Buku ini menceritakan keadaan masyarakat Melayu yang berada di
Malaysia. Pada permulaan buku ini, penulis(Tun Dr Mahathir Mohammed)
menerangkan mengapa orang Melayu malas untuk berfikir. Antaranya adalah
disebabkan faktor keturunan.
Orang Melayu lebih cenderung untuk berkahwin dengan mereka yang
mempunyai hubungan kekeluargaan misalnya berkahwin di antara sepupu sepapat.
Mereka beranggapan bahawa perkahwinan ini mampu menyelamatkan harta-harta
mereka daripada jatuh di tangan orang luar, yang bukan dari keluarga mereka.
Orang Melayu juga pada ketika itu juga cenderung untuk berkahwin
di awal usia(belasan tahun). Impaknya mereka masih merasakan mereka seperti
kebudak-budakan, walhal pada hakikatnya mereka sudah pun berumah tangga. Ada di
antara mereka bertumpang rezeki dan perlindungan di rumah orang tua mereka
disebabkan masih lagi tidak mampu menyara kehidupan keluarga mereka.
Walaupun agama tidak melarang untuk mereka berkahwin berdasarkan
hubungan kekeluargaan, tetapi ia mengundang masalah keturunan. Anak mereka
berkemungkinan besar akan menjadi seorang yang lemah kekuatan akal dan juga
fizikal. Ini bertepatan dengan hadis nabi, yang menasihati umatnya supaya kalau
boleh tidak berkahwin dengan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan
kita.
Di dalam persekitaran orang Melayu pula, mereka sudah mempunyai
pengalaman berniaga sesama mereka dan juga pedagang luar. Tetapi setelah
mengalami penjajahan, mereka seolah-olah mengalami “inferiority
complex”(perasaan merendah diri yang teramat). Mereka tidak mahu untuk keluar
dari zon selesa dengan mengambil risiko untuk berniaga dan berdikari.
Rata-rata masyarakat Melayu lebih cenderung untuk bekerja sebagai
penjawat awam walaupun dibayar dengan gaji yang rendah, kerana bagi mereka
pendapatan bulanan merupakan faktor penting yang menjamin keselamatan keluarga
mereka.
Dengan adanya skim pencen dan peruntukan-peruntukan yang lain,
maka masyarakat Melayu berlumba-lumba untuk bekerja sebagai penjawat awam.
Akhirnya mereka lemah dari segi kekuatan ekonomi, di mana ekonomi di Malaysia
semakin hari semakin didominasi oleh kaum China.
Selain itu juga masyarakat Melayu tidak tahan untuk bekerja dengan
masyarakat China juga menjadi faktor imigrasi Melayu ke penjawat awam. Mereka
mengatakan masyarakat China mendiskriminasi mereka, walhal perkara yang sama
juga berlaku jika masyarakat China bekerja dengan masyarakat Melayu.
Kalau ada masyarakat Melayu yang terlibat di dalam perniagaan,
mereka hanya terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan sahaja terutamanya di
kawasan kampung dengan menjual hasil pertanian mereka kepada pemborong China.
Jarang masyarakat Melayu terlibat dalam bidang perusaharaan
industri, perbankan, dan juga syarikat-syarikat besar yang lain kerana
kekurangan ilmu pengetahuan, modal dan jaringan.
Tidak seperti masyarakat China, mereka mempunyai jaringan yang
kuat untuk membantu sesama mereka dan juga mempunyai modal yang cukup kerana
mereka menubuhkan pembankan untuk membantu masyarakat mereka.
Menyedari hal ini kerajaan cuba untuk membantu meningkatkan taraf
ekonomi orang Melayu. Golongan orang Melayu yang terpilih berjaya memperoleh
bantuan dana daripada kerajaan, tetapi kesannya yang kaya terus kaya dan yang
miskin terus miskin.
Golongan elit tersebut mengambil kesempatan dengan hanya
menggunakan nama mereka untuk mendapat bantuan dan projek, tetapi yang
menjalankan kerja tersebut adalah bukan orang Melayu, tetapi orang China.
Mereka hanya berada di atas seperti tuan yang makan gaji buta. Akhirnya mereka
tidak tahu selok belok tentang perniagaan dan tidak membantu orang Melayu yang
lain untuk mengembangkan ekonomi mereka.
Kesannya juga masyarakat Melayu terus terpinggir di kawasan luar
bandar, dan masyarakat China terus mendiami kawasan bandar. Pola ini
menyebabkan berlakunya perbezaan ekonomi yang ketara antara masyarakat Melayu
di kawasan luar bandar dan masyarakat China di kawasan bandar.
Nilai hartanah di kawasan bandar lebih tinggi daripada di kawasan
luar bandar. Masyarakat China yang kaya raya mengambil kesempatan membeli
sebanyak mungkin tanah-tanah di kawasan bandar untuk dimiliki. Mujurlah
terdapat juga “Malay Reserve” di Kuala Lumpur seperti Kampung Baru.
Persolan siapakah itu pendatang menjadi provokasi masyarakat di
Malaysia. Ia berpanjangan hinggalah menjadi pertanyaan siapakah yang berhak
menjadi warga Malaysia.
Berdasarkan sejarah yang berlaku di dunia, boleh dikatakan rakyat
yang sah pada sesuatu negara adalah mereka yang mula-mula menubuhkan kerajaan
pada Negara tersebut dan mempunyai bilangan yang majoriti daripada penduduk
asal.
Perkara ini terpakai untuk masyarakat Melayu yang berhak mendakwa
merekalah rakyat tetap bumi Malaysia, walaupun pada asalnya mereka bukan
penduduk asal tanah Melayu.
Dengan kerajaan yang telah ditubuhkan sesuatu ketika dahulu, maka
masyarakat Melayu berhak mendefinasikan sesuatu perkara seperti definasi
warganegara, kedudukan agama dan raja, dan lain-lain. Boleh dikatakan mereka
mempunyai kelebihan daripada masyrakat lain disebabkan mereka ada kuasa
mendefinasikan tamadun.
Masyarakat Melayu juga mengalami masalah pendidikan. Mereka
kekurangan dorongan, pendedahan, guru untuk mendidik mereka menjadi seorang
pelajar yang berjaya.
Bagi ibu bapa, mereka berpendapat lebih baik anak-anak mereka
tinggal bersama-sama di kampung untuk menjaga mereka, menguruskan kebun dan
tanah sahaja. Akhirnmya anak-anak mereka tidak layak untuk bersaing dengan masyarakat
lain untuk merebut peluang ke tempat institusi pengajian tinggi.
Sifat yang paling terserlah yang ada pada orang Melayu adalah
sifat lemah lembut dan mudah melupakan kesalahan orang lain. Ini menyebabkan
orang Melayu kurang lantang untuk menuntut hak mereka yang sah di dalam sesuatu
perkara berbanding dengan masyarakat China.
Mereka juga banyak menghabiskan masa minum kopi di warong-warong
kecil dan leka berborak tentang perkara-perkara kecil sahaja. Ini menyebabkan
mereka tidak maju kehadapan.
Faktor kematian juga menjadikan mereka lesu dan tidak berdaya
maju. Apabila mereka mengetahui mereka sakit, mereka menerima dengan redho
tanpa mencari jalan penyelesaian untuk merawat penyakit tersebut.
Mereka menganggap ajal mereka sudah datang, maka hari-hari yang
mereka lalui tanpa melakukan persiapan yang sebaik-baiknya di dunia dan
akhirat. Ada di antara mereka meninggalkan terus urusan dunia.
Politik perkauman merupakan politk yang penting dalam kancah
demokrasi di Malaysia. Ada yang berpendapat untuk mencapai keseimbangan
ekonomi, pendidikan, dll, perlu menghapuskan politik perkauman terlebih dahulu
dan barulah keseimbangan itu akan tercapai.
Dr Mahathir berpendapat ini adalah suatu perkara yang
mempercepatkan golongan minoriti di dalam Malaysia untuk mendapatkan
kepentingan kaum atau peribadi. Bagi beliau untuk mencapai keseimbangan ini
perlulah melalui politik perkauman, dan untuk mencapai keseimbangan kepada
semua kaum perlunya ada kerjasama politik di antara kaum.
No comments:
Post a Comment