Sunday, 18 November 2012

Ketika Cinta Bertahmid



“Ana ingin mengkhitbah dia ustaz, sudah lama ana memendam perasaan pada dia ustaz. Ana khuatir jika perasaan ini tidak diluahkan, ana bimbang lama kelamaan ia akan membawa kepada perkara maksiat. Ana redho dengan keputusan yang bakal diterima. ” Kata seorang pemuda kepada murabbinya.

“Nanti ana sampaikan pada orang yang anta minta.” Kata murabbinya.

Pemuda tersebut menunggu dengan kesabaran, menanti jawapan daripada murabbinya. Setiap bulan beliau bertanya tentang khitbah tersebut. Sekira berjaya khitbahnya, maka dialah gadis yang akan menemani hidupnya di dunia dan akhirat. Gadis yang dikehendakinya pula, bukan calang-calang orang, memiliki kefahaman ilmu agama yang sangat mendalam.


Di fikirannya sudah terbayang pelamin kahwin, kereta, rumah dan anak-anak yang soleh bakal menghiasi kehidupan beliau. Semuanya indah, bagaikan keindahan percintaan Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis.

“Gadis berpendidikan agamawan sudah pasti boleh menjadi seorang ustazah di luar dan di dalam rumah, aku tidak perlu mendidik agamanya, anak-anak nanti mesti enam hingga tujuh tahun sudah pandai mengaji, aku pula boleh menadah ilmu agama padanya setiap hari.” Bisik hati kecil pemuda tersebut.

Astaghfirullah...!

Beliau mula tersedar daripada lamunan dunia. Berjaya juga syaitan menggunakan senjata utamanya dengan membisik angan-angan keduniaan yang keterlaluan di dalam jiwa seorang pemuda itu.

Selepas beberapa bulan menunggu, “maaf, anta boleh mencari muslimat yang lain.” Jawab murabbi tersebut kepada beliau dengan harapan yang baru.

Termasuk ini bukan pertama kali pemuda tersebut mengkhitbah muslimat, tetapi sudah masuk kali ke-2 beliau mencuba.

“Tidak mengapa ustaz, mungkin bukan jodoh ana dengan dia.” Pemuda itu menjawab dengan selamba. Di depan orang pemuda itu nampak tenang menerima jawapan tersebut, namun dalam hatinya perasaan dia berkeceramuk mengenangkan sekuntum bunga yang utuh dengan keaslian kecantikan walaupun acap kali dilanda cuaca sejuk dan panas yang melampau.

“Orang yang baik untuk orang yang baik.” Pemuda itu merintih doa dalam solatnya.

“Ya Allah adakah aku bukan tergolong di dalam kalangan hamba-hambaMu yang beriman. Banyakkah dosa-doa aku kepadaMu. Kelembutan akhlak dan ketegasannya dalam berdakwah telah meyakini aku untuk mengkhitbahnya.

Aku meyakini gandingan dia dan aku bakal merancakkan lagi dakwah islam selepas kami bergelar graduan.Sekarang aku tahu, aku banyak kekurangan dan dosa tidak sesuai untuk mana-mana muslimat.” Pemuda itu sudah tampak kekecewaan di wajahnya apabila dia sudah merendahkan dirinya sendiri.

“Ya Allah jika dia baik untuk kehidupan agama aku, maka dekatkanlah aku dengan dia.”

Seolah-olah beliau menolak takdir apabila masih lagi menyebut nama gadis tersebut dalam solat malamnya. Langsung pemuda tersebut tidak mendoakan kebaikan gadis idamannya, tetapi terlalu pentingkan diri sendiri dengan hanya mendoakan kebaikan pada dirinya.

Pemuda tersebut sedia maklum yang dia tidak boleh lagi mengkhitbah gadis tersebut atas alasan yang cukup konkrit. Pemuda itu tahu yang dia tidak boleh  lagi untuk berharap atas perkara yang sudah pasti bukan miliknya lagi, cuma doanya itu adalah satu emosi yang turut tenggelam dalam naskah cinta.

Dia berkelakuan sedemikian hanya ingin memulihkan emosinya, kerana sekiranya dia tidak berbuat demikian, pasti dia tidak dapat merasionalkan dirinya kembali. Bukankah nafsu dan emosi itu dapat dikalahkan dengan akal yang sihat dan berilmu. Lantas sebab itu dia sengaja menurut emosinya supaya dia tahu tindakannya sekarang tidak berpandukan ilmu dan akal yang waras.

Pemuda itu menjalani rutin harian seperti biasa. Sebenarnya pemuda tersebut seorang graduan universiti yang masih bergelut untuk menamatkan pengajian tahun akhirnya di kampus. Dia bukan pelajar syariah, sunnah mahupun usuluddin, tetapi seorang pelajar kejuruteraan.

Anehnya lagi pemuda tersebut pada ketika itu tidak mempunyai harta dan keluarga yang berada, apatah lagi beliau hidup di bawah paras kemiskinan tetapi sudah mula bersedia untuk berumah tangga di usia seorang graduan. Mujurlah dia mempunyai biasiswa pelajaran yang meyakini diri dan keluarganya untuk mendirikan rumah tangga.

Tarbiah kampus yang dilalui pemuda tersebut telah membakar semangatnya untuk terus memberikan komitmen kepada jemaah islam melalui pembentukan baitul muslim.

Ya tarbiah kampus yang bukan sahaja mengajarnya tentang kefahaman islam tetapi lebih mengajarnya tentang bagiamana untuk hidup di bawah kehidupan islam bermula dari individu, keluarga, masyarakat dan negara. Semua ini perlu dilalui secara berperingkat dan mengikut perancangan yang begitu sistematik.

“Kebenaran yang tidak terancang dapat dikalahkan dengan kebatilan yang terancang.” Saidina Ali.

~Bersambung~


No comments:

Post a Comment