Monday, 30 July 2012

Memimpin Pesta Konvo UKM



"Nanti kalau kita menang Pilihan Raya Kampus UKM, siapa yang akan mengurus Pesta Konvokesyen UKM." Saya terus bertanya kepada sahabat seperjuangan saya sewaktu kami baru tahun dua pengajian di UKM semasa bersama-sama berdaurah di Baitul Qura, Sungai Udang Melaka.

Sahabat saya terdiam seketika, memikirkan soal kepimpinan ini amat berat untuk  menjadi responsif terhadap soalan yang saya ajukan kepada beliau. Benar kepimpinan itu amat penting hinggakan tidak hairanlah, dua sahabat agung nabi iaitu Abu Bakar dan Umar  terus bergegas ke Thaqifah Bani Saidah sejurus kewafatan Rasulullah s.a.w untuk melantik khalifah ummah menggantikan nabi s.a.w.


"Ana rasa lebih baik kita jangan urus pesta konvo sekiranya kita menang kerana kebanyakan kita kurang berpengalaman, biar sebelah sana saja yang menguruskannya." Saya terus menjawab persoalan saya sendiri kerana melihat sahabat saya seolah-olah tidak berminat dengan perbincangan kami sebelah petang ini.

"Faizal, anta kena yakin, sekiranya kita diberikan kemenangan pada PRK kali ini, InsyaAllah akan ada sahabat-sahabat seperjuangan yang boleh membantu kita."

Perbincangan itu diakhiri dengan kata-kata semangat daripada seorang sahabat, yang entah betul atau tidak PRK kali ini Gabungan Mahasiswa boleh menang atau kalah. Cuma sengaja saya ajukan soalan ini kepada sahabat saya supaya kami sentiasa memikirkan perkara yang jauh untuk sentiasa bersiap siaga dari segi pemikiran dan tindakan.

Pada tahun 2011 " Sudah 7 tahun kita tidak menawan PMUKM, malam ini kita menawan PMUKM." Laungan keramat daripada sahabat seperjuangan saya di kampus merangkap Timb Presiden PMUKM Sdr Mohammad Abdullah Bin Mohamed Yusoff tidak dapat dilupakan apabila seluruh warga UKM menjadi saksi atas kemengan kami sebagai GMUKM menawan kembali PMUKM buat kali pertama dalam era penjenamaan semula ProM di UKM.

Soalan yang sama saya tanyakan juga kepada dua orang sahabat saya yang merupakan orang kuat dalam ProM UKM, jawapan yang diberi "InsyaAllah kita sudah ada Pengarah Pesta Konvo kali ini." 

Bukan saya berniat dan bercita-cita untuk menjadi Pengarah Pesta sekiranya bertanyakan soalan yang seumpama itu, cuma saya hanya khuatiri adalah soal kewibawaan kami yang baru sahaja memenangi PRK untuk menguruskannya dan tiada perbincangan secara mendalam tentang kepimpinan pesta konvo selama saya terlibat dengan politik kampus selaku ProM UKM.

Setelah sebulan kemenangan kami, majoriti kepimpinan ProM UKM memutuskan saya sebagai Pengarah Pesta UKM kali ke-39. Maka memoir saya di tahun dua itu benar-benar terjadi kerana di tahun tiga pengajian, ProM UKM diberi mandat mentadbir Pesta Konvo UKM, dan saya pula dilantik sebagai pengarah terbesar pesta konvo ini.

Jika ditanya pengalaman peribadi saya semasa mengurus pesta ini, ia memang terlalu ngeri untuk dijadikan pengalaman hidup. Program yang menelan belanja ratusan ribu ringgit, dimaki oleh ajk sendiri, program kami agak hambar kerana disabotaj oleh orang UKM sendiri, dihentam dalam mesyurat bersama NC UKM, kesemua fail dan dokumen habis dibawa lari oleh pihak tertentu, demonstrasi penggerai di depan saya secara besar-besaran, dituduh membawa budaya hedonisme dalam pesta dan lain-lain cemuhan yang tidak mampu lagi ditahan oleh saya.

Hingga pada saat itu bumi yang luas ini dirasakan begitu sempit buat diri saya, menitis air mata saya saat ketika berjumpa dengan seorang senior bagi meminta nasihat.

Apapun perkara ini telah berlalu sudah hampir 1 tahun, yang tinggal hanyalah sebuah memoir yang tidak dapat saya lupakan. Dan segala permasalahan itu telah pun dijawab dengan sebaik-baiknya oleh MT Pesta dan PMUKM. Kepada seluruh ajk Pesta Konvo UKM 2011, saya mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah buat diri anda sendiri kerana berani untuk bersama-sama menyelesaikan masalah.

Kepimpinan merupakan takdir Allah yang menentukan seseorang itu berada pada posisinya. Amat buruk perangai manusia itu jika dirinya cuba untuk meminta jawatan atau bercita-cita untuk menjadi ketua ummah, kerana gunung ganang pun tidak tahan menanggung taklifan di atas muka bumi ini.

Sudah beberapa sahabat saya jika ditanya tentang perancangan masa depan, masing-masing ingin menjadi YB. 

"Kenapa mahu menjadi YB.? Kita perlukan orang yang berfikrah untuk memimpin ummah, terutama daripada mereka yang sudah terlibat dengan kepimpinan kampus lagi."

Saya hanya mampu berbisik dengan mereka, "bagus anta punya perancangan, cuma hati-hati dengan jawatan, kerana kita tidak mampu untuk melawan ujian pangkat ini."

Kuasa itu penting kerana memberikan kebebasan setiap individu untuk memilih atau membuat keputusan mengikut apa yang dikehendaki, tidak kiralah kuasa itu datang dari keluarga, diri, masyarakat, negara dan lain-lain.

Apa-apa pun yang kita hajati suatu hari nanti, lebih baik siapkan diri untuk menerima sebarang jua taklifan dan tidak tapikal memandang taklifan itu ke arah untuk menjadi YB.

Kita menerima taklifan bukan kerana kerjaya tetapi ia adalah tanggungjawab yang Allah telah takdirkan kepada kita sebagai amal ibadat untuk menjadi bukti kita di depan Allah s.w.t










No comments:

Post a Comment