Politik di Malaysia pada
hari ini semakin runcing dengan permasalahan yang berlaku di kalangan pemimpin
politik di Malaysia sama ada BN atau PR. Walaupun isu AMANAH sudah lama menjadi
viral
kepada rakyat Malaysia, namun ia perlu diketahui secara asas dan prinsip
penubuhannya.
Pandangan saya ini bukanlah untuk berkempen, mengkritik
atau menjaga tepi kain PAS, tetapi memandangkan saya merupakan Bekas Ketua
Pemuda PAS Cawangan Taman Cempaka, Melaka, maka saya terpanggil dan mempunyai
hak untuk memberikan pandangan saya sebagai bekas ahli tentang permasalahan
yang berlaku di dalam PAS sehingga tertubuhnya AMANAH.
Sebaik-baiknya kita haruslah mengelak daripada perpecahan
sesama ahli di dalam PAS, tetapi keadaan tidak seideal seperti yang kita
sangkakan. Dengan tersingkirnya golongan Progresif di dalam muktamar PAS Jun
yang lepas, ia menunjukkan satu tanda yang besar kepada corak pemikiran ahli
PAS yang lebih selesa golongan “geng ustaz” memimpin parti.
Maka di sini saya ketengahkan beberapa asas dan prinsip
kepada penubuhan AMANAH supaya kita memahami sesuatu perkara berdasarkan
prinsipnya dan bukan kepada sentimen terhadap seseorang individu berdasarkan
latar belakang semata-mata dalam pemilihan seseorang ketua.
Golongan Yang Tersingkir Kecewa Lalu Menubuhkan AMANAH?
Kalau ada orang yang mengatakan mereka golongan kecewa
lalu menubuhkan AMANAH mungkin boleh dikatakan betul dan mungkin juga tidak.
Saya lebih cenderung mereka mungkin kecewa bukan disebabkan kekalahan tetapi
disebabkan oleh sikap ahli PAS yang melabel mereka seperti Parasit, Anwarinas,
Jebon, Liberal dan Munafik Haraki.
Label-label seperti ini sebenarnya datang sendiri
daripada ahli-ahli PAS, dengan membawa bukti-bukti daripada printscreen whatsapp, audio dan
lain-lain. Mereka yang tertuduh ini dipanggil bersama-sama yang menuduh untuk
membuat pembelaan kepada AJK Khas tetapi yang menuduh pula dua kali tidak
hadir, disebabkan mereka tidak percaya kepada AJK Khas tersebut.
Sehingga Mat Sabu sendiri semasa penggulungan muktamar
mencadangkan satu lagi penubuhan AJK Khas untuk menyiasat tuduhan yang
mengatakan mereka mahu menggulingkan Presiden, tetapi sampai sekarang masih
tidak dilakukan siasatan.
Apa yang lebih teruk adalah peristiwa label selepas muktamar.
Saya menjangkakan perkara ini akan habis di dalam muktamar sahaja, tetapi ia
berterusan selepas muktamar dan ia merupakan kesan muktamar yang tidak dapat
dielak.
Apabila di dalam parti mereka dilabel dengan pelbagai
labelan, apabila tidak mahu menerima jawatan dilabel pula tidak seperti Khalid
Al-Walid, bila ingin menubuhkan parti baru dilabel pula pembelot, sehingga
rakyat Malaysia pun tidak tahu apa yang “geng
ustaz” di dalam PAS ini mahukan.
Jadi kalau bukan disebabkan kekecewaan mengapa golongan
progresif yang tersingkir ingin menubuhkan wadah baru.? Seperti yang kita
maklum, golongan progresif yang tersingkir ini mempunyai pengalaman dan track record yang baik dalam
memperjuangkan hak-hak rakyat, termasuk juga dalam soal syariat Islam.
Kehendak tertubuhnya AMANAH ini adalah daripada sikap
keputusan muktamar PAS yang memutuskan hubungan dengan DAP, sehingga PR tidak
lagi dapat berfungsi dengan baik. Rakyat atau ahli PAS yang memihak kepada PR
lebih cenderung untuk terus bersama DAP bagi menjatuhkan kerajaan BN,
memandangkan itu sahaja jalan yang terbaik yang ada setakat ini.
Ini bermakna mahu tidak mahu satu pakatan lain perlu
diadakan tanpa melibatkan PAS supaya kerangka kerjasama di dalam PR untuk
menjatuhkan BN masih diteruskan. Maka sebab itu golongan progresif PAS yang
tersingkir perlu juga menjadi wadah baru bagi memenuhi amanah rakyat pada PRU
13 yang lalu.
Isu Hudud raison d etre(sebab kewujudan)
Dalam Islam hudud merupakan salah satu qanun hukum
jenayah. Antara lain hukum qanun jenayah yang terdapat dalam Islam selain hudud
ialah qisas dan takzir. Saya tidak mahu menceritakan secara terperinci mengenai
hudud dalam konteks perincian hukumnya kerana saya bukan orang yang ahli di
dalam perkara berkaitan dengan hudud ini.
Cuma apa yang ingin saya kongsikan di sini hudud menjadi
polimik yang tidak berkesudahan dalam politik PAS, sehingga boleh dikatakan ia
menjadi rasion d’etre kepada penubuhan PAS. Ringkasnya PAS tidak wujud kalau
tidak ada hudud.
Sebagai seorang muslim yang beriman kita perlu meyakini
hudud adalah perkara yang terletak di dalam displin ilmu akidah, menolaknya
boleh jatuh kepada kekufuran. Ia bukan diimani oleh ahli PAS, malah sebahagian
orang UMNO dan yang beragama muslim.
Tetapi tidak dinafikan juga terdapat muslim yang menentang
hudud secara terang-terangan seperti tidak sesuai dengan negara Malaysia,
tangan yang dipotong boleh dibuat sup tulang dan lain-lain. Sikap muslim yang
menentang hudud ini adalah sikap yang bermain-main dengan hukum agama, dan
boleh dikenakan tindakan tegas terhadap mereka.
Adapun bagi mereka yang “non muslim”, mereka boleh
menentang atau mempersoal hudud dalam konteks ketidaksesuaian di dalam
perlembagaan Malayisa, keadilan hudud, atau disebabkan oleh ketidakfahaman
mereka mengenai hudud.
Tetapi saya juga berpandangan bagi non muslim yang
bersikap acuh tidak acuh seperti menghina dan memperlekeh hudud juga tergolong
daripada mereka yang tidak menjaga sensitiviti orang muslim, dan mereka perlu
mengambil risiko daripada sikap ini, kerana ia adalah pertembungan intermop
yang melibatklan emosi dan sensitiviti. Cuma setakat ini Alhamdulillah, non
muslim di Malaysia kebanyakannya masih menjaga sensitiviti muslim dan hanya
mempertikaikan hudud dari segi kesesuaian dalam konteks perlembagaan Malaysia.
Namun sikap PAS yang tidak sabar dalam isu Hudud ini
menyebabkan mereka memutuskan hubungan dengan DAP dan tidak PKR, walaupun PKR
juga mempunyai pendirian yang sama menolak hudud disebabkan faktor
ketidaksesuain buat masa sekarang.
Sebenarnya kalau nak diceritakan pasal hudud ini memang
panjang ceritanya. Cuma apa yang saya nak ketengahkan dalam isu hudud ini,
tidak ada seseorang gerakan islam yang mukmin menolak hudud. Yang ada adalah
sama ada untuk menangguhkan atau mempercepatkan perlaksanaan hudud di dalam
sesebuah negara.
Perbincangan dan penerangan hudud perlu diutamakan
terlebih dahulu, kerana masalah ekonomi yang berlaku di dalam negara kita. Perlu
diakaui isu kejatuhan mata wang ringgit Malaysia, pengangguran, merompak, gaji
minimum yang terlalu rendah, kenaikan harga barang disebabkan GST dan lain-lain
menyebabkan perlaksanaan hudud boleh ditangguhkan.
Perlaksanaan hudud juga perlu dilihat secara terperinci,
seperti siapa yang berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Misalnya dalam kes
potong tangan, adakah dari autoriti majlis agama atau dari pihak hospital.
Sekiranya pesalah ditangkap, di mana pesalah itu akan diletakkan? Di balai
polis atau rumah majlis agama. Sebab itu dalam perlaksanaan hudud ini, mahu
tidak mahu untuk mencapainya perlu ada good governance(tatakelola kerajaan).
Caranya adalah melalui kuasa yang diperolehi daripada sistem pilihan raya
Malaysia.
Perlu juga kita ketahui hudud merupakan hukum yang adil
sifatnya. Di dalam dunia yang mengamal hudud, mereka melaksanakannya secara
memilih, iaitu golongan istana atau pemerintah tidak dikenakan hudud, yang
dikenakan adalah rakyat biasa. Di Malaysia ia perlu jelas, perlaksanaan hudud
perlu ke pihak istana, ia perlu memansuhkan hukum asal istana yang tidak
dikenakan sebarang tindakan undang-undang terhadap kerabat diraja yang
melakukan kesalahan.
Sebab itu saya merasakan hudud merupakan umpan politik
UMNO kepada PAS untuk memecahbelahkan PR kerana sudah dua kali pembentangan bil
persendirian oleh Tuan Guru Hj Hadi tidak dapat dibentangkan. Pemimpin UMNO di
Parlimen terutamanya Najib sengaja memainkan isu hudud untuk mendapat manafaat
politik UMNO. Bahasa mudah PAS sudah masuk perangkap UMNO!!
Ulama Vs Bukan Ulama
Ulama dan bukan ulama menjadi perbahasan yang panjang
untuk menentukan siapa yang lebih layak untuk menerajui PAS. Perkara asas ini
tidak pernah selesai dalam kemelut politik PAS.
Kebanyakan ahli PAS memahami ulama ini adalah mereka yang
mempunyai latar belakang pendidikan agama secara rasmi dan bukan ulama pula
tidak mempunyai latar belakang pendidikan beraliran agama secara rasmi. Sampai
satu tahap kalau bukan ulama menceritakan mengenai sesuatu ilmu agama mereka
ini dilabel sebagai ustaz mi celup.
Sebenarnya idea kepimpinan ulama ini diambil daripada
semangat Revolusi Shah Iran, apabila kepimpinan revolusi Iran di bawah
kepimpinan Ayatullah Imam Qomaini berjaya menggulinkan kerajaan Shah Iran pada
tahun 1979 dengan membawa idea kepimpinan ulama.
Maka idea ini dibawa masuk oleh sekumpulan pemuda
PAS(kalau tidak silap saya antara pelopornya adalah Abang Mat Sabu). Pada
dasarnya idea ini adalah baik, memandangkan pada ketika itu PAS di bawah Dr
Asri Muda sudah lari daripada prinsipnya, apabila ingin berdamai dan
berbaik-baik dengan UMNO walaupun sudah ditipu.
Maka Presiden pertama PAS yang dinaikkan melalui aspirasi
ini adalah Tuan Guru Yusof Rawa. Ini bersesuaian pada ketika itu di mana untuk
membangkitkan semangat cintakan Islam oleh golongan Pro Islamist, maka ikon
ulama diketengahkan.
Namun lama kelamaan idea kepimpinan ulama ini gagal
difahami secara prinsipnya oleh ahli PAS. Habis kesemua sayap dewan PAS seperti
Dewan Pemuda, Dewan Ulama, Dewan Muslimat perlu diisi oleh orang yang dikatakan
ulama mengikut kefahaman ahli PAS. Mujurlah Dewan Himpunan tidak diisi dengan
ulama juga!
Kegagalan untuk memahami idea kepimpinan ulama ini terus
membarah sehingga konsep idea ini seperti konsep idea kepimpinan mullah Syiah
Iran, di mana ulama tidak boleh dikritik, dan dianggap suci.
Pendefinasian ulama sebenarnya mempunyai khilaf berpanjangan
yang tidak akan selesai. Namun mendefinasikan ulama itu hanya semata-mata
kepada mereka yang mahir dalam ilmu agama adalah satu pendefinasian yang tidak
adil.
Bagi saya ulama itu adalah mereka yang mahir dalam bidang
masing-masing dan tidak mesti ia hanya mahir dalam bidang agama sahaja. Contohnya
kalau seseorang itu mahir dalam bidang perubatan atau kejuruteraan maka dia
juga wajar digelar ulama, seperti apa yang berlaku pada tokoh ilmuan islam
ketika zaman Abasiah yang banyak melahirkan ilmuan seperti Ibnu Batutta, Ibnu
Razi, Ibnu Rushd dan lain-lain lagi.
Jadi bagaimana pula dengan hadis nabi yang mengatakan
ulama adalah pewaris nabi? Dalam hadis ini jelas menunjukkan tidak ada makna
terperinci yang mengatakan ulama itu adalah orang agama sahaja. Yang
dimaksudkan dengan pewaris nabi adalah menyambung perjuangan nabi iaitu
menegakkan agama dengan adil supaya ia menjadi rahmat untuk sekalian manusia.
Secara asasnya di dalam politik Islam tidak berlaku kelas
atau penkastaan sesuatu masyarakat. Sebagai contoh sekiranya dia itu datang
dari rahim ulama, maka dia diutamakan untuk memperolehi sesuatu kedudukan yang
teristimewa dalam sesuatu jawatan atau politik. Maka sekiranya perkara ini
berlaku, saya berpandangan ia hampir mirip dengan budaya Yahudi, yang beranggapan
hanya bangsa mereka sahaja yang mulia untuk memerintah negara, bangsa-bangsa
lain adalah hina dan boleh diperkuda-kudakan!
Jadi adalah lebih baik secara prinsipnya untuk menentukan
seseorang ketua perlu kepada Al-Qawiy dan Al-Amin, iaitu dua ciri yang
berdasarkan merit dan bukan sentimen. Ia sesuai sepertimana saranan Puteri Nabi
Shuib a.s meminta bapanya untuk mengambil Nabi Musa a.s menjadi pekerja
disebabkan oleh faktor kompetensi dan intergriti.
Oleh itu dalam konteks parti, pemilihan seseorang perlu
dilihat kepada sumbangan beliau kepada parti, pengalaman beliau dalam mentadbir
sesuatu organisasi, ada di antara mereka yang pernah bertahun-tahun masuk
penjara disebabkan memperjuangkan isu rakyat, bertahun-tahun lamanya kekal
bersama parti dan lain-lain lagi.
Tetapi dalam muktamar PAS yang lalu, perkara ini tidak
diambil perhatian, memandangkan kesemua golongan progresif yang mempunyai track rekod yang baik disingkirkan
secara blok dan sentimen. Maka saya boleh simpulkan PAS di luar kawalan(beyond to repair) untuk diperbaiki
lagi!
AMANAH Tetap Pro Islamist
Sebenarnya AMANAH ini hampir mirip dengan PAS dari segi
dasarnya kerana yang membezakan antara AMANAH dan PAS adalah dari segi
pendekatannya sahaja dalam mencapai cita-cita Islami.
Maka dari segi dakwah, siasah, dan tarbiah mahupun usrah
AMANAH adalah mirip PAS yang mana mereka tetap menjadi alternatif kepada golongan Pro Islamist untuk berkongsi
cita-cita dan harapan islam yang sama, di mana AMANAH lebih inklusif dan
progresif.
Mahu tidak mahu sasaran AMANAH adalah kepada NGO-NGO
Islam dan golongan progresif PAS yang akan menjadi tunjang utama keahlian dan
pendokong kepada AMANAH. Tidak ada isu AMANAH untuk tarik ahli PAS atau
sebaliknya, kerana tiada paksaan bagi manusia untuk memilih parti Islam yang
mana disukainya. Saya lebih cenderung sekiranya ahli PAS itu tertarik dengan
AMANAH adalah disebabkan kepada kefahaman kepada asas dan prinsip penubuhan
AMANAH.
Berkaitan dengan golongan progresif pula ada yang
berpendapat, bahawa mengapa tidak diperpanjangkan kepada golongan progresif yang
bukan Pro Islamist. Bagi AMANAH ia tidak menajdi masalah untuk golongan
progresif selain Pro Islamist untuk menjadi ahli mahupun pendokong AMANAH
kerana sifat inklusif AMANAH itu sendiri.
Tetapi bukan semua golongan progresif meminati Islamist,
ada yang meminati prinsip liberal, nationalist atau demokratik. Maka itu
terdapat pada PKR atau DAP. Jadi untuk menghimpunkan kesemua golongan progresif
ini, maka ia wujud dalam kerangka Pakatan Harapan. Sebab itu wujudnya koalasi
politik disebabkan setiap parti politik mempunyai idealogi perjuangan yang
berbeza.
Perlu difahami bahawa perbezaan politik adalah dari segi furuk(cabang) dan bukannya terletak dalam perkara aqidah. Maka tidak wajar sekiranya melabel shli PAS yang mahu menyertai AMANAH adalah munafiq atau musuh Islam kerana mereka bukannya bermusuh dengan Islam atau murtad, bahkan mereka ingin memartabatkan agama Islam dalam pendekatan yang lebih rahmat dan mereka juga ingin berbaik-baik dengan PAS.
Menggunakan hujah agama untuk memenangkan sebarang
tindakan kita adalah sesuatu perkara yang buruk akhlaknya dan mengkhianati
nilai ilmu itu sendiri!
Sikap Eklusif PAS terhadap NGO Islam
Isu NGO Islam untuk menguasai PAS sudah lama kedengaran dan tidak ditangani secara ilmiah. Akhirnya ahli PAS hidup dalam keadaan berprasangka antara satu sama lain, iaitu siapa yang pure PAS dan siapa yang tidak pure PAS!
Memang meletihkan hidup dalam keadaan berprasangka
sebegini dengan seseorang muslim yang mempunyai cita-cita perjuangan yang sama
dengan PAS tetapi selalu dipandang syak wasangka dengan mereka.
Ada yang beranggapan NGO Islam ini ingin menguasai PAS,
biro politik NGO Islam membuat grand design untuk menguasai dan menggulingkan
Presiden dan lain-lain lagi. Maka antara nama-nama yang terkenal adalah Dato Dr
Mujahid Yusof Rawa, YB Khalid Samad, Datuk Sri Nizar Jamaluddin dan YB Shaari
Sungib.
Saya beranggapan inilah minda ahli PAS yang malas
berfikir sampai perkara ini menjadi ketakutan yang tidak ada asasnya. Saya
ingin mengajak ahli PAS supaya kita berfikir sejenak mengenai perkara ini.
Pertama hebat sungguh dengan hanya beberapa orang yang
dikatakan daripada NGO islam ini untuk menguasai PAS, boleh menggulingkan
Presiden PAS. Hanya 4-5 orang ni sahaja ahli PAS menjadi teramat eklusif
terhadap NGO Islam. Ini sama seperti provokasi UMNO yang menatakan sekiranya PR
menang China akan menjadi Perdana Menteri. Secara peribadi saya sungguh kesal
dengan sikap malas ahli PAS untuk berfikir.
Kita perlu ketahui bahawa kuasa terbesar PAS adalah muktamar, setiap dasar termasuk presiden parti ditentukan oleh kuasa muktamar. Maka apalah sangat menjadi ketakutan kalau 4-5 orang yang dikatakan NGO Islam ini memimpin parti sedangkan mereka tertakluk dengan kuasa muktamar.
Sekiranya mereka ini menjadi presiden pun, adakah mereka
ini akan memimpin parti kepada perkara mungkar sedangkan mereka ini mempunyai
cita-cita Islam yang sama? Kalau beza pun adalah pendekatan dan bukan prinsip!
Dan perlu diketahui, setiap dua tahun PAS akan mengadakan muktamar pemilihan parti. Kalau sudah tidak setuju dengan mereka maka tukarkanlah sahaja mereka dengan orang lain. Maka di mana asas ketakutan ahli PAS?
Maka dengan itu menjadi kewajipan bagi setiap muslim
merawat prasangka negatif ini supaya setiap muslim yang mempunyai aspirasi Islam
yang sama dapat bersama-sama untuk menyumbangkan tenaga dan pemikiran untuk
menegakkan Islam.
Pertandingan Tiga Penjuru?
Saya masih lagi mengharapkan Malaysia pada PRU ke 14 akan
menjalani sistem pilihan raya secara dwi sistem parti. Ini hanya boleh berlaku
sekiranya berlaku kerjasama politik antara PAS dan PH.
Namun agak sukar untuk PAS ingin bersama-sama dengan DAP,
kerana kebanyakan pemimpin PAS 2015-2017 menyatakan hasrat untuk meletakkan
calon PAS pada semua kerusi Dun dan Parlimen.
Kalau terjadi kerjasama politik pun, mungkin antara
AMANAH dan PAS. PAS boleh bertanding di kawasan pantai timur dan selebihnya
terutama di pantai barat, PAS boleh memberi laluan kepada calon AMANAH!
Namun sekiranya kemungkinan situasi ini tidak terjadi
kita kemungkinan besar akan melihat pertandingan tiga penjuru iaitu antar BN,
PH dan PAS.
Ada sesetengah pemimpin PAS menyatakan PAS sudah ada
pengalaman berjuang bersendirian. Ya saya amat menyetujui pendapat tersebut,
tetapi lihatlah hasil daripada berjuang bersendirian, PAS gagal menjadi
kerajaan, dan banyak mengalami kekalahan di peringkat parlimen dan negeri.
Kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990 adalah
daripada kerjasama politik antara PAS dan semangat 46. Sehebat-hebat Armarhum
Tuan Guru Nik Aziz pun, terpaksa bergabung dengan Semangat 46 untuk merampas
Kelantan.
Begitu juga di Terengganu, PAS berjaya merampas
Terengganu pada tahun 1999 hasil kerjasama politik Barisan Alternatif(BA) yang
terdiri daripada DAP+PKR+PAS. Begitu juga di Kedah, PAS berjaya merampas Kedah
pada tahun 2008, hasil kerjasama politik PR.
Tetapi bagi PAS sekiranya mahu mengulangi sejarah lama,
terpulanglah kepada mereka. Mungkin pemimpin PAS sudah buat kajian, berjuang
bersendirian lebih kuat bagi mereka untuk memenangi pilihan raya. Kita tunggu
keputusan PRU ke 14. Bagi mereka, kalah menang tidak penting, yang penting
redho Allah!
AMANAH Parti Serpihan Yang Tidak Kekal Lama?
Apabila kita membicarakan soal kemungkinan, mungkin AMANAH
juga tidak akan kekal lama dan munkin juga akan kekal lama. Perkara yang sama
juga turut terpakai kepada mana-mana parti termasuk PAS.
Pendapat yang mengatakan AMANAH adalah parti serpihan PAS seperti BERJASA dan HAMIM adalah pendapat yang masih lagi boleh dibahaskan. AMANAH, BERJASA dan HAMIM mempunyai nilai sejarah yang berbeza.
HAMIM dan BERJASA lahir daripada pemimpin parti yang
kecewa dengan PAS, lalu membentuk parti baru dan berjuang secara berseorangan
dan memihak kepada UMNO.
Sedangkan AMANAH lahir daripada pemimpin progresif PAS
yang tersingkir apabila dilabel dengan pelbagai labelan, dan membentuk wadah
baru berdasarkan kerjasama politik dalam PR.
Malah wadah baru ini adalah untuk menentang BN yang
memikul amanah rakyat berdasarkan keputusan PRU ke 13, yang undi majoriti
memihak kepada PR. AMANAH tidak lari dari kerangka asal PR dan tahalluf siasi
PAS semasa PRU ke13.
Namun perlu kita ketahui, tidak ada yang kekal melainkan sifat yang kekal itu adalah hanya terdapat kepada ALLAH s.w.t sahaja. Begitu juga AMANAH mungkin tidak akan kekal sekiranya prinsip asas perjuangannya tidak lagi diterima atau lari, dan kemungkinan akan wujud lagi wadah baru. Tetapi untuk melakukan wadah baru ia bukan mudah kerana perlu mendapat sokongan dan pengaruh yang kuat.
Kita perlu mengetahui bahawa parti adalah alat untuk
mencapai cita-cita Islam. Ia bukan perkara qatie’
yang mengatakan hanya satu-satu politik sahaja yang boleh memperjuangkan Islam.
Seperti meyakini UMNO sahaja memperjuangkan melayu, hanya PAS sahaja
memperjuangkan Islam, kalau tidak ada UMNO atau PAS, maka tidak ada ada yang
memperjuangkan melayu atau Islam. Ini adalah kepercayaan kurafat!
Para pembaca mungkin sedia maklum dengan sejarah politik
di Turki, bagaimana AKP itu ditubuhkan. AKP lahir daripada parti serpihan
Saadat yang dipimpin oleh Nacmetin Erbakan. Erbakan merupakan guru politik
kepada Erdogan.
Ketika itu Erdogan menjawat jawatan Ketua Pemuda parti
Saadat. Namun disebabkan oleh beberapa perbezaan antara Erdogan dan Erbakan,
maka mereka berdua membawa haluan masing-masing dengan Erdogan membentuk AKP,
manakala Erbakan membentuk Parti Refah.
Setahu saya perkara yang menjadi perbezaan di antara
mereka berdua adalah perbezaan pendekatan(cabang) dalam pendekatan politik, yang
mana Erdogan memilih untuk menjadi ahli Kesatuan Eropah, bekerjasama dengan
Israel dan menerima sistem riba.
Walaupun ada pandangan lain yang mengatakan pertembungan
Erdogan dan Erbakan adalah perbezaan yang disengajakan, iaitu Erbakan sengaja
membiarkan Erdogan menubuhkan parti baru dan beliau terus lantang mengkritik
kepimpinan Erdogan supaya rakyat Turki akan melihat AKP tidak ada kaitan dengan
Refah yang mengikut jalur politik Islam.
Erbakan
berpandangan pengaruh Al-Tartuk terlampau kuat pada ketika itu, maka biarlah
AKP ditonjolkan sebagai parti yang cukup lileral dan sekular. Secara tak
langsung masyarakat Turki sedikit sebanyak terhindar daripada penyakit
Islamofobia.
Hasil daripada perbezaan ini maka mereka berdua terpisah.
Tetapi apabila AKP memasuki pilihan raya pertamanya pada tahun 2002, AKP terus
melakar kejayaan pertamanya dengan memenangi pilihan raya Turki sehingga
sekarang.
AKP
berjaya meningkatkan ekonomi Turki, mempertahankan hak-hak umat islam di Gaza,
dan berjaya membawa sedkit perubahan Islamisasi di Turki apabila pengaruh
Ar-Tartuk sedikit demi sedikit telah kurang. Wanita Turki sudah mula boleh
memakai hiljab ke parlimen atau ke Universiti.
Maka saya merasakan perkara yang sama juga tidak mustahil
boleh berlaku di dalam Malaysia!
Pendirian Pemimpin PAS Yang Tidak Konsisten Dan Sering
Kali Bercanggah?
PAS mengalami defisit kepercayaan apabila pemimpin PAS
sering mengeluarkan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain. Boleh
dikatakan sekiranya lima orang pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan, maka
kelima-lima mereka akan bercanggah antara satu sama lain.
Dalam Isu MB
Selangor Presiden PAS dilihat pada awalnya menyokong Dr Wan Azizah menjadi MB,
tetapi membuat pusingan U-turn di akhir-akhirnya.
Isu PR pula, Dato Mustafa berpendapat mulanya PR hanya
pengsan, Presiden pula berpendapat PR masih lagi tidak mati dan lain-lain lagi.
Isu demo GST, Tuan Ibrahim mengerah alhi PAS supaya turun
untuk berdemo pada BERSIH 4.0, tetapi Presiden pula memberitahu, PAS akan
membuat demonya sendiri dan melarang ahlinya turun berdemo kerana demo bukan
akhlak Islam.
Dalam isu 1MDB, Presiden PAS dan Mursyidul Am dilihat
menyokong Najib, manakala Tuan Ibrahim dilihat menentang Najib.
Dan terlalu banyak perkara besar pemimpin PAS dilihat
sentiasa bercanggah antara satu sama lain, sedangkan mereka mengatakan PAS adalah
sebuah parti yang sudah lama bertapak di Malaysia (61 tahun). Tetapi
persoalannya mengapa parti yang lama dilihat seperti parti yang sentiasa tidak
konsisten dengan pendapat masing-maisng? Adakah kamu tidak membuat mesyuarat sebelum
membuat sesuatu kenyataan?
KESIMPULAN
Dengan perubahan suasana politik yang berlaku di
Malaysia, maka dituntut dinamika sesebuah politik Islam. Rakyat tidak lagi
memandang hukum agama semata-mata dalam menyelesaikan masalah negara, tetapi ia
perlu diterjemah melalui nilai sesebuah parti dalam menjadi alternatif dan
menyelesaikan masalah negara.
Lihatlah dalam isu skandal 1MDB, isu deposit RM 2.6
bilion ke dalam akaun peribadi Najib, kenaikan harga barang disebablan GST, isu
pengangguran, kepincangan sistem pendidikan, jurang pendapatan ekonomi yang
besar, dan lain-lain lagi menuntut satu koalasi politik yang progfresif dan
dinamik untuk mengurangkan masalah ini.
Ia bukan sahaja setakat melaungkan retorika bersama
kepimpinan Islam, hudud, negara Islam, tetapi ia perlu diterjemah secara
terperinci mengenai penyelesaian kepada masalah ini melalui plan yang konkrit
dan dapat difahami oleh rakyat. Ia perlu diterjemah melalui keadilan, keamanan
dan kesejahteraan yang amat memihak kepada masalah rakyat merentas kaum, agama
dan bangsa!
No comments:
Post a Comment