Baru-baru
ini saya berkesempatan untuk mengikuti Mesyuarat Agung Tahunan Masjid Permatang
Bendahari, Penaga, Pulau Pinang. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri
mesyuarat agung masjid kampung saya sendiri setelah sekian lama saya mengambil
sikap tidak peduli dengan perjalanan pengurusan masjid.
Banyak
perkara-perkara yang menyebabkan saya mengambil sikap tidak peduli dengan
perjalanan pengurusan masjid. Antaranya sikap tidak mesra pengurusan masjid
dengan golongan muda, ditambah pula kehadiran kami di masjid seperti tidak
diendahkan walaupun berbelas-belas tahun istiqamah menunaikan solat fardhu
berjemaah di sana(mungkin saya pada awal 20an telah mengembara di luar negeri
menuntut ilmu), suara anak muda pula boleh diibaratkan sperti “kanak-kanak ribena”
dan ada di antara kawan saya dimaki hamun dan di’Syiah’kan oleh pengurusan
tertinggi masjid disebabkan menjemput seorang ustaz PAS.
Sebenarnya
inilah hakikat institusi masjid yang berlaku di beberapa buah kawasan Malaysia
yang menampakkan sikap pengurusan masjid begitu kuno dan jauh sama sekali
dengan peranan masjid pada zaman Rasulullah. Mungkin inilah sikap literal orang
Melayu di Malaysia.
Akibatnya
dengan golongan pengurusan masjid yang pasif dan eksklusif ini menyebabkan
mereka lebih banyak menjadi golongan reaktif terhadap isu-isu sensitif agama
dan sosial. Misalnya terdapat sebilangan golongan anak-anak muda yang tertarik
dengan paderi-paderi kristian, anak muda yang suka merempit di jalanan, anak
muda yang terpengaruh dengan gejala syabu dan dadah, anak muda yang suka
“bercouple” dan bermacam-macam lagi gejala yang tidak sihat membelenggu anak
muda.
Bila
timbulnya isu-isu sensitif ini kebanyakan pengurusan masjid akan menjadikan
golongan ini sebagai sasaran kritikan terhadap permasalahan yang berlaku dengan
menyalahkan golongan anak muda sehinggga dikaitkan dengan keturunan-keturunan
mereka.
Saya
bukan bermaksud untuk membela golongan anak muda yang bersalah ini kerana
secara prinsipnya perkara yang salah itu tetap bersalah dan harus dikenakan
hukuman yang setimpal.
Namun
persoalan yang perlu ditimbulkan adalah sikap pihak pengurusan masjid yang
menjadi institusi paling berpengaruh dalam sesuatu daerah dan kampung tidak
banyak melakukan program-program untuk menarik anak-anak muda.
Saya mengambil
contoh apa yang berlaku di dalam masjid kampung saya. Seingat saya yang hampir
bermastautin 22 tahun di kampung ini, hanya sekali program anak muda yang
berjaya dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid pada tahun 1998, iaitu program
kem anak soleh. Selepas itu boleh dikatakan masjid kami lengang dari aktiviti untuk mendekatkan anak muda. Kuliah mingguan pula hampir 10 tahun tidak
aktif hinggalah datang pada awal tahun 2008.
Berbalik
pada cerita mesyuarat agung pula kedatangan saya hanya sebagai “pemerhati
bisu.” Walaupun dalam hati saya dengan darah anak muda yang membuak-buak ini
kalau diusik pastinya akan meletus untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam
hati berbelas-belas tahun.
Yang
menjadi pengurusan tertinggi pula adalah mereka-mereka yang sudahpun melewati
umur senggang. Kelibat anak muda yang berumur bawah 40an sukar untuk dilihat
apatah lagi untuk dilantik menjadi ahli jawatankuasa masjid, memang jauh sama sekali.
Apa mereka tidak fikir, apa akan jadi di masjid suatu hari nanti selepas
ketiadaan mereka?
Perkara
yang terbuku inilah menyebabkan saya mencari medium blog untuk diluahkan di
sini dengan harapan supaya ada di antara anak qariah masjid kampung saya suatu
hari nanti mungkin terbaca penulisan ini untuk dikongsikan kepada pengurusan
masjid.
Saya
tidak mahu mengheret pengurusan masjid memikirkan perkara-perkara yang
terlampau kritis dan kritikal. Apa yang saya harapkan agar mereka dapat
melakukan dua perkara ini dalam tempoh tiga tahun mereka menjadi pengurusan
masjid.
Pertama
saya mohon kepada mereka supaya hidupkan kembali program-program yang boleh
menarik anak muda seperti kem anak soleh, kem ibadah dan seumpama dengannya.
Bagi saya program ini amatlah berbekas kepada golongan muda kerana di situ
mereka boleh berkumpul dan bermain bersama-sama.
Pada
masa yang sama pihak pengurusan boleh memasukkan program-program agama seperti
cara solat jenazah, cara semebelihan haiwan ternakan, tayamum, membetulkan bacaan
Al-Fatihah dan lain-lain.
Selain
itu pihak pengurusan juga boleh membuat program karnival belia sukan untuk
menarik golongan anak muda, seperti pertandingan futsal, badminton, sepak
takraw dan lain-lain lagi. Saya percaya sekiranya perkara ini dapat dilakukan,
memang anak muda begitu berbesar hati untuk mendekatkan diri dengan
masjid. Percayalah!
Keduanya
saya amat mengharapkan pihak pengurusan masjid mewujudkan satu komunikasi
elektronik seperti facebook atau whatsapp untuk sebarang hebahan program atau
kuliah mingguan masjid. Setakat ini sama ada saya sedar atau tidak, memang
tidak wujud komunikasi elektronik ini. Hebahan yang ada adalah melalui hebahan
di waktu solat jumaat dan di white board sahaja. Sudah tiba masanya
pihak pengurusan untuk memikirkan kaedah yang lebih efisyen untuk mewawarkan
segala aktivit masjid agar tidak orang yanag sama sahaja hadir, itupun
kebanyakannya warga emas yang menunggu hari!
Akhirnya,
saya mengharapkan supaya pihak pengurusan masjid menjadi golongan yang proaktif
dan inklusif dalam menetapkan aktiviti-aktiviti masjid. Pendekatan menghukum
itu lebih baik sekiranya disusuli dengan pendekatan-pendekatan yang mampu
mencegahnya terlebih dahulu kerana “kita pendakwah dan bukan penghukum.”
Wallahu’alam
Mohd
Faizal Ahmad
Anak
Qariah Masjid Permatang Bendahari, Penaga Pulau Pinang
No comments:
Post a Comment