"Ana tidak mahu untuk bertanding menjadi calon dalam PRU 13 akan datang, ana tak kuat, tidak mampu melayan kerenah rakyat sekiranya menjadi YB, tidak mampu istiqamah dalam ibadat seperti membaca al-Quran, menuntut ilmu, puasa sunat, sunat tahajud dan lain-lain" Demikian ujar seorang ustaz dalam ceramahnya
Hari ini kita lihat umat Islam tidak mampu menyerlah dalam semua bidang lapangan kerana sikap mereka yang tidak mahu kehadapan atau memimpin sesuatu perkara. Apa yang umat islam suka adalah hanya melihat keadaaan berlaku dan menanti sesuatu isu yang timbul barulah mereka akan mengeluarkan sesuatu hukum agama.
Ini bermakna kita hanya pesimis dalam sesuatu perkara dan tidak mahu bertindak sebagai penyelesai masalah yang timbul. Kemunculan isme-isme, kemunculan golongan Syiah dalam gerakan Islam, dan banyak lagi perkara-perkara lain yang tidak mampu untuk disaingi oleh kita selaku umat Islam yang sudah faham akan ketanggungjawaban untuk menentang perkara yang songsang ini dengan menginfakkan diri bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Ada pula segelintir umat islam langsung tidak mahu untuk memikirkan soal jawatan atau yang berkaitan dengan urus tadbir masyarakat kerana menganggap perkara ini adalah kotor dan memecahbelahkan masyarakat.
Mereka berhujah sudah ramai yang mati disebabkan untuk menjadi ketua. Terbukti apabila sudah banyak berlaku pembunuhan sejak dari zaman pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin, pemerintahan bani Umayyah, bani Abbasiyah hinggakan pembunuhan tersebut berlaku antara para sahabat, perang saudara di antara adik beradik dan lain-lain lagi.
Hendak mengatakan mereka ini salah atau betul secara total pun tidak boleh, tetapi inilah realiti yang berlaku dalam kehidupan kemasyarakatan. Akhirnya sandaran masyarakat tidak lagi pada ajaran islam yang sebenar, dan mereka mencari-cari nilai kemasyarakatan yang mereka rasakan logik untuk digunapakai kerana terpengaruh dengan karismatik seseorang yang mampu membawa mereka memperoleh kejayaan di dunia.
Sebenarnya kita umat Islam tidak perlu menghabiskan masa terhadap perkara salah yang sebenarnya sudah salah seperti isme-isme dan lain-lain, kerana memang sifat musuh Islam adalah merosakkan pemikiran dan aqidah umat Islam itu sendiri.
Yang patut kita lakukan adalah menonjolkan karismatik kepimpinan islami yang sudah difahami untuk diterjemahkan di medan praktikal. Bukti soalan di atas ditanya oleh seorang pelajar kepada gurunya, tentang taklifan untuk menjadi wakil rakyat.
Jawapan tersebut memang menunjukkan rasa rendah diri dan tawaduk terhadap taklifan yang ingin ditawarkan. Rasa diri serba kurang dan lemah malah mengemukakan hujah Abu Dhar yang meminta jawatan terhadap nabi Muhammad s.a.w.
Membandingkan diri semua yang mendengar ceramah tersebut tidak sehebat sahabat nabi s.a.w yang bernama Abu Dhar. Memang tidak salah untuk membandingkan diri kita dengan sahabat, kerana sudah pasti sahabat nabi seperti Abu Dhar dan lain-lain lebih hebat komitmen agama mereka daripada kita.
Benar Abu Dhar sahabat nabi yang tidak kuat untuk memegang jawatan, tetapi kita perlu ingat Khalid al-Walid yang baru sahaja memasuki Islam terus dipilih sebagai ketua tentera Islam dan lain-lain.
Kita bertindak mengatakan itu dan ini tidak betul kepada perkara yang sudah pasti songsang, tetapi apabila diminta untuk memikul taklifan untuk menjadi orang yang terkehadapan untuk membetulkan perkara yang tidak betul itu sering kita kemukakan alasan yang mengatakan kita tidak cukup baik dan soleh.
Kita suka mengambil mudharat yang lebih besar daripada mengambil mudharat yang lebih kecil yang akhirnya akan merosakkan keadaan. Fiqh keutamaan yang difahami tidak dipraktikkan. Maaf sekiranya terkasar bahasa, kita hanya memikirkan soal tawaduq dan kesolehan kita semata-mata, hingga tidak mahu ketawadukan dan kesolehan kita berkurang apabila bersosial dengan masyarakat..!
No comments:
Post a Comment