Monday, 23 November 2015

Pak Kassim Menuju Jalan Pulang?


Di awal pendahuluan buku ini sudah cukup menarik sesiapa yang ingin membaca penulisan Kassim Ahmad. Dimuatkan dengan kata penghantar Tun Dr Mahathir Mohammad mengenai peringkat-peringkat usia manusia.

Tun berpendapat bahawa setiap insan akan melalui tiga fasa hidup dalam pegangan politik mereka. Semasa muda mereka agak radikal dan mirip kepada pemikiran dan ideologi kiri. Apabila menempuh umur pertengahan, pandangan dan pegangan mereka lebih mencerminkan “centralist” dan kecuali(open and loose). Apabila sudah berumur mereka lebih suka mendokong sikap dan pandangan puak kanan, atau konservatif.

Membaca buku Kasssim Ahmad bukan beerti kita menyokong beliau secara total, tetapi ianya tidak salah untuk mengambil beberapa input berguna dalam memahami falsafah agama dan kehidupan.

    
Siapa yang tidak kenal Kassim Ahmad yang sentiasa mengundang kontrovesi melalui penulisan dan pandangan politik dan agama beliau. Malah beliau lebih dikenali sebgai individu anti hadis selepas terbitnya buku beliau yang bertajuk “hadis satu penilaian semula”.

Namun beliau juga tenggelam timbul dalam arena politik kerana sebelum itu beliau merupakan Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia(PSRM) dalam tempoh yang agak lama sebelum menyertai UMNO.
           
Beliau mengakui dalam buku ini bahwa, beliau merupakan seorang berhaluan kiri yang bercita-cita untuk membawa perubahan kepada negara melalui idea-idea progresifnya dengan menajdikan sosialis sebagai permulaaan kepada pegangan politik beliau.

Apa yang menarik mengenai Pak Kassim ini beliau merupakan seorang yang rajin membaca dan menulis hingga boleh dikatakan seluruh kehidupan beliau adalah membaca dan menulis. Maka mungkin disebabkan itu beliau sentiasa kritis dalam soal tamadun dan agama.

Di dalam buku ini penulis mendakwa beliau tidak menolak hadis sahih secara 100%, tetapi beliau tidak berapa setuju hadis sahih yang tidak menepati kehendak Al-Quran. Beliau berpandangan Al-Quran sajalah sumber rujukan yang betul kerana sifat Al-Quran yang tidak berubah seperti ideologi-ideologi yang lain yang sentiasa berubah-rubah mengikut perubahan zaman. Sebab itu di akhir pencarian beliau selama 36 tahun memahami teori isme, beliau dikatakan menemui jalan pulang dengan kembali berpegang kepada Al-Quran.

Islam baka yang diwarisi oleh Pak Kassim membuatkan beliau sentiasa bertanya kepada diri sendiri, apa yang masyarakat Islam faham mengenai isi kandungan Al-Quran. Adakah Al-Quran itu diturunkan hanya untuk memperdengarkan bacaan merdunya sahaja atau untuk menggantung beberapa ayat Al-Quraan di tiang rumah tanpa memahami ayat-ayat tersebut.

Di dalam pencarian inilah beliau membeli beberapa buah naskah tafsir Al-Quran untuk memahami ayat-ayat Al-Quran. Bagi teori falsafah beliau, pertanyaan akan menambah keyakinan dengan memberikan beberapa contoh kisah para nabi yang secara terus bertanya mengenai sesuatu perkara yang diragui kepada Allah untuk menambah keyakinan tauhid mereka.
       
Beliau sentiasa menggunakan pendekatan berdialog atau wacana untuk mengurangkan ketegangan yang timbul melalui penulisan dan pandangan beliau. Ini adalah kaedah yang lebih harmonis sebelum melemparkan tuduhan fitnah kepada seseorang itu sesat.

Beliau sering membandingkan dua tamadun besar iaitu barat dan timur. Mengapa tamadun barat mempunyai kebebasan yang luas jika ingin dibandingkan dengan timur. Mengapa tamadun barat sentiasa menjadikan timur sebagai negara jajahan mereka? Adakah tidak boleh wujud penyatuan di antara tamadun barat dan timur?

Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada golongan kiri Malaysia yang turut memainkan peranan yang besar dalam gerakan kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan. Antaranya adalah PUTERA-AMCJA yang dipimpin oleh Dr Burhanudin Al-Helmi yang begitu vokal dalam memperjuangkan kemerdekaan di dalam Tanah Melayu.

KESIMPULAN

Kita mungkin tidak bersetuju dengan pandangan beliau bukan kerana sentimen pribadi, tetapi seharusnya kita mengemukakan idea dan pandangan untuk tidak bersetuju dengan beliau. Ini adalah kaedah yang lebih sesuai supaya kita memahami mengapa punca terhadap kepercayaan seseorang itu terjadi. Lagipun dalam kaedah ilmiah tidak seharusnya pukul rata mengatakan pandangan Pak Kassim secara total semuanya tidak benar. Mungkin ini sifat simplistik orang Melayu!

Menjadi salah seorang tokoh negara tidak dapat lari daripada pegangan idealisme. Lihatlah tokoh-tokoh besar dunia, mereka lahir dengan pembawaan idea-idea. Oleh itu menjadi kewajipan negarawan mempunyai idealisme untuk membawa perubahan kepada negara.


Jangan mimpi hanya membaca satu hingga dua buah buku secara literal tanpa kepelbagaian sumber sudah boleh menjadi negarawan yang terbilang. Jika ini berlaku lahirlah pemimpin-pemimpin gampang yang kabur arah tuju kepimpinannya!

No comments:

Post a Comment