"Murid-murid kena ingat, peperiksaan UPSR adalah peperiksaan sekali seumur hidup, jadi kamu kena cemerlang dalam peperiksaan ini. Bila cemerlang dapat masuk sekolah berasrama penuh atau MRSM. Ibu dan ayah yang melahirkan dan membesarkan kamu bangga sekiranya kamu mendapat 5A dalam UPSR."
Bersekolah di tepi sungai, apalah sangat jika nak dibandingkan dengan bersekolajhdi bandar. Jelas sekali terdapat isu jurang pendidikan di antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar.
UPSR pada tahun 2001 itu ditempuhi saya dan rakan-rakan yang lain. Azam saya hanya satu, untuk menempatkan diri di antara sekolah-sekolah yang disegani oleh masyarakat.
Beberapa bulan selepas UPSR, maka saya berjaya menempatkan diri di sekolah bandar BUtterworth. Pun tidak berjaya menempatakan diri di sekolah-sekolah SBP atau MRSM, mudah-mudahan saya berharap bila bersekolah di bandar lebih memberikan pendidikan yang terbaik dari segi akses terhadap ilmu.
"Murid-murid sekalian, peperiksaan PMR bakal menentukan kamu aliran yang kamu bakal ambil. Sama ada ekonomi, sastera, sains tulen, sains lukisan kejuruteraan dan lain-lain. Kamu juga berpeluang cerah untuk masuk sekolah SBP atau MRSM."
Tanpa berfikir panjang, maka saya berlumba-lumba untuk memperoleh keputusan yang cemerlang bagi menduduki kelas sains tulen dan ingin berazam berpindah sekolah ke MRSM. Maklumlah sekiranya berjaya masuk MRSM atau SBP, peluang untuk memperoleh keputusan SPM yang cemerlang tinggi sebab ramai kawan-kawan yang bijak pandai ada juga di sana. Lagi pun bangga emak dan ayah bila anak mereka masuk MRSM atau SBP.
Hanya kerana subjek sains yang kurang cemerlang semasa PMR, saya masih menetap di sekolah lama sehingga tingkatan lima.
"Murid-murid, keputusan yang cemerlang pada SPM nanti akan membolehkan kamu untuk melanjutkan di IPTA. Bila sudah masuk IPTA, maka kamu akan mudah, sebab senang mendapat pekerjaan. Belajar di universiti pun tak susah macam SPM."
"Universiti..? Siapa yang tidak mahu masuk universiti. Masuk universiti mesti akan jadi golonagan yang bijak pandai, boleh jadi engineer atau doktor." Saya bermonolog.
SPM 2006 ditempuhi dengan penuh semangat. Impian saya hanya satu untuk melanjutkan pelajaran di bidang asasi UIAM atau UM.
Keputusan yang cemerlang pada SPM tidak membawa saya ke mana-mana. Saya hanya berpeluang melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
"Murid-murid kena berazam mendapat 4 flat, nanti dapat masuk universiti yang terkemuka. Masuk bidang engineer atau doktor."
Semangat yang tidak putus asa walaupun tidak berjaya memasuki asasi UIAM dan UM. Terus saya belajar hanya untuk mengejar impian. Dengan keputusan yang cemerlang saya ditaja oleh pihak JPA untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan bahan UKM.
Di universiti hampir sama juga caranya dengan pendidikan rendah sebelum ini, "kamu kena dapat pointer 3.0, senang dapat kerja dan boleh kerja kerajaan."
Di universiti saya belajar tentang makna peperiksaan. Hampir kebanyakan kawan-kawan yang saya pernah berdiskusi mengenai isu pendidikan di universiti memberikan jawapan yang sama.
"Aku belajar untuk mendapatkan sijil sahaja, bukan lagi untuk ilmu. Sebab pendidikan di universiti mengarah kita ke arah "exam oriented".
Sepanjang 4 tahun saya berada di universiti, hampir hilang semangat untuk belajar. Untuk apa saya belajar sekiranya hanya untuk meraih keputusan yang tinggi bagi mendapatkan pekerjaan yang mudah.
Saya pernah ditegur oleh kawan bertanyakan diri saya kenapa tidak datang kuliah, kenapa tidak membuat assignment. Saya mampu terdiam sahaja.
Bukan disebabkan saya sibuk dengan persatuan atau menjadi ketua organisasi menjadikan saya tidak komited dengan pendidikan di universiti, cuma dek kerana semangat yang telah luntur dan tidak mahu lagi pemikiran saya dijajah semasa di sekolah dahulu iaitu belajar untuk meraih sesuatu perkara.
Sejauh mana aqidah kita terdidik yang mengatakan rezeki itu datang daripada Allah s.w.t. Sejauh mana para pendidik menekankan kepada anak muridnya belajar kerana Allah, walaupun kita tidak mendapat keputusan yang cemerlang.
Para pendidik yang sering menjadikan kecemerlangan seseorang itu hanya kepada intelektual semata-mata mungkin tersilap sedangkan intelektual itu adalah subjektif. Tambahan pula kayu ukur kecemerlangan seseorang itu terdapat pada tiga elemen yang penting iaitu intelektual, emosi dan spirit.
Bukan memperoleh kesemua A baru dikira pelajar itu pandai, kerana berkemungkinan kepandaian itu hasil daripada jawapan yang tepat diberikan semasa peperiksaan apabila seseorang itu menghafal fakta, terbaca fakta pada saat akhir mendekati peperiksaan, ataupun sering membuat latihan "past year."
Bagaimana pula integrasi ilmu yang ada pada seseorang itu di luar medan peperiksaan.? Benar integrasi ilmu itulah yang harus diukur kecerdikannya iaitu menghubungkaitkan ilmu yang ada dengan aplikasi kehidupan seharian sama ada dalam bidang pembangunan manusia mahupun teknikal.
Sudah banyak Malaysia menghasilkan tokoh-tokoh teori yang hebat, namun masih sedikit mereka yang menjayakan teori-teori tersebut.
Buat para pendidik, didiklah anak-anak murid dengan pencerahan ilmu yang sebenar walaupun mereka tidak meraih keputusan yang cemerlang. Sekiranya para pendidik memberikan didikan material kepada murid-murid, maka kita akan lihat generasi yang melakukan sesuatu perkara dengan pandangan material semata-mata.
Saya cadangkan kepada para pendidik untuk membaca dan menelaah buku-buku kritikan terhadap pendidik yang menceritakan luahan hati pelajar kerana tidak mempercayai pendidikan di sekolah dan universiti.
Buku pendidikan kepada guru dan pelajar |
Bukan saya bermaksud untuk tidak menghargai jasa guru. Jadinya saya tahu membaca, mengira dan menulis hasil daripada didikan guru melalui hikmah yang Allah ilhamkan kepada saya. Hanya demi melihat generasi yang cintakan ilmu supaya dapat mengintegarsi ilmu mereka, maka saya menulis pandangan ini dengan harapan guru yang dapat mengubahnya semula.
saing terr..
ReplyDelete