Saturday, 6 February 2016

Atas Nama Islam Kita Tidak Boleh Bersatu



Saya fikir umat Islam pada hari ini perlu menerima hakikat bahawa kita tidak mungkin boleh bersatu atas idealogi Islam. Biarpun seseorang itu mampu membawa ribuan hadis dan ayat Al-Quran yang dihafalnya untuk diterangkan kepada masyarakat, namun ia tetap akan mewujudkan lompang permusuhan yang semakin ketara.

Ini kerana sekiranya kita membawa seruan atas nama Islam melalui sesuatu wadah maka sudah pasti akan wujud golongan yang tidak sebulu dengan wadah itu. Ini perkara biasa yang kita boleh menerima logiknya. Namun bila melabel golongan yang tidak sebulu dengan wadah kita sebagai penentang agama, Islam celup dan lain-lain lagi ini memang sesuatu perkara yang luar biasa!

Tambahan pula pada masa dan saat ini, kita bukanlah berada dalam period kepimpinan nubuwwh, iaitu kepimpinan yang diwahyukan oleh Allah kepada manusia seperti nabi-nabi terdahulu untuk memimpin. Yang ada mungkin kepimpinan Imam Mahdi di akhir zaman, namun adakah kita sempat melalui zaman tersebut dan adakah kita mengenali Imam Mahdi?

Oleh itu, mahu tidak mahu kita dipaksa perlu memilih untuk berbeza tentang perkara yang berkaitan dengan Islam, apatah lagi sesuatu itu berkisar tentang permasalah furu’ dan cabang. Kita tidak bersetuju dengan seseorang bukan disebabkan oleh kumpulan/jemaah/parti yang mereka anuti, kerana bagi setiap kumpulan secara logiknya mempunyai dasar yang baik.

Namun yang merosakkan sesebuah dasar kumpulan tersebut adalah individu yang berada di dalamnya seperti penyalahgunaan kuasa, pembawaan dasar pemimpin, korupsi dan lain-lain lagi. Sekiranya kita memahami prinsip dan asas ini, saya yakin dan percaya penolakan kita terhadap seseorang bukan disebabkan masalah aqidah dan peribadi tetapi adalah disebabkan fahaman ideologi yang berbeza atau tingkah laku yang merosakkan sesebuah masyarakat.

Sekiranya prinsip ini gagal difahami pula, maka lahirlah golongan yang menganggap golongan mereka sahaja yang mulia. Jadi kesannya lahirlah budaya label-melabel, sesat menyesatkan walaupun pada asalnya mereka mempunyai rukun Islam dan Iman yang sama.

Hakikat yang perlu kita ketahui juga terutamanya umat Islam, mereka tidak mampu untuk memahami asas teori ini dan menyebabkan perkara ini tidak dapat dikurangkan. Peliknya mereka boleh bersatu di bawah satu stadium bola sepak atas nama negara atau negeri, walaupun teman sebelah menyebelah adalah wahabi dan ahbash atau PAS dan AMANAH!

Tetapi itulah realitinya yang berlaku hasil dari pengalaman, pembacaan dan diskusi saya dengan pelbagai lapisan masyarakat bahawa kita boleh bersatu atas nama sukan amnya. Mungkin sukan sifatnya santai, menyeronokkan, dan memuaskan hati sesama kita.

Falasi kita selaku umat Islam adalah meletakkan sesuatu permasalah furu’ kepada permasalahan yang melibatkan aqidah, padahal perkara furu’ itu sampai di akhir zaman pun tetap juga tidak dapat dirungkaikan.

Saya merasakan mungkin keyakinan yang rigid ini disebabkan sifat lokaliti kita yang tidak banyak mengembara dan melihat perbezaan umat Islam dalam perkara-perkara furu’.

Adakalnya saya merasakan jadinya kita seperti ini kerana terlampau Melayu. Keluarga Melayu, kawan baik Melayu, rakan sekerja Melayu, isteri Melayu, cakap pun Melayu dan semuanya Melayu. Ini kerana saya merasakan sifat Melayu yang ada pada kita menyebabkan kita tidak mahu belajar budaya orang China, India, Barat dan sebab itu kita masih terikat dengan skeptik orang Melayu.

Benar tidak salah menjadi orang Melayu kerana Allah yang menjadikan kita bukan? Namun Allah juga menyarankan supaya kita perlu belajar dan mengenali bangsa orang lain supaya kita menjadi orang yang lebih baik dan bertaqwa.

Mungkin penulisan saya ini terlalu idealist dan mengharapkan kesempurnaan. Namun saya percaya generasi yang mendatang akan lebih matang dan boleh hidup secara harmoni dengan pelbagai perbezaan ideologi dan agama.

Barang diingat, asas ini juga bukanlah menjadi lampu hijau untuk kita selaku umat Islam melonggarkan pegangan tauhid dan ajaran Islam kepada Allah.



No comments:

Post a Comment