Tuesday, 26 January 2016

TPPA Pun Salah DAP?


Pembawaan politik yang dipelopori oleh Tuan Guru Haji Hadi mutakhir ini berada di tahap yang kabur dan pelik. Apabila beliau mengeluarkan kenyataan media mengenai pandangan politik di dalam negara maka sudah pasti ia menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan rakyat Malaysia.

Saya terpanggil untuk menulis pandangan peribadi mengenai kenyataan beliau yang mengaitkan sokongan DAP kepada TPPA. Apa yang saya dengar dan tonton sendiri video tersebut jelas TGHH mengaitkan DAP dengan TPPA. Katanya DAP menyokong TPPA disebabkan dasar keterbukaan perdagangan yang menjadikan orang cina menguasai ekonomi TPPA, yang letihnya adalah peniaga-peniaga bumiputera.

Maka di dalam penulisan ini saya akan memfokuskan posisi kaum cina mengenai TPPA memandangkan mereka dijadikan sasaran kritikan terhadap politik perkauman yang sempit bagi memburukkan lagi hubungan antara kaum di dalam negara kita yang sudah kian buruk.

Seperti yang sedia dimaklumi oleh para pembaca, bahawa negara China bukanlah anggota TPPA. China merupakan negara yang mempunyai kuasa ekonomi yang terbesar di dalam dunia kerana secara asasnya mereka mampu mengeluarkan sesuatu barang dalam kuantiti dan kualiti yang baik dengan harga yang murah kerana mereka mempunyai penduduk yang paling ramai di dunia.

Formula mudah untuk difahami adalah semakin banyak penduduk sesuatu negara semakin sukar untuk mendapat pekerjaan dan sekiranya mereka mendapat pekerjaan pastinya mereka akan dibayar dengan harga yang murah. 

TPPA seperti yang kita maklum adalah sebuah rancangan ekonomi yang dibuat oleh Amerika Syarikat. Apabila mereka sudah berjaya menempatkan TPPA di dalam beberapa buah negara ASEAN dan Malaysia tidak terkecuali, ia menunjukkan kepada kita bahawa kehadiran TPPA ini adalah untuk mengimbangi kuasa ekonomi China di rantau ASEAN setelah pada hakikatnya negara-negara ASEAN mempunyai hubungan dagangan yang begitu besar dengan China, terutamanya Malaysia. Buktinya lihatlah begitu banyak barang import yang masuk di dalam negara kita adalah dari buatan China.

Melihat keadaan ini, Amerika Syarikat telah menawarkan satu rancangan ekonomi perdagangan bebas untuk membuka peluang bagi mereka  memasuki sistem ekonomi negara kita. Oleh itu, sudah pasti syarikat-syarikat dari negara-negara TPPA ini kebanyakannya datang dari negara-negara besar seperti Amerika untuk bersaing dengan syarikat-syarikat yang sedia ada di Malaysia.

Apabila wujud persaingan terbuka ini adakah syarikat-syarikat besar Malaysia boleh menandingi syarikat-syarikat yang lebih besar dari Amerika? Walaupun syarikat-syarikat yang ada di Malaysia mungkin sesetengahnya dimiliki oleh orang cina, adakah Amerika akan membenarkan ekonomi ASEAN jatuh kepada orang cina.

Sekiranya mereka membiarkan perdagangan ekonomi jatuh kepada orang cina, maka tidak perlulah mereka memujuk Malaysia untuk memasuki TPPA jika tidak ada imbuhan ekonomi yang diperoleh daripada perjanjian ini. Takkanlah Amerika sebodoh itu, bukan?

Jadi TPPA bukan sahaja akan memusnahkan industri-industri kecil tetapi kesan yang sama turut dirasai oleh industri-industri yang besar di dalam negara kita. Pendek kata ekonomi negara kita diambil untung oleh syarikat luar negara. Seperkara lagi yang perlu difahami apa standardnya syarikat-syarikat luar dari Amerika datang ke Malaysia untuk bersaing dengan industri-industri kecil?

Oleh itu saya kurang bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Haji Hadi yang mengaitkan sokongan DAP terhadap TPPA dan orang cinalah yang paling untung melalui perjanjian TPPA. Saya juga hampir kurang pasti mengapa TGHH acap kali mengaitkan sesuatu kesalahan yang puncanya adalah DAP seperti isu hudud, kerajaan negeri, kepimpinan dalam PAS dan sebagainya.

Kalau kita perhatikan satu persatu isu ini seperti isu TPPA, siapakah yang menandatangani perjanjian TPPA, UMNO atau DAP? Walaupun mungkin kita kurang melihat komitmen DAP untuk menggerakkan ahlinya turun ke demonstrasi jalanan bagi membantah TPPA, tetapi itu bukan kayu ukur untuk menyalahkan DAP. LGE pun sudah mengeluarkan kenyataan supaya ahli parlimen Pakatan Harapan akan menolak undi sokongan terhadap TPPA di parlimen.

Isu hudud pula apabila kita lihat bahawa pimpinan PAS menghentam DAP kerana mereka menghalang PAS untuk membentangkan hudud di parlimen. Logik ini mungkin kita dapat menerima tentangan tersebut kerana kebanyakan DAP adalah bukan Islam, tetapi bagaimana pula UMNO yang Islam sudah menipu PAS bagi membenarkan TGHH membentangkan Akta Persendirian 355 di parlimen?

Tidak cukup dengan itu lagi, ada pimpinan PAS mengaitkan DAP adalah proksi Yahudi Zionis! Memang memalukan kalau begini cara politik sufi pimpinan PAS yang dikatakan ingin membawa politik matang. Habis kesemua kesalahan mereka ingin kaitkan dengan DAP dan kesannya juga terhempias pada AMANAH yang dikatakan menyokong DAP!

Dalam kekalutan negara yang sedang menghadapi dasar-dasar kerajaan yang menindas, peliknya PAS memilih pendekatan penasihat dan bermesra dengan UMNO pula dan menghentam rakan-rakan pembangkang yang lain.

Saya mengakhiri penulisan ini dengan sepotong makna ayat Al-Quran untuk renungan kita bersama

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan (Al-Maidah:8)

2 comments: