tegaskan PAS bukanlah jemaah pertama di
Malaysia. Sebelum PAS sudah wujud banyak kumpulan atau jemaah Islam lain
seperti Hizbul Muslimin, UMNO dan lain-lain lagi. YDP PAS yang pertama adalah Ustaz
Ahmad Fuad Hasan yang merupakan orang kuat UMNO. Beliau pernah bertanding untuk
merebut jawatan YDP(Presiden) UMNO, tetapi kalah dan keluar parti.
Kepada jemaah-jemaah yang ada di Malaysia, janganlah
mendabik dada hanya semata-mata jemaah kamu yang mempunyai usrah dimulai dengan
Al-Fatihah dan disudahi dengan surah Al-Asr. Selagi kita muslim, selagi itulah
kita bersaudara dan masih di dalam jemaah muslim yang satu.
Hingga saat ini saya memang alergik(rasa muak) sekiranya
jemaah-jemah atau parti-parti di Malaysia masih lagi mendoktrin
pengikut-pengikut atau sasaran dakwah mereka dengan menganggap kamilah
jemaah/parti Muslim yang paling hampir dengan Al-Quran dan Hadis. Sungguh tiada
kudrat saya untuk melawan projek pembodohan ini!
No comments:
Post a Comment