Hosni Mubarak, bekas seorang juruterbang dalam angkatan tentera
Mesir yang memerintah secara kuku besi dan melebihkan nepotisma di kalangan
keluarganya dan orang-orang yang berada di sekelilingnya selama 30 tahun
akhirnya tumbang. Inilah apa yang dikatakan sebagai Arab Spring yang sebelum
ini telahlah menjatuhkan jiran Mesir iaitu Tunisia dengan kejatuhan Presiden
Zine El Abidine Ben Ali.
Mursi dan Ikhwanul Muslimin serta beberapa fraksi
parti-parti Islam adalah tulang belakang bagi menggulingkan Hosni Mubarak.
Ketika itu ratusan ribu umat yang berarak di Dataran Tahrir menyambutnya dengan
penuh syukur dan gembira. Kebangkitan secara besar-besaran bermula pada 25
Januari 2011. Kini menjadi tarikh sambutan Hari Kebangsaan Mesir.
Kemudian diadakan Referendum Perlembagaan ke arah Pilihanraya Parlimen dan Pilihanraya Presiden. Mesir kemudiannya mengalami perubahan dari negara yang dikuasai tentera kepada demokratik di bawah pimpinan Presiden yang dilantik, iaitu Dr Mohammad Mursi dari Freedom and Justice Party (FJP).
Kemenangan parti Islam sememangnya dijangka di mana Pakatan Demokratik yang diketuai FJP menang 45% kerusi, manakala Blok Islam yang diterajui Parti Nour menguasai 25% kerusi parlimen. Baki 30% lagi dikongsi oleh pelbagai parti yang kebanyakkan dari latar belakang sekular liberal.
Jawatankuasa Khas Angkatan Tentera (SCAF) yang merupakan
kerajaan sementara untuk menguruskan peralihan kuasa, telah meminda peruntukan
perlembagaan dengan menyempitkan kuasa Presiden dengan memberi lebih kuasa
kepada tentera. Ini merupakan cabaran paling besar kerana SCAF terdiri dari 21
pegawai tertinggi tentera dari zaman Hosni Mubarak.
Sebaik sahaja menjawat sebagai Presiden, walaupun Mursi
telah menamatkan jawatan Menteri Pertahanan Mesir ketika itu, Field Marsyal
Hussein Tantawi dan Panglima Angkatan Tentera Mesir, Gen Sami Hafez Anan. dan
melantik Gen Abdoul Fatah Al Sissi, bekas Ketua Perisikan Mesir sebagai ketua
tentera yang baru dan Menteri Pertahanan .
Namun ancaman dari tentera masih tidak boleh dipadamkan
dari pentadbiran negara. Pentadbiran Mursi yang baru setahun jagung dengan
tidak pernah mempunyai pengalaman mentadbirkan negara yang mempunyai perbagai
latarbelakang kefahaman dan ugama walaupun secara amnya penduduk Mesir adalah
berbangsa Arab.
Ini kerana sebahagian penduduknya adalah beragama
kristian ortodox Qibti telah membentuk satu aliran yang bertentangan dengan
semangat pemerintahan Mursi. Di samping itu Mursi yang selama ini hanya
berupaya "mentadbir parti" iaitu Ikhwanul Muslimin sahaja, tetapi
beliau tidak juga sealiran sepenuhnya dengan beberapa buah parti Islam yang
lain.
Kerana parti-parti ini juga mempunyai semangat nasionalis
serta tidak terlalu ekstrim terhadap agama. Dalam setahun pentadbiran Mursi,
beliau menggunakan beberapa bulan terawal untuk cuba mententeramkan politik
serta mengimbangi kuasa antara tentera dan pihak awam, dan dalam masa yang sama
beliau tidak pula cuba untuk membuat pendekatan ekonomi dengan polisi-polisi
yang lebih baik daripada regim Hosni Mubarak.
Maka ekonomi Mesir tidak berkembang bahkan mengalami
penyusutan. Apabila rakyat tidak mendapat pembelaan, maka pembelotan akhirnya
akan terjadi. Rakyat gelisah setelah Mursi terus membuat dasar Islam secara
drastik dan cepat tanpa mengambilkira bahawa rakyat Mesir bukanlah kesemuanya
menerima konsep keIslaman tajaan Ikhwanul Muslimin. Ini dibuktikan dengan
kemenangan Mursi sebagai Presiden pun hanya berbekalkan 51.7% undi yang
menyokong.
Ia menggambarkan penerimaan dasar-dasar Islam yang
dianjurkan oleh Ikhwanul Muslimin tidak diterima oleh hampir separuh rakyatnya.
Kemenangan Revolusi Dataran Tahrir yang menumbangkan Hosni Mubarak sepatutnya
diisi dan dikongsi oleh keseluruhan rakyat Mesir.
Tetapi dasar-dasar keras dan drastik Mursi menyebabkan
kekecewaan dari puak pembangkang. Memang tidak dinafikan bahawa dalam masa yang
sama pihak pembangkang juga menerima dana-dana asing serta sokongan
tangan-tangan ghaib pihak barat yang ingin melihat kehancuran sebuah kerajaan
Islam. Peranan media-media barat serta media sosial yang seperti Facebook,
twitter dan blog telah menyemarakkan lagi keadaan.
Mursi tidak belajar dari kejayaan Erdogan di Turki yang
menggunakan pendekatan meneruskan sistem sekular Kemal Ataturk pada peringkat
awal pentadbirannya. Kemudian beliau membuat perubahan secara perlahan-lahan
agar rakyat tidak menolak cara penyerapan pemerintahan ala Islam yang
ditonjolkannya.
Namun Mursi terlalu cepat untuk melaksanakan
undang-undang Islam secara revolusi dan bukan evolusi, maka tentangannya juga
agak keras. Maka akhirnya Mursi terpaksa mengakui bahawa dasar-dasarnya telah
gagal untuk diaplikasikan di Mesir ketika itu.
Sempena dengan ulang tahun pertama Presiden, Mohammed
Mursi menjadi Presiden, jutaan rakyat Mesir membanjiri jalan raya menuntut
supaya beliau meletak jawatan. Ini merupakan cabaran terbesar kepada Mursi yang
mewakili proksi kumpulan Ikhwan Muslimin Mesir.
Mereka mengibarkan bendera kebangsaan dan melaungkan
slogan “Keluar!”, hampir 500,000 rakyat Mesir berkumpul di sekitar pusat Tahrir
Square, Kaherah, demonstrasi terbesar sejak revolusi 2011 yang menumbangkan
Hosni Mubarak.
Jurucakap rasmi Mursi, Omar Amer, berkata Presiden telah
mengakui kesilapan dan sedang dalam proses untuk membaikinya, selain itu beliau
turut mengulangi tawaran Mursi untuk berdialog tetapi jelas beliau berkata
Mursi tidak mempunyai niat untuk meletakkan jawatan.
Penganjur demonstrasi menggesa para penunjuk perasaan
terus menjaga pusat dataran di setiap bandar dan mengepung parlimen sehingga
Mursi meletak jawatan. Ramai penunjuk perasaan melahirkan rasa marah kepada
Ikhwan Muslimin yang didakwa telah ‘merampas’ revolusi Mesir dan menggunakan
kemenangan pilihan raya untuk memonopoli kuasa serta menguatkuasakan
undang-undang Islam.
Tambahan pula kemenangan Mursi menduduki kerusi Presiden
hanya berbekalkan peratusan undi 51.7 % sahaja berbanding lawannya Shafiq,
mantan Perdana Menteri Mesir era Mubarak yang mendapat undi 48.3% undi. Secara
praktikalnya kedudukan Mursi memang agak goyah dengan sokongan yang minima itu.
Pemimpin-pemimpin pembangkang Mesir dari kumpulan
sekular, liberal dan berhaluan kiri termasuk Mohamed El Baradei yang pernah
menjadi Director General bagi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB (IAEA)
terutamanya semasa krisis di Iraq dan Iran dahulu dan calon presiden kumpulan
kiri, Hamdeen Sabahi telah menyertai perarakan bantahan di Kaherah itu.
Beratus-ratus ribu penunjuk perasaan berarak melalui
pelabuhan Mediterranean Alexandria, bandar kedua di Mesir, dan merupakan
bantahan besar yang berlaku serentak sekurang-kurangnya di 20 bandar-bandar di
seluruh negara.
Pihak tentera akhirnya memberikan notis kepada Presiden
selama 48 jam untuk meletakkan jawatan, namun Mursi bertegas akan
mempertahankan jawatannya sekalipun terpaksa bergadai nyawa.
Setelah tamat batas waktu itu, tentera telah menahan
Morsi dalam tahanan rumah dan pegawai-pegawai parti Ikhwanul Muslimin.
Menggantung perlembagaan dan menutup beberapa stesyen radio dan TV yang pro
Mursi. Daripada berita terkini melaporkan Mursi di tahan bersama bapanya di
Kementerian Pertahanan.
Beratus-ratus ribu rakyat Mesir mengambil tempat di
jalan-jalan seluruh Mesir dan tindakan tentera dan kumpulan anti-kerajaan pula
meraikan kejatuhan presiden itu. Ketua Mahkamah Agung Perlembagaan Negara, Adly
Mansour mengangkat sumpah sebagai Presiden Sementara.
Menurut ketua Tentera, Gen Abdoul Fatah Al Sissi yang
merampas kuasa, pilihan raya parlimen baru bakal diadakan dan pada masa yang
sesuai, dan Mansour mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan perlembagaan baru.
Gen Abdoul Fatah Al Sissi mendakwa, pihak tentera telah memenuhi tanggungjawab
mereka yang dianggap bersejarah bagi melindungi negara dengan menggulingkan
Mursi.
No comments:
Post a Comment