Sunday, 29 November 2015

Cerita Duit Sekolah Dan Motorsikal


Baru-baru ini saya ada berbual dengan seorang makcik tua di kampung yang menceritakan perihal cucunya hidup di generasi muda ini. Saya amat tertarik dengan kisah beliau kerana ia berkait rapat dengan kehidupan saya sewaktu di bangku sekolah.

Saya amat terkejut apabila beliau menceritakan cucunya yang seorang darjah enam dan seorang lagi tingkatan lima menerima duit sekolah RM 5 dan sekolah Arab pula RM 2 untuk setiap sesi!  Tambah beliau cucu lelakinya yang berada di tingkatan lima itu telah memiliki motorsikal yang jarak antara rumah dan sekolah adalah kurang 1 kilometer!

Alasan budak tersebut meminta motorsikal dari bapanya adalah untuk membantu bapanya membeli ikan dan sayur di pasar yang jaraknya juga lebih kurang 1 kilometer! Makcik tu berkata, “erm tapi tak pi juga pasar, bapaknya juga yang pi!” Selain itu kedua-dua mereka pula sudah ada smart phone yang dibelikan oleh bapanya.

Saya pun bertanya dengan makcik tersebut, “keputusan periksa cucu makcik macam mana?” Makcik itu pun memberitahu bahawa cucunya yang UPSR itu keputusannya gagal dan seorang lagi baru menduduki SPM. Tambahnya, cucu yang menduduki SPM tu relaxs saja bila balik sekolah(dalam hati saya, “gaya macam seorang genius”), tidak nampak pun membelek buku-buku dan lain-lain. Sebelum ni pun keputusan UPSR dan PMR beliau gagal!

Hati saya ketika itu memang menyirap bila mendengar keluhan makcik tersebut. Terasa macam nak pergi sound dan lempang sahaja cucunya, biarpun saya mengambil prinsip pedulikan keputusan peperiksaan, tetapi saya tidak bermaksud melihat seseorang itu pemalas, tidak berdisplin, tidak mahu menuntut ilmu dalam spektrum yang sebenar dan lain-lain.

Saya mula bermonolog dalam diri . “Ini memang sudah cukup melampau buat cucu makcik dimanjakan dengan sebegitu rupa.” Makcik itu juga menceritakan bahawa ibu bapa mereka bukan orang kaya pun, orang kampung biasa dan bekerja biasa-biasa sahaja.

Kalau nak diikutkan grade gajinya adalah gaji minimum RM 900! Tetapi sebab sudah berpuluh tahun bekerja, mungkin ada kenaikan gaji yang lebih selesa. Pun begitu, kita boleh fikir berapa sangat kenaikkannya kan?

Saya bukan mahu mengambil tahu tepi kain rumah tangga mereka, tetapi pada ketika itu saya memang merasakan apa kejadahnya bangsa Melayu ini hidup dalam keadaan dimanjakan sebegini rupa hingga menjadikan mereka ini dungu!

Bagi orang kampung seperti saya memang merasakan perkara itu tidak patut. Ini perbandingan hidup antara orang kampung dengan orang kampung. Lima ringgit berbelanja itu terlalu mewah dan kategori keluarga orang kaya raya. Motorsikal itu pula apa kejadahnya untuk dibeli hanya sekadar ingin pergi sekolah atau pasar yang jaraknya 1 kilometer sahaja. Basikal ada, naiklah! Lagipun caruman bulanan motor itu bukan cucunya yang bayar, bapanya juga.

Zaman aku, duit sekolah menengah RM 2 ringgit sahaja siap simpan lagi sampai sanggup tak makan. Pergi sekolah pula jaraknya 15 kilometer, istiqamah naik bas 6.30 pagi setiap hari! Nak beli handphone Nokia 3310 pun tak mampu walaupun kawan-kawan kampung aku kebanyakan dah ada sejak dari tingkatan 2.

Makanan di sekolah pula (nasi + lauk ayam) kata cucu makcik tersebut hanya sekadar RM 1. Benar memang murah, sebab sekolah ada subsidi! Tak lari jauh pun harganya dari zaman aku bersekolah sembilan tahun yang lepas.

Lalu saya pun teringat satu teori melalui perbincangan saya dengan Hj Arah di Jubail, Saudi Arabia. Beliau memberitahu terdapat tiga fasa generasi. Generasi pertama adalah generasi yang susah seperti ayah atau datuknya. Maka mereka kebanyakannya akan melahirkan generasi kedua yang keluar dari generasi pertama yang hidup susah.

Datang pula generasi ketiga selepas mereka iaitu ada di antara mereka hanyut dengan hidup mewah atau sebahagian yang lain akan terus berkembang maju. Tetapi generasi keempat adalah generasi yang akan dimanjakan dan akibatnya berpatah balik menjadi generasi yang hidup merana!

Tetapi apa yang berlaku kepada cucu makcik tersebut melangkau teori ini. Bagi saya mereka tidak melalui generasi pertama, tetapi terus menjangkaui generasi keempat. Memang menyakitkan hati bila mendengar ceritak makcik ini perihal cucu-cucunya. Serious!

Gambaran awal saya terhadap cucu makcik ini mereka tidak ada tekanan hidup kerana mungkin sejak dari awal sudah dimanjakan sedemikian rupa. Memang kalau ini jalan kehidupan mereka, apa yang kita dapat jangkakan kelak!

Adakah mereka tidak tahu sinopsis hidup ini adalah berliku, apatah lagi bila bercakap tentang soal kejayaan dan usaha yang gigih. Bagi saya berpatut-patutlah memanjakan anak dengan sedemikian rupa, stop and enough!

Didiklah mereka dengan kehidupan yang sebenar kelak biarpun tidak cemerlang dari segi pembelajaran. Tanam pada diri anak-anak tentang maksud usaha yang gigih, berdikari dan tidak perlu dimanjai dengan material sebegitu rupa! Ubahlah sebelum mereka ini menjadi lebih dungu! Bak kata pepatah melayu "sayang anak tangan-tangankan, sayang bini tinggal-tinggalkan."


2 comments:

  1. Teori 3 generasi tu, berlaku di mana-mana. Dalam parti dan jemaah pun sama. Generasi pengasas, generasi penerus (kedua) dan generasi anak-anak kepada penerus (penghancur). Contohnya, PAS.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju ATA. Bertuah juga ketika itu bila dipertemukan insan-insan yang banyak membaca seperti ATA juga. Mereka boleh keluar daripada circle itu tetapi ana tidak faham kenapa seolah-olah narrow minded generasi ketiga itu. Ana merasakan puncanya terlampau "comfort zone", egois, tidak mahu belajar perkara baru atau tidak banyak membuat bacaan yang pelbagai.

      Delete