Friday, 27 July 2012

Aku Terima Nikahnya



"Aku terima nikah Maisya Azila Binti Haji Ismaon dengan mas kahwin 80 ringgit tunai." 

Hanya dengan suami, isteri, saksi, wali dan akad, maka semua yang terhalang disebabkan i'tilat di antara lelaki dan perempuan kini menjadi halal buat kedua-dua pasangan suami isteri setelah ijab dan qabul dilafazkan.

Kini wali puteri ayah telah diserahkan sepenuhnya kepada suami, bukan sebagai transaksi jual beli, tetapi kehidupan berumah tangga sudah bermula buat pasangan baru untuk memimpin kehidupan yang bersyariat.

Memang sudah biasa bagi semua pasangan suami isteri akan melalui majlis akad nikah yang membolehkan mereka menjalani kehidupan berumah tangga. Majlis yang pastinya digeruni oleh pasangan terutamanya pengantin lelaki, kerana diselubingi dengan pelbagai perasaan seperti malu dan gementar yang sudah sebati buat diri si suami.


"Berapa kali lafaz.? Biar lancar lafaznya, cukup sekali sahaja, kalau dua tiga kali malu nanti pada semua yang tengok." Inilah beberapa soalan yang menambahkan lagi ketakutan buat pengantin lelaki. Biarpun cukup dengan lafaz "aku terima nikah", maka sudah sah ijab dan qabul itu, tetapi dengan penuh hormat kepada undang-undang syariah malaysia, maka tiada masalah untuk melafazkan ijab dan qabul hingga kepada nilai mas kahwinnya.

Perkahwinan terutamnya di usia yang muda, tambahan pula sewaktu bergelar mahasiswa bukannya perkara yang mahu dibanggakan oleh saya. Bukan juga saya mahu memperbanyakkan kempen supaya seeloknya kita berkahwin di usia yang muda, kerana saya yakin dan percaya ramai di antara kita sudah faham kelebihan dan manafaat untuk berkahwin di usia yang muda.

Ya, ramai di antara kita sudah faham hukum hakam "couple", dengan kahwin awal dapat mengelak maksiat, hidup menjadi fokus, hati menjadi lebih tenang, dimurahkan rezeki, dapat berkongsi kasih sayang dan berbagai-bagai lagi kelebihan kahwin terutamanya di waktu muda. 


Hatta ada di kalangan kita sedikit cemburu bila melihat kawan-kawan kita dapat mendirikan rumah tangga di usia yang muda sedangkan kita sangat berkempunan ke arah itu. Bukan kita tidak berusaha ke arah itu, segala macam pujuk rayu telah kita lakukan dan lakonkan kepada kedua ibu bapa kita untuk menyampaikan hajat  yang murni ini.


Pastinya jawapan terhadap apa yang kita sampaikan kepada kedua ibu bapa kita sudah pun kita jangkakan. "Tunggulah bekerja dahulu baru kahwin. Duit pun tak cukup lagi, macam mana nak bagi nafkah pada isteri kamu. Sabar dahulu, kan masih muda lagi kamu ni. Boleh kah kamu sediakan duit sebanyak 20k untuk seluruh kos walimah nanti."


Dengan pelbagai kekangan yang ada inilah yang menjadikan kita terpaksa menangguhkan dahulu niat untuk mendirikan rumah tangga kerana mahu menyediakan kewangan yang secukupnya sebelum mendirikan rumah tangga. Mungkin masalah untuk mendirikan rumah tangga dewasa kini bukan lagi datang daripada lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin, tetapi masalah yang besar datang adalah dari kedua ibu bapa keluarga.


Kedua ibu bapa yang mendatangkan masalah itu bukan melambatkan perkahwinan disebabkan oleh kekurangan melihat bakal menantu mereka dari segi karismatik kepimpinan, ilmu pengetahuan, akhlak, komitmen agama, walaupun datanglah sehebat para anbia dan sahabat nabi untuk melamar anak mereka, maka kedua ibu bapa  tetap tapikal memandang kepada kereta, kerja, rumah dan semestinya hantaran kahwin yang tinggi.


Saat lafaz 'aku terima nikah" pastinya dilalui oleh semua orang yang ingin mendirikan rumah tangga, cuma yang bezanya pasti pada dimensi kita melihat makna dan penghayatan lafaz itu.


Soal tanggungjawab terhadap keluarga adalah dimensi yang sama bagi mereka yang mempunyai akhlak dan komitmen terhadap agama iaitu menyediakan sehabis baik keperluan kehidupan seperti rumah, kereta, kerjaya dan lain-lain lagi. Hatta haiwan sekalipun akan menyediakan keperluan yang terbaik kepada pasangan dan anak-anak mereka. 


Maka sebab itu, saya tetap akan menjadikan lafaz "aku terima nikah" lebih daripada tanggungjawab terhadap nafkah buat diri dan keluarga, tetapi ia lebih kepada penghayatan pendidikan kepada keluarga dan masyarakat.


Saya tahu isu perkahwinan terlalu bersifat dalaman untuk dijadikan pendidikan buat masyarakat, cuma daripada kita lebih banyak menonton atau membaca cerita-cerita atau buku-buku cinta dan rumah tangga yang bersifat fatamorgana, maka baik kita lebihkan pembacaan dan penghayatan kepada kisah perkahwinan yang bersifat islamis berdasarkan fakta syarie.

Pendidikan yang menjadikan perkahwinan sebagai ibadat yang melalui proses yang mudah sekiranya kita mempunyai kefahaman terhadap pendidikan agama. Menanam generasi sekarang dengan penghayatan aqidah yang betul bahawasanya soal rezeki, jodoh dan ajal semuanya telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Tugas sebagai manusia, hanyalah berusaha dan bertawakal.


Kita hanya ingin berkahwin, bukannya kita ingin merampas hak wali seseorang kepada kita, walaupun hak wali telah bertukar milik sepenuhnya tetapi ia bukan bertujuan untuk memutus sillaturrahim antara dua keluaraga, tambahan ia semakin merapatkan hubungan kekeluargaan kedua-dua mempelai.


Sudah banyak kita berbahas soal perkahwinan yang selalunya berlegar tentang hantaran yang tinggi, tunggu pasangan mendapat pekerjaan dan gaji yang lumayan, isu kedua ibu bapa yang tidak faham, pinangan ditolak, cerai berai, "couple", dan bermacam-macam lagi isu. 


Tidak habis-habis masalah-masalah seperti itu diulangi, sayugianya pendidikan perkahwinan bukanlah satu perkara yang mudah untuk diamalkan walaupun sudah banyak yang menulis dan bercakap tentang soal pendidikan ini. Kalau kita benar-benar serious untuk melafaz "aku terima nikah", sebagai permulaan berilah kefahaman dahulu kepada kedua ibu bapa dan menyediakan kehidupan pendidikan yang syarie kepada generasi anak-anak yang bakal dilahirkan.


Dengan sebab asas pendidikan inilah, saya membuat keputusan untuk berkahwin awal bahawasanya sekiranya kita telah memikirkan soal ini secara matang, kita telah dewasa untuk diberikan tambahan taklifan. Biarpun saya terpaksa menelan apa yang orang cakap, "mana kau cari duit untuk kahwin ni? kahwin mut'ah ke? kahwin paksa ke?", saya menjadikan itu semua adalah perbezaan pendidikan buat diri dan masyarakat.


Dewasa dalam erti kata, kita bisa mengharungi masalah rumah tangga seperti kebanyakan orang sekiranya dari permulaan hingga ke saat lafaz "aku terima nikah" kita menjadikan Allah dan rasul sebagai ikutan, mana mungkin ibadah kita tidak mendapat pertolongan dan keredhaan dariNya.?









No comments:

Post a Comment