Sunday, 11 November 2012

Konvo pun sudah



“Faizal aku tengok kerap kali kau tak datang kelas, sibuk sangat ke menjadi MPP.?”

“ Kita sebagai umat islam wajib untuk melakukan yang terbaik dalam akademik, cuba untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.!”

“ Faizal, macam mana dengan tesis kau, aku bimbang sangat ni, orang lain dah masuk makmal dan nak hampir siap, kau pula baru nak cari alat untuk masuk makmal, sempat ke untuk siapkan tesis kau.?”

Siapa yang tidak mahu cemerlang dalam akademik sehingga meraih anugerah dekan, anugerah diraja dan bermacam-macam lagi anugerah yang dikejar oleh seorang graduan dalam pencapaian akademiknya.

Bertubi-tubi soalan di atas diajukan buat diri saya sehingga menimbulkan perang psikologi yang membawa konflik identiti buat diri saya. Diam pun salah bercakap pun salah, serba tidak kena saya ketika itu.


Jika diam menandakan saya setuju dengan perkara tersebut, bila bercakap pula dikatakan tidak mahu menerima teguran daripada sahabat atau cuba mencari seribu alasan. Ya, nasihat memang baik buat kita selaku muslim, apatah lagi sahabat kita merupakan cerminan kita. Dengan nasihat daripada seorang rakan, kita dapat tahu baik dan buruknya peribadi kita yang perlu diperbaiki mahupun ditingkatkan potensi diri.

Tetapi apabila nasihat itu bertindak untuk menghukum seseorang individu tersebut dengan mengatakan dia pemalas, tidak suka belajar, tiada komitmen terhadap pelajaran, maka pada ketika itu remuknya emosi hanya Allah sahaja yang tahu.


Agaknya mungkin pemikiran skeptikal pendakwah atau mereka-mereka yang islamis gemar melihat sesuatu keadaan terjadi dengan terus cepat menghukum keadaan sebelum menilai dahulu mengapa perkara tersebut terjadi, meyebabkan ramai manusia yang takut untuk mengikut atau bersosial dengan cakap-cakap para pendakwah.

Saya cuba juga untuk memurnikan jawapan saya, dengan memberitahu sesuatu kegagalan tidak harus diukur semata-mata pada sesuatu tempat. Saya mengisahkan satu peristiwa yang berlaku, apabila saya mengambil contoh ada di kalangan kenalan kita pernah berjaya pada waktu sekarang dan kita pun memuji atau menghormati kejayaan beliau.

Di mata kita orang tersebutlah idola, dan boleh diangkat menjadi ikon mahasiswa yang perlu dicontohi. Tetapi kita lupa, yang sebenarnya orang tersebut sebelum ini sudah perit menempuh kegagalan hingga membawa kepada perasaan berputus asa.


Bayangkan pada ketika itu kita mengenali dia yang berada dalam kegagalan, barangkali teguran-teguran yang bersifat menghukum yang diterima oleh beliau daripada kita seperti pemalas, bodoh, menjatuhkan umat islam dan lain-lain.


Manusia hanya memandang dan menghormati seseorang apabila memperoleh kejayaan, sedangkan kita akan mencemuh seseorang apabila menemui kegagalan. Mungkin disebabkan oleh ledakan material kita berfikiran seperti ini kerana kejayaan itu hanya diukur dengan pencapaian yang cemerlang di dalam semua bidang.


Perkara ini tidak dapat dielak, kerana sebagai manusia menjadi lumrah kita memberikan pujian terhadap seseorang yang memperoleh kejayaan. Malah akhlak ini dipuji oleh agama Islam, cuma nasihat mahupun teguran itu hendaklah ia bersifat membina bukan menjatuhkan lagi emosi dan semangat seseorang.

Apatah lagi seseorang yang menegur kita itu baru berubah menjadi seorang yang rajin atau baik, nasihat dan teguran itu terlalu terburu-buru seolah-olah menganggap kita tidak faham tentang kebaikan tentang sesuatu perkara.

Mungkin tulisan ini akan mengguris hati kepada yang membaca kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan saya dan kawan-kawan sewaktu di kampus. Bukan juga bermaksud saya ingin menegakkan benang yang basah yakni tidak mengakui kelemahan diri dan harapnya selepas ini sekiranya berlaku perkara yang sama mudah-mudahan saya dapat menjernihkannya dengan mendengar penjelasan saya terlebih dahulu sebelum cepat untuk berkata itu dan ini.

Kita memang mahu cemerlang dalam bidang masing-masing, terutama dalam bidang masing-masing. Begitulah impian dan harapan seorang semasa melangkah kaki ke alam kampus. Apabila sudah berada di kampus minat dan kecenderungan saya mula berubah, apatah lagi bila belajar subjek kejuruteraan mekanikal saya merasakan bidang ini tidak lagi serasi dengan saya.

Minat mula berubah, apabila saya lebih cenderung kepada perkara-perkara yang bersifat falsafah, pengurusan dan pendidikan. Hampir saya berkira-kira untuk menangguhkan tempoh pelajaran saya. Ramai juga kenal-kenalan memberikan motivasi "kita mestilah menjadi pakar dalam kedoktoran, kejuruteraan dan lain-lain."

Pun mereka yang memberikan motivasi tidak berada dalam bidang tersebut. Saya merasakan mereka hanya bermain kata-kata yang indah, sedangkan sekiranya mereka menghormati dan menginginkan pakar-pakar dalam bidang perfesionalan, menagapa mereka tidak ke arah itu sejak dari mula lagi untuk merancang kehidupan.

Saat semakin kritikal apabila saya seringkali tidak hadir ke kuliah-kuliah kerana  merasakan tiada manafaat lagi untuk menghadirkan diri ke kuliah. Maka selepas berfikir panjang, saya gagahkan juga untuk menghabiskan ijazah kejuruteraan ini. 

Saya gagahkan juga untuk menghabiskan ijazah ini kerana sebagai alat dakwah di pandangan orang yang memandang tinggi seorang graduan universiti. Pastinya, selepas graduan, saya tidak lagi meyakini sijil yang ada pada saya.

Walaupun kelulusan ijazah itu mampu melayakkan saya untuk menjadi seorang jurutera, tetapi saya meletakkan keyakinan pada Allah untuk memberikan rezeki yang terbaik untuk hambanya.




Terima kasih kepada ibu, ayah, isteri dan abang

Ramai di antara kita mengenal erti pengorbanan seorang ibu dan ayah apabila kita sudah dewasa dan memahami soal tanggungjawab ibu dan ayah

Maka semakin kuat , kasih sayang, ketaatan dan penghormatan kita pada ibu dan ayah

Tetapi....

Ibu dan ayah menyayangi, menjaga dan memberiakn pendidikan kepada anak-anaknya sebelum dia mengenal dan memahami kasih sayang tersebut.

Mereka bukan sahaja menjaga kita dengan sifat naluri yang ada, tetapi setelah suami dan isteri diijabkabulakan mereka sudah berbaiah sesama sendiri untuk memberikan yang terbaik buat anak-anaknya hingga...

Diri mereka terkorban sebelum melihat anak-anaknya berjaya...





1 comment:

  1. Itulah kekurangan pendakwah kita masa kini, tidak memurnikan cara didakwah..hasilnya org yg didakwah boleh jdi lgi kronik..

    ReplyDelete