Friday, 4 December 2015

Mengamalkan Islam Yang Toleran & Bukan Ektremis


Sejak kebelakangan ini kita dihebohkan di dalam media tentang kumpulan ISIS yang menjadikan cita-cita menegakkan negara Islam adalah matlamat utama mereka. ISIS lahir daripada idealisme beberapa individu yang menggerakkan gagasan ini hingga mereka begitu terkenal di seluruh dunia.

ISIS dikatakan mempunyai jaringan yang cukup besar di seluruh dunia sehingga setiap pengeboman yang berlaku di seluruh dunia adalah hasil perbuatan mereka. Tetapi yang bertambah hairannya di manakah sumber pendapatan utama mereka dan siapakah yang membekalkan senjata kepada mereka? Inilah perkara yang masih menjadi pertanyaan buat kita.

Namun ISIS secara tidak langsung telah memberikan imej yang buruk kepada setiap muslim. Pendek kata semua keganasan adalah berpunca daripada muslim. Itu cerita di Asia Tengah, bagaimana pula cerita di Asia Tenggara?

Lahirnya ISIS atau kumpulan extremis pada dasarnya adalah kerana sifat keakuan yang ada pada mereka itu sendiri. Mereka merasakan pegangan atau cara mereka sahaja yang betul, dan merekalah pejuang Islam yang tulen. Selain individu yang lain daripada kumpulan mereka adalah sesat, kafir, atau tidak berhukum dengan Al-Quran.

Malah mereka menggunakan sentimen dan hujah agama untuk membenarkan segala tindakan mereka. Sebab itu mereka boleh menumpahkan darah sesama muslim dengan sesuka hati.

Sahabat nabi seperti Saidina Ali juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan kumpulan extremis Islam seperti golongan Khawarij. Golongan ini tidak berpuas hati dengan pendekatan Saidina Ali yang kelihatan begitu lembut dengan kumpulan Muawiyah.

Lantas mereka menghukum Saidina Ali tidak berpegang kepada Al-Quran dan menghalalkan darah sesama Muslim. Apabila Saidina Ali menghantar wakil untuk menerangkan kepada mereka hal yang sebenar, mereka menolak dengan hujah Al-Quran dan membunuh wakil utusan tersebut!

Di Malaysia sudah terdapat tanda-tanda budaya keakuan ini. Ada beberapa kumpulan atau jemaah yang merasakan mereka inilah pejuang Islam yang sebenar, kamilah orang yang memahami Islam yang betul dan menuduh orang lain yang bukan sefikrah dengan mereka sebagai pengkhianat, sesat, kafir dan boleh dibunuh.
.


Sebelum saya menyertai AMANAH dan berada di dalam PAS, saya juga merasakan sedikit perasaan egois di dalam diri, kerana PAS adalah sebuah parti Islam yang lama, terdiri daripada golongan ulama dan professional, mempunyai ahli yang begitu ramai, manhaj tarbiah yang mantap dan saya begitu sinis dengan kawan-kawan saya dari jemaah yang lain. Maka dikesempatan ini saya memohon maaf daripada kalian semua.

Namun apabila saya melangkah ke alam pekerjaan, saya mula sedikit terbuka dalam soal keterlibatan seseorang dalam perjuangan Islam ini. Ada di antara kenalan saya yang dari jemaah lain juga mempunyai akhlak yang baik seperti suka menderma atau bersedekah, memahami prinsip tarbiah dengan baik dan ada di antara mereka meninggal dunia di dalam keadaan tanda-tanda yang baik seperti pada hari Jumaat dan lain-lain lagi.

Pada masa itu saya berpendapat, soal Islam, Syurga dan Neraka bukanlah milik eklusif individu, jemaah atau parti tetapi sifatnya adalah eklusif yakni milik semua orang Islam. Ukhwah kita adalah sesama muslim yang beriman lagi bertaqwa dan bukan semata-mata atas dasar jemaah atau parti.

Mungkin ada di antara mereka tidak melibatkan diri di dalam parti Islam secara rasmi untuk memperjuangkan Islam, tetapi mereka melibatkan diri secara turun padang melalui NGO-MGO kebajikan dan lain-lain. Adakah mereka ini boleh kita kategorikan muslim kelas kedua dan manusia bukan Tuhan untuk menentukan darjat seseorang di sisi Allah!

Perbezaan pendekatan itu sudah pasti wujud dalam kerangka untuk memposisikan Islam sebagai cara hidup. Mungkin pendekatan itu adalah berdasarkan waqi’iyah(setempat), maqasidnya dan lain-lain tetapi ia perlu selari dengan prinsip asas syariah dan akidah.

Di zaman pemerintahan Abasiah begitu ramai lahirnya pelbagai mazhab kerana terdapatnya ulama-ulama yang bertaraf mujtahid. Lihatlah bagaimana Imam Syafie(pengasas mazhab Syafie) merupakan anak murid Imam Hanafi(pengasas mazhab hanafi) telah menubuhkan mazhab baru yang tidak sealiran dengan gurunya sendiri!

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa ada segelintir pengikut mazhab tersebut terlalu obses dengan mazhab masing-masing tetapi imam mazhab tersebut telah menyatakan bahawa pandangan mereka tidak semestinya betul, dan ikutilah pandangan-pandangan yang lebih tepat yang ada. Ulama-ulama ini tidak pernah sesekalipun menuduh seseorang itu sesat, Islam celup dan lain-lain lagi apabila tidak bersama-sama dengan pandangan mereka.

Dalam kefahaman rakyat Malaysia di negara ini seharusnya kefahaman politik tidak perlu diletakkan kepada masalah aqidah, mungkin lebih harmonis kepelbagaian politik ini diletakkan dalam masalah muamalat.

Sebagai contoh kita tidak boleh secara gampang menuduh seseorang itu di dalam UMNO kafir, perasuah, zalim, penipu dan lain-lain lagi walaupun seseorang itu secara kolektifnya dia berada dalam pengamalan parti seperti tersebut. Siapa yang tidak kenal UMNO bukan?

Namun ada juga individu di dalam parti tersebut bersih dari segi amalan-amalan buruk di dalam parti. Begitu juga di dalam PAS, bukan semua orang apabila dia berada di dalam PAS akan dikira sebagai ahli Syurga atau beristiqamah dengan amalan Islami, dan tidak melakukan perkara yang melanggari etika moral.

Pendek kata baik dia itu ahli UMNO, PAS, AMANAH, PKR dan DAP yang beragama Islam, mempunyai peluang untuk memasuki Syurga Allah kerana mereka tetap meyakini Allah yang satu dan sesetengah mereka juga istiqamah dengan amalan Islami.

Bagi generasi kepimpinan Nabi Muhammad hingga khulafa’ Ar-Rasyidin yang keempat, kita mendapati kebanyakan pertembungan mereka berteraskan di antara dua blok kumpulan iaitu golongan beriman(sahabat nabi) dan golongan kufur(kafir quraisy, yahudi dll).

Selepas kewafatan Rasulullah, tanda-tanda pertembungan di antara sesama muslim(perang saudara) telah berlaku. Malah pertembungan ini tidak lagi berteraskan kepada permasalahan kufur dan iman, tetapi pertembungan yang melibatkan tentang permasalah siasah(urus tadbir negara) seperti pembunuhan Saidina Uthman, Peperangan Sifin, Peperangan Jamal dan lain-lain lagi.

Tidak dapat dinafikan adakalanya peperangan ini melibatkan antara hak dan batil, diekploitasi oleh golongan kafir dan ada juga hasil daripada khilaf memahami perkara siasah.

Ada sesetengah orang berpandangan mengapa perlu kepelbagain politik atau jemaah Islam? Bukankah kepelbagaian ini akan merosakkan perpaduan umat Islam? Kalau difikirkan secara rasionalnya, pandangan ini mungkin ada betulnya dan mungkin ada salahnya.

Dalam realiti kehidupan, kepelbagaian manusia sukar untuk disatukan dalam apa-apa jua wadah, sentimen, ideologi mahupun Islam. Masing-masing mempunyai pendekatan yang berbeza. Hakikatnya perbezaan itu tidak perlu dikonfrontasikan, malah ia perlu diuruskan secara toleransi iaitu meraikan kepelbagain yang ada.

Di dalam lapangan yang sebenar terdapat Muslim yang menjadi aktor negarawan telah menggunapakai polisi yang menindas rakyat, perasuah, nepotisme, tidak komited dengan amalan Islami dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama juga, mereka mendapat sokongan baik dari kalangan pro Islamis atau sebaliknya kerana menyokong dasar positif kepimpinannya tanpa menghiraukan polisi negatif yang terpalit pada seorang tokoh negarawan tersebut. Bahasa mudah “kalau kamu masih seorang Melayu Islam atau Arab Islam, kami akan sentiasa menyokong kamu.” Simplistik bukan pemikiran orang timur?

Ini realiti yang berlaku di kebanyakan negara umat Islam dan ia merupakan satu permasalahan yang rumit untuk dirungkai dalam spektrum sains sosial kemanusiaan atau falsah Islam.

Saya berpandangan dalam permasalahan ini tidak wajar kita menggunakan sentimen agama yang menyatakan sesebuah kumpulan itulah yang lebih menepati Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Baik ISMA, Tabligh, JIM, PEMBINA, PAS, dan lain-lain telah menawarkan kempen yang sama bagi meraih pengikut yang ramai di kalangan umat Islam. Tidak perlu untuk berlumba-lumba dalam hal untuk meraih pengikut dan melobi kumpulan Islamis lain. Harmonikan keadaan dengan sifat yang toleran!

Di dalam bidang politik pula saya berpandangan adalah lebih baik kita menawarkan pertembungan-pertembungan idea yang bernas untuk dilaksanakan bagi membawa kesejahteraan kepada negara. Misalnya apakah polisi sesebuah parti apabila berjaya memerintah Malaysia.

Parti politik perlu menawarkan idea-idea mereka dari segi ekonomi, pendidikan, pembangunan dan lain-lain lagi. Perlu ada black and white dokumen dan cukuplah bermain dengan retorika semata-mata.

Politik baru yang anak muda dambakan adalah politik yang bukan lagi membuktikan siapa lebih muslim dan siapa yang kurang muslim dan bukan juga melobi parti lawan tanpa ada alternatif, tetapi anak muda mahukan Malaysia yang diwarisi dalam keadaan makmur dan sejahtera dari segi ekonomi, politik, agama dan pendidikan.

Bagi aktor negarawan yang sudah diketahui mengamalkan polisi yang menindas rakyat kita perlu bersolidariti untuk menentangnya, malah ia tuntutan agama. Adapun soal perlanggaran aktor tersebut terhadap amalan Islami(perintah khusus ibadat antara manusia dan Allah seperti solat, menutup aurat), kita boleh menegurnya secara peribadi dan bukan dijadikan modal kempen politik kerana kita manusia dan bukan Tuhan untuk menentukan darjat, Syurga atau Neraka seseorang di sisi Allah kerana mungkin suatu masa yang kita tidak ketahui seseorang itu lebih baik daripada kita apabila kembali kepada Allah dalam keadaan husnul khatimah. Ayuh kita budayakan Islam Toleran dan bukan Islam Ektremis.

1 comment:

  1. Ishhh bahaya betul gambar TGHH tu... Ada ke link yang boleh dibaca, untuk kenyataan TGHH tentang pengkhianat?

    ReplyDelete