Sunday, 12 May 2013

Ulen Nuoha Binti Mohd Faizal Muslimat Pasca PRU-13


Alhamdulillah sudah 14 hari Ulen Nuoha Binti Mohd Faizal dilahirkan di dunia ini. Genap sudah 1 tahun saya bersama isteri mendirikan rumah tangga pada tanggal 12 Mei 2012 yang mana pada waktu itu kami disatukan untuk menambah taklifan menjadi suami dan ayah atau menjadi isteri dan ibu.


Tidak terfikir di fikiran saya bersama isteri untuk merancang kelahiran zuriat kami. Bagi kami zuriat yang lahir itu adalah harta yang tidak ternilai yang dikurniakan di sisi Allah s.w.t kepada hambanya. Sungguh pun ada pendapat-pendapat yang membolehkan perkara tersebut, tetapi kami lebih selesa meletakkan ketentuan zuriat itu kepada Allah s.w.t

Sekiranya kita dikurniakan oleh Allah anak yang ramai, sudah pasti Allah akan kurniakan rezeki yang berlimpah ruah kepada kita, ini formula mudah bagi saya.

Penulisan saya kali ini bukanlah berkisar untuk menjadi perunding rumah tangga, tetapi ingin menukil sebuah harapan kepada zuriat yang telah lahir di muka bumi.

Saya menamakan anak saya Ulen Nuoha Binti Mohd Faizal yang bermaksud "penghulu bagi orang yang berfikir", rentetan daripada pandangan saya melihat kelemahan umat islam dari segi pemikiran biarpun mereka yang berpewatakan islamik.

Sering kita merasakan kita sudah betul dari segi pemikiran, sudah jauh dari simpang siul perkara yang tidak berfaedah dan menumpukan segala tindak tanduk dan pemikiran kita kepada perkara yang bermanafaat, cuma silapnya perkara yang kita rasakan bermanafaat itu sebenarnya belum cukup bermanafaat, malah telah merugikan masa kita.

Umat Islam dalam banyak perkara sering didahului daripada mendahului, seperti dari segi kerangka idea yang terperinci, ekonomi, dan lain-lain lagi. Ini menyebabkan mereka yang berperwatakan islamik hanya dijadikan penggerak atau pengguna yang baik daripada menjadi pengurus atau pengarah yang baik.

Untuk melakukan tajdid umat islam, saya yakin ia memerlukan pemikiran yang kaya dengan idea-idea baru, yakni selari dengan nas-nas syarak. Umat islam sebenarnya banyak bahan untuk meberikan idea-idea yang baik, cuma mungkin kita tidak mendalami lagi sesuatu perkara secara terperinci.

Ini adalah harapan saya terhadap kelemahan umat islam pada hari ini, dan diterjemahkan kepada kelahiran puteri sulong saya untuk menjadi pemikir yang baik bagi menyelesaikan perkara ini. Maka sebab itu saya namakan puteri sulong saya Ulen Nuoha kerana panggilan kepada nama tersebut merupakan doa kaum muslim kepada Allah.

Manusia memang mempunyai kudrat yang terbatas dalam semua perkara, begitu juga harapan saya kepada puteri sulong saya juga mempunyai keterbatasannya untuk membimbing beliau kearah harapan tersebut, kerana pemikiran puteri sulong saya bakal diasah oleh suasana masyarakat, keluarga, pengalaman dan kehidupan rumah tangga beliau setelah beliau meningkat dewasa. Cuma tidak salah sebagai muslim kita memasang cita-cita dan harapan.

Wallahua'lam

1 comment:

  1. assalamualaikum abang faizal. nak tanya yup.
    ulen nuoha tu bahasa apa? sedap~
    mane source abang cari nama tu yup.

    ReplyDelete