Friday, 13 July 2012

Bila dah bertunang, nak kahwin cepat pula?


"Faizal nak bertunang sahaja kan, bukan nak kahwin lagi? Kalau camtu tak apalah, mak tak kisah pun nak bertunang waktu belajar ni, mak sokong sahaja."

Dalam harapan saya, semoga emak memahami isi hati saya yang sebenarnya, yakni tanda-tanda awal untuk mendirikan rumah tangga di usia yang muda.


Beberapa kali memujuk rayu emak saya, "hari tu, Faizal kata nak bertunang sahaja, hari ni dah tukar pendirian pula." Itulah beberapa dialog saya dengan mak, yang akhirnya emak memberikan kebenaran setelah beberapa kali merasionalkan hasrat saya.



"Anta kalau nak Baitul Muslim banyak dugaan dia, mesti akan mula untuk bermesej-mesej dengan muslimat anta tentang cinta-cinta islamik, contohnya dah tahajjud ke belum, jom puasa sunat, jom solat berjemaah. Pun kalau anta dah bertunang, anta mesti nak cepat kahwin." Nasihat seorang senior saya di UKM.


"Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar bagi kaum lelaki melebihi fitnah wanita." (HR Bukhari dan Muslim). 


Biarpun wanita itu lembut, biarpun wanita itu tidak diberikan kuasa talak, biarpun pun wanita itu tidak boleh dijadikan imam sekiranya terdapat lelaki, biarpun wanita itu tidak boleh dijadikan wali pernikahan, tetapi wanita yang bengkok tulang rusuknya itu juga mampu menggunakan kelembutannya untuk mengukir sejarah.


Ramai di antara lelaki dilabel sebagai "dayus" kerana tidak mahu menegur isteri sekiranya perbuatan mereka menyalahi syarak kerana mereka terlalu kasih dan cinta kepada isteri. Lalu semakin ramai "Queen Control" di dalam rumah tangga dek kerana si suami yang selalu berprinsip "tidak mengapa, dia isteriku."


Kelembutan yang terdapat pada wanita itu jugalah yang dapat menjatuhkan ego lelaki seperti mana kisah Siti Asiah mampu membuatkan Firaun menerima nabi Musa a.s untuk dijaga, dan kerana pujuk rayu Hawa juga akhirnya nabi Adam a.s memakan buah larangan di syurga. Hebatkan wanita itu?


Saya bukan mahu menceritakan panjang lebar mengenai fitnah wanita, lalu dilabel pula sebagai golongan yang memandang rendah wanita atau tidak menghargai martabat wanita, sedangkan peranan wanita amat besar di dalam perjuangan islam dan pembangunan negara di zaman kontemporari ini. 


Sabda Rasulullah s.a.w 


" Wahai Ali, ada tiga perkara janganlah dilewat-lewatkan. Yang pertama : Solat apabila telah masuk waktunya, yang kedua : Jenazah apabila telah hadir dan yang ketiga : Anak dara apabila telah ada orang sekufu dengannya."


Bertunang 1 bulan atau bertahun-tahun, bukan menjadi kesalahan atau persoalan. Ada yang mengatakan lama bertunang cepat jemu. Cuma kalau cepat bertunang, adakah lama untuk jemu? Sudah pasti lama-kelamaan apabila kita sudah berumah tangga, kita tidak dapat lari daripada perasaan jemu. 


Perasaan jemu yang pahit adalah pasangan yang cuba untuk melarikan diri, hingga gegarnya Arasy Allah(talak), manakala perasaan jemu yang manis apabila pasangan cuba untuk berhadapan dengan perasaan jemu.  


Matlamat pertunangan itu hanyalah untuk mengikat seorang wanita yang ingin dikahwini dan kesannya wanita itu haram untuk dipinang oleh orang lain. Pertunangan bukan cara untuk menghalalkan perkenalan dan bukan juga sampai satu tahap langsung tidak dibenarkan berhubung.


Ada yang menjadikan pertunangan untuk berkenalan dengan lebih lanjut, merancang kehidupan bersama sebelum dan selepas akad dilafazkan. 


Bila saya menghadiri kursus Pra Perkahwinan, malu dibuatnya apabila sesudah selesai kursus, hampir majoriti peserta berpasang-pasangan keluar bersama-sama meninggalkan dewan, menaiki kereta mahupun motosikal, sedangkan saya malu-malu kerana takut-takut dilabel sebagai lelaki yang tidak ada "pasaran." Sungguh 'ghuraba"(asing) kehidupan akhir-akhir ini. 


Kalau mahu sangat mengenali wanita, lelaki mahupun ingin mencari sedikit sebanyak gambaran awal mengenai perkahwinan, boleh sahaja membaca buku-buku seperti Aku Terima Nikahnya 1&2 (Ustaz Hasrizal), Di Jalan Dakwah Aku Menikah (Cahyadi Takariawan), Murabbi Cinta (Ustaz Hasrizal), atau Man From Mars, Women From Venus (John Gray) dan lain-lain lagi


Ada pula yang terus rigid berpegang "Haram" untuk berhubung dengan tunang kita, kata mereka dia bukan "siapa-siapa lagi buat kita." Apa salahnya untuk berhubung untuk urusan perkahwinan, atau perkara-perkara yang tidak berkaitan hati dan perasaan asalkan tidak melampaui batas. Kita ada sms, kita ada FB, kita ada emel yang boleh digunakan untuk menggantikan perbualan melalui telefon.


Kita manusia, dan kita sentiasa mencari alasan yang kononnya islamik untuk menghalalkan perkara yang berbentuk maksiat, keji dan mungkar. Untuk mengelak daripada fitnah ini, maka saya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas sebulan bertunang. Anda pula bagaimana.? Tepuk dada tanyalah iman.!





No comments:

Post a Comment