Monday, 30 November 2015

Dr Burhanuddin al-Helmi Susuk Tubuh Dinamik Seorang Pejuang


Dr Burhanudin al-Helmi merupakan seorang tokoh dinamik pejuang agama dan kebangsaan. Beliau boleh dikatakan seorang protaz(Profesional Ustaz) yang memiliki ilmu sains iaitu dalam bidang homopati dan agama.

Pada permulaaan buku ini penulis menceritakan sifat yang paling terserlah pada Dr Burhanudin al-Helmi adalah sifat lemah lembut dan mudah melupakan kesalahan orang lain. Bagi sesetengah orang mungkin sifat ini adalah kelebihan tetapi bagi sesetengah yang lain sifat ini adalah kelemahan. Namun barang diingat sifat ini juga adalah sifat dominan orang Melayu!

Sebelum memasuki PAS beliau merupakan Presiden Parti Kebangsaan Melayu Raya dan menjadi pengerusi gabungan PUTERA-AMCJA. Gabungan ini merupakan koalsi pelbagai kaum untuk memperjuangkan kemerdekaan tanah air sekaligus membuktikan gagasan beliau telah melampaui Parti Perikatan ketika itu.

Pada Disember tahun 1950 beliau telah ditangkap kerana menetang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang menolak kesahihan perkahwinan Natrah atau Maria  Hertogh dengan seorang pemuda Melayu

Maria Hertogh ialah seorang anak Belanda beragama Kristian yang menjadi anak angkat kepada seorang wanita Islam di Singapura. Kemudian Maria berkahwin dengan seorang pemuda Islam bernama Mansur. Tetapi pada tahun 1950, ibu bapa Mariah meminta mahkamah mengembalikan hak penjagaan Mariah kepada keluarganya. Selepas melalui tempoh perbicaraan yang rumit akhirnya mahkamah menyetujui permintaan keluarga Mariah.

Dr Burhanudin al-Helmi menjadi YDP PAS yang diimport secara rasmi pada 25 December 1956. Kepimpinan dan idealisme beliau menjadi idaman kepada PAS untuk mengangkat beliau menjadi orang nombor satu parti. Peliknya pada masa ini PAS terbuka untuk mengambil orang luar menjadi ketua kerana pada masa itu Dr-Burhanudin al-Helmi memiliki idealisme yang sama dengan PAS walaupun beliau bukan dari jalur PAS yang tulen!

Banyak persoalan yang timbul pada ketika itu apabila ingin membawa Dr Burhanudin al-Helmi memasuki PAS. Antaranya beliau akan menjadikan PAS sosialis dan pengalaman beliau sebelum itu yang mempunyai hubungan rapat oleh rakan-rakan lamanya seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Hj Mohamad. Namun semua persepsi itu dapat ditangkis oleh orang-orang yang berpengaruh di dalam PAS.

Antara perjuangan yang dibawa oleh Dr Burhanudin al-Helmi ketika menjawat jawatan sebagai YDP PAS pada ketika itu adalah
  • ·Menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan nasionalis dan anti penjajahan
  • ·Mengkritik Suruhanjaya Reid yang dianggap tidak berlaku adil dalam beberapa isu yang menyentuh persoalan keagamaan, kedudukan orang Melayu, bahasa dan rupa bangsa di negara ini. Beliau berpendapat untuk merangka perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu seharusnya dibuat oleh rakyat di dalam negara dan bukan orang luar.
  • Menentang pemberian kerakyatan melalui jus soli yang dilihat lebih longgar dan terbuka yang mampu menimbulkan pencerobohan dan pengkhianatan kepada negara.
  • PAS juga mendesak supaya beberapa jawatan-jawatan tertentu dikhaskan untuk orang Melayu seperti jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar.
  • PAS mendesak supaya bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar di sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini. Menurut Suruhanjaya Reid kedudukan tertinggi bahasa Inggeris akan terhapus pada 1 September 1963.
  • Memperjuangkan tanah Persekutuan menjadi Negara Islam. Menurut kenyataan Tunku Abdul Rahman negara ini bukanlah Negara Islam. Kita cuma memperuntukan Islam adalah menjadi agama rasmi negara. –Persidangan Dewan Rakyat Pada tahun 1958-
  • Mencadangkan supaya kerajaan memajukan orang-orang Melayu dalam bidang perniagaan dan perusaharaan.
  • Meminta kerajaan membina tali air dan sistem perparitan yang lebih baik untuk kegunaan masyarakat kampung.
  • Menyokong perjuangan A.M Azahari untuk membebaskan Brunei daripada penjajahan.

Pada pilihan raya 1959 PAS menunjukkan prestasi yang meningkat di mana berjaya memenangi sebanyak 13 kerusi parlimen dan berjaya merampas Kelantan dan Terengganu daripada Parti Perikatan. Namun selepas itu hanya tinggal 12 kerusi apabila Setiausaha Agung PAS, Othman Abdullah keluar daripada PAS dan menyertai UMNO. Tunku Abdul Rahman menghantar beliau ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila balik daripada Mekah beliau menyerang PAS dan menuduh Dr Burhanudin al-Helmi komunis!

Kemenangan PAS pada ketika itu dibantu oleh ulama-ulama atau tok-tok guru di kampung yang mendekati rakyat bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya. Mereka diterima oleh rakyat Kelantan dan Terengganu kerana rakyat memandang tinggi kepada mereka yang menjadi calon PAS.

Dr burhanudin al-Helmi hanya menjadi wakil rakyat di parlimen dari tahun 1959-1964 (sepenggal). Selepas itu beliau menghadapi masalah hilang kelayakan sebagai ahli parlimen dan ditahan dibawah ISA.

Dr Burhanudin al-Helmi juga turut mengalami krisis politk dalaman PAS. Selepas berjaya memenangi pilihan raya di Terengganu pada tahun 1959, PAS berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti kecil di DUN. PAS mempunyai 13 kerusi berbanding Perikatan 7 dan 4 dari Parti Negara

Krisis ini berlaku apabila PAS Terengganu melantik Daud Samad sebagai menteri besar Terengganu dan bukan Hj Ahmad Azam Napiah iaitu PJ Terengganu kerana Ahmad Azam bukan anak kelahiran Terengganu. Dr Burhanudin al-Helmi mahu membalas jasa Ahmad Azam yang banyak membantu PAS di Terengganu untuk mengisi jawatan ini tetapi ditolak oleh PAS Terengganu.

Pemasalahan yang berlaku ini megakibatkan Parti Perikatan mengambil kesempatan untuk membawa usul undi tidak percaya di DUN. Undi tidak percaya kali kedua telah dibawa di dalam DUN oleh UMNO dan telah berjaya menumbangkan PAS. UMNO telah berjaya membeli semua wakil rakyat Parti Negara.

Apabila undi tidak percaya dilakukan dua orang wakil rakyat PAS iaitu Ahmad Azam dan Haji Mat Ismail telah bertindak menyokong usul UMNO tersebut. Pada masa yang sama YDP DUN yang berasal dari PAS telah berhijrah menjadi anggota UMNO. Sokongan kepada undi tidak percaya terhadap kerajaan PAS seramai 14 undi.

Dr Burhanudin al-Helmi telah ditangkap di bawah tahana ISA disebabkan beberapa tuduhan. Antaranya adalah :
  • Mengancam keselamatan dalam negara
  • Bersubahat dengan Indonesia untuk melakukan revolusi terhadap Malaysia
  • Menyebarkan propaganda kepada rakyat Malaysia supaya menjadi pengkhianat negara
  • Terlibat di dalam Font National untuk melakukan revolusi di dalam negara.
  • Menerima dana daripada Font National untuk membina gerakan di Kerachi.
Kesemua tuduhan tersebut dijawab oleh Dr Burhanudin al-Helmi namun langsung tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan. Beliau menjadi tahanan ISA selama hampir lima tahun dan mencatatkan pengalaman beliau semasa tahanan ISA dan ini disimpan selama 40 tahun sebelum dibukukan oleh Saari Sungib.

Beliau telah diserang penyakit batu karang dan dimasukkan di hospital Taiping pada awal tahun 1969. Beliau telah dibebaskan apabila keadaan kesihatannya semakin teruk. Pada Oktober 1969, Dr Burhanuddin al-Helmi telah meninggal dunia.

ULASAN BUKU

Dr Burhanuddin al-Helmi merupakan seorang yang memikirkan keutamaan keadaan dalam perjuangan beliau. Pada ketika itu entiti kebangsaan dan kemerdekaan menjadi elemen penting dalam perjuangan parti, maka beliau menjadikan PAS ke arah dua perkara tersebut.

Walaupun sudah terdapat sedikit gabungan dalam blok parti pembangkang pada pilihan raya, namun ia masih tidak selaras kerana masih terdapat pertembungan sesama sendiri terutamanya antara DAP dan PAS.

PAS pada ketika itu kelihatan begitu dinamik apabila sanggup mengimport pemimpin lain yang bukan dari jalur tulennya. PAS juga sentiasa terpalit dengan masalah kepimpinan dalaman parti walaupun dipimpin oleh seorang pemimpin yang hebat. Apatah lagi sentimen perjuangan PAS yang berasakan Islam juga tidak mampu membawa kefahaman antara ahli dan pimpinan.

UMNO sepanjang keberlangsungan politiknya menggunakan helah dan muslihat yang kotor kepada seteru politiknya. Di era Tunku Abdul Rahman telah menyaksikan kebijakan politik beliau apabila mengaitkan pimpinan pembangkang sebagai anti kemerdekaan dan kebangsaan.

Bagi meredakan kewibawaan tokoh politik pembangkang, jalan yang terbaik adalah mengenakan tindakan tahanan kepada mereka supaya kebangkitan rakyat terhadap kerajaan dapat dikurangkan.

No comments:

Post a Comment