Wednesday, 19 March 2014

Terima Kasih Hj Arah

#PrayForMH370

"Mungkin kelewatan ahli agamawan dalam merespon isu kehilangan pesawat MH370 dari aspek spritual menyebabkan bomoh nujum Ibrahim Mat Zain muncul menjadi alternatif kepada solusi spritual pesawat ini."

Saya mula memberanikan diri untuk membuka soalan ini kepada Hj Arah. Sudah lama saya memendam beberapa persoalan terutama berkaitan kepimpinan dan agama  untuk bertanya kepada beliau memandangkan keterbukaan Hj Arah dalam pelbagai isu.


Hj Arah adalah seorang nama yang tidak asing bagi kami untuk meminta nasihat dan pandangan dalam semua perkara. Bahkan bagi kami yang dekat dengan beliau, kami sentiasa menagih nasihat dan motivasi daripada beliau apabila setiap kali bertemu.

Mahu tidaknya, tidak silap saya haji Arah kerjayanya bermula sebagai seorang mekanik kenderaan berat, lulusan diploma yang bekerja di Petronas, berhenti bekerja untuk menyambug pelajaran di UK, dipanggil semula oleh Petronas untuk bekerja dan sekarang bekerja di Saudi. Pendek kata bermula di bawah hingga bekerjaya di Saudi.

Pandangan beliau yang selalu matang dan sentiasa mengheret sesuatu isu kepada perbincangan menambahkan lagi minat saya untuk bertanya kepada beliau kepada beberapa soalan yang ingin saya utarakan. 

Kalau dengan Hj Arah pastinya perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit bersama beliau kerana setiap kupasan belliau sarat dengan ilmu, pandangan dan pengalaman sebagai aktivis dakwah di Malaysia.

Persoalan yang saya utarakan di atas bukan perkara utama yang ingin saya bincangkan bersama beliau memandangkan isu MH370 tidak mempunyai titik konklusi yang muktamad dan perkara tersebut biarlah diteliti dan disiasat oleh mereka-mereka yang pakar dalam bidang penerbangan.

"Ya Faizal, kita tidak dapat menafikan ahli agamawan sedikit lambat dalam memberi respon terhadap isu ini, sehinggakan tidak ada seorang mufti yang lantang mengkritik tindakan bomoh tersebut."

Saya mula memberikan perhatian kepada apa yang Hj Arah ingin sampaikan. Bagi saya setiap perkataan yang diucakpakan oleh beliau amatlah bermakna bagi saya untuk mengasah pemikiran saya.

" Kita kena terima bahawa Khairy Jamaluddin, adalah seorang ketua, kerana ketangkasan dan pendirian beliau terhadap isu ini. KJ mampu memberikan pandangan beliau luar dari partisipitasi politik."

"Benar Haji, saya terima itu." Saya menjawab. Bagi saya KJ adalah seorang yang berani dan bersedia setiap masa untuk berdebat dengan mana-mana pihak sama ada lawan atau seteru politiknya.

"Kita jangan mudah untuk melantik pemimpin dengan hanya melihat beliau pandai untuk berceramah dan menganggap beliau serba serbi tahu. Kamu tahu kebanyakan pemimpin UMNO adalah dari berlatarbelakangkan sekularis." Hj Arah mula memberikan pandangan beliau kepada saya.

Saya cuba untuk menanggapi apa yang Hj Arah ucapkan. Bagi saya bukan bermaksud Hj Arah pro kepada sekularis dan menolak agamawan untuk memimpin, tetapi pada pandangan saya beliau cuba untuk memberitahu kebanyakan mereka yang tidak mempunyai pendidikan formal agama berada di mana-mana untuk memimpin kerana profesinalisme dan budaya kerja yang ditunjukkan sekiranya tidak mengambil kira perkara korupsi dan penylahgunaan kuasa.

Ya benar sekiranya kita mempunyai perwatakan agamawan tetapi tidak pandai mengurus, tidak pandai membahas ekonomi secara terperinci, tidak mampu meyediakan manual solusi terhadap apa yang kita kritikkan ia seperti seorang "ustaz kampung", berkata itu dan ini haram tetapi bila ditanya apa yang perlu dibuat, tidak tahu apa cara yang terbaik untuk solusi tersebut.

Malu dan sungguh malu sekiranya perkara ini berterusan untuk sekian lama. Ini bukan zaman mengkritik tindakan seseorang, ini zaman orang mahu melihat apa yang ingin kita bawakan.

"Adakah pemimin itu lahir daripada sifat semulajadinya yang dikurniakan oleh Allah seperti sentiasa berperwatakan tenang, cekap memberi respon, matang dan lan-lain." Saya bertanya.

" Sebenarnya kepimpinan ini adalah perlu dibentuk dan dilatih, ada kalanya dalam latihan ini ia gagal atau berjaya, tetapi ia perlu dilatih. Menjadi pemimpin adalah orang yang pandai mengawal orang dengan pelbagai kebolehan dan pandangan, bukan hanya mampu mengawal orang yang hanya sependapat dengan kita, itu bukan pemimpin.

Sekiranya pemimpin itu gagal mengurus orang seperti ini, maka akan lahirlah kelompok atau kumpulan lain yang tidak berpuas hati terhadap beliau." Hj Arah menjawab.

Perbincangan kami berhenti setakat ini disebabkan saya perlu pulang ke rumah pada pukul 11 malam, kerana keesokannya seawal jam 4.45 pagi azan subuh akan berkumandang di Jubail dan 6.30 pagi saya perlu bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

Perbualan kami cukup bermakna buat saya kerana inilah pertama kali saya berkesempatan untuk berbincang dengan Hj Arah secara berdepan. Ya peranan kami tidak banyak dalam aktivis dakwah di Malaysia.

Saya tahu keupayaan kami yang terhad di sini. Tetapi minat saya untuk bekerja di luar negara bukan untuk mengejar jawatan kerjaya di sini, cukuplah sekadar apa yang diamanhkan kepada saya sebagai seorang engineer. Inshallah saya akan terus kuat semangat untuk menjadi seorang engineer yang benar-benar engineer.

Apa yang saya harapkan di sini dan selalu saya pesan kepada isteri saya supaya saya dapat mengambil pelajaran yang berguna di sini untuk manafaat aktivis dakwah.

Seperti apa yang saya pernah sebut pada Hj Arah walaupun mungkin boleh dipertikaikan, untuk mememliki pandangan global dan terbuka perlu berhijrah daripada luar Malaysia untuk melihat dunia ini dengan pandangan yang luas dari segi perbezaan mazhabnya, politiknya, budaya kerja dan lain-lain.

Saya tetap percaya kepada nasihat daripada Hj Ramli (YDP Hikmah Jubail), adapun perkara-perkara luar seperti kerjaya, kepimpinan perlu dibina oleh kita sendiri, tetapi perkara-perkara dalaman sangat bergantung kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Buat masa ini saya teramat memerlukan seorang murabbi (pendidik) kepada saya untuk melatih cara saya berfikir dan berpandangan jauh untuk matlamat dakwah.

Apa pun semoga pertemuan dan perbincangan saya dengan Hj Arah diredhoi oleh Allah sebagai pertemuan yang mendapat syafaat daripada Allah s.w.t di padang mahsyar kelak.

Ya Allah restuilah kami dan pendirian kami supaya terus kekal dalam perjuangan islam demi kebaikan agamaMu...Ameen













No comments:

Post a Comment