Bagi memastikan saya
sentiasa berada di dalam pencarian ilmu pengetahuan dan hikmah kehidupan, maka
saya kuatkan semangat untuk mencari perkara tersebut untuk terus mencari sebuah
kehidupan yang baru.
Kemahuan yang tinggi
ini telah saya tanamkan sejurus apabila saya menamatkan pelajaran di IPTA UKM
kerana saya tahu untuk membina jati diri yang kuat, hendaklah kita banyak
bergaul dan mengembara untuk membina suatu kekuatan hijrah yang tinggi.
Saya tahu kehidupan di
alam kemasyarakatan adalah kehidupan yang realistik, berbeza dengan kehidupan
saya di kampus yang lebih kepada idealistik yang tidak terikut rentaknya dibuat
kita.
Sudah hampir 10 hari
saya sudah menghabiskan pelajaran di UKM dan di saat ini saya masih belum
mendapat pekerjaan walaupun sudah menghadiri dua sesi temuduga yang memberikan
saya harapan untuk optimis bergelar seorang jurutera.
Bagi memastikan
masa-masa saya tidak terbuang begitu sahaja sementara menunggu panggilan
pekerjaan, saya meneruskan pengembaraan pula ke Parit Amal, Johor bertemu
dengan Atok dan Opah sebelah isteri saya.
Saya sentiasa berazam untuk lebih banyak berkenalan dengan orang-orang yang lebih berusia daripada saya berbanding dengan mereka yang sebaya atau lebih muda daripada saya kerana kebanyakan mereka yang lebih berusia daripada kita mempunyai pengalaman hidup yang lebih tinggi daripada kita yang boleh diambil iktibar dan pengajaran daripada kisah hidup mereka.
Pernahkah kita terbaca
tentang riwayat hidup Sultan Muhammad Al-Fateh yang banyak menghabiskan waktu
usianya untuk lebih dekat dengan para ulama dan orang-orang yang lebih berusia
daripadanya.
Kita hanya membuang
masa sekiranya hanya sekadar mendengar cerita-cerita mereka, tetapi tidak
mengambil ilmu dan pengajaran terhadap objektif yang mereka ingin sampaikan
untuk membela ummah islam yang semakin hari hilang keizahan sebagai umat yang
cemerlang di dunia ini.
Pastinya saya yakin
sekiranya saya banyak mengembara dan bergaul dengan mereka yang lebih
berpengalaman, ia mampu memberikan impak terhadap kerangka berfikir dan
bertindak di waktu usia saya yang memerlukan perkara ini bagi mengukuhkan
kehidupan beragama di dunia ini.
Bersama atok yang sudah menjangkau usia 86 tahun |
Atok yang sudah
berusia 86 tahun ini sarat dengan pengalaman yang banyak. Alhamdulillah saya
berkesempatan berkenalan dengan atok ini. Antara yang menarik perhatian saya
adalah berkaitan dengan kemahiran bertukang yang tinggi, kisah hidup bersama
dengan komunis, amal ibadat yang tinggi dan faktor memberi yang tidak terkira
nilainya pada manusia.
Bukan saya ingin
memuja dan mengagumi kehebatan atok, cuma saya ingin melakar pengajaran
daripada kisah kehidupan atok. Sayang sekiranya kisah kehidupan beliau ini ditelan
bumi tanpa dikongsi kepada generasi muda.
Keadaan ini yang saya
khuatiri buat kehidupan saya, kerana saya ingin merekod segala kisah kehidupan
saya bukan untuk dibaca atau dihayati secara utamanya, tetapi saya ingin
mencari hikmah disebalik apa yang berlaku di dalam bulatan kehidupan saya ini,
agar matinya diri ini sentiasa berada dalam objektif kehidupan syariiah yang
betul.
Sungguh saya tidak
percaya apabila atok sendiri yang membikin rumahnya sendiri, tanpa ada sistem
sokongan bertukang daripada orang lain.
Rumah buatan atok sendiri, rumah ini sangat selesa dan mempunyai kemudahan penginapan yang sangat baik |
Rumah ini adalah kali ke-2 buatan atok selepas rumah
kali pertama hangus terbakar dijilat api. Bila saya bertanya kepada atok,
“siapa yang ajar ilmu bertukang ini? Jawab atok semula jadi, biarpun rupa atok
tak molek dan tubuh kecil, tapi Allah s.w.t bagi atok akal untuk buat rumah
ini. Atok banyak guna akal sahaja untuk bikin rumah ini.”
Pengalaman hidup bersama pemerintahan komunis di kampung
diceritakan oleh atok kepada saya. Sebelum atok menceritakan tentang komunis,
saya sudah bersedia supaya tidak tepikal dengan komunis, biarpun ideologinya
masih diragui lagi.
Apa yang kita pernah
belajar dahulu di sekolah, masih boleh dipertikai lagi kerana sejarahnya hanya
menampakkan satu sahaja HERO malaya dan bukan kesatuan daripada entiti yang
lain.
Kata atok “komunis
kerjanya melawan British, komunis bagi orang kampung makan, dia jaga saja orang
kampung, komunis ada orang Islam, Mat Indra itu bakar balai polis.”
British merupakan
bangsa penjajah, maka sewajarnya kita rakyat Malaysia perlu melawan penjajah.
Maka sudah lama saya menantikan kesahihan fakta tentang perjuangan komunis.
Sudah pasti saya
tidak menyokong ideologi komunis sekiranya ia bercanggah dengan Islam, cuma
saya terfikir peggabungan Islam dalam komunis mesti ada hujah dan natijahnya.
Hanya satu, jatuhkan British, sepertimana mana penggabungan PAS dalam PR juga
misinya adalah satu, yakni jatuhkan BN. Maka adakah wajar kita menghukum PAS
itu pemberontak.
Atok juga seorang yang
pandai membuat rebana, dan atok menghasilkan 30 buah rebana sehari pada usianya
yang masih muda. Pendapatannya satu hari pada ketika itu mencecah RM 200.00.
Alat yang digunakan untuk mengukir rebana |
Mesin yang digunakan oleh atok untuk membuat kayu |
Atok sedang memberikan taklimat ringkas mengenai teknik-teknik pembuatan rebana |
Atok yang kini sudah
menjangkau usia yang begitu lanjut tidak lagi mementingkan soal duit. Kata
beliau, “atok sudah tidak peduli lagi dengan duit, usia yang macam ni kena
banyak amal jariah, mudah-mudahan dibalas oleh Allah s.w.t.”
Travelog saya ke Parit
Amal kali ini sedikit sebanyak menambahkan lagi jaringan perhubungan saya
dengan orang yang lebih berusia. Kali ini diketemukan dengan warga emas yang
dianugerahkan Allah kelebihan akal, rezeki yang melimpah ruah hasil daripada
amalan ibdat yang dijaganya sewaktu kecil.
Hanya satu keazaman saya ingin mengembara, yakni ingin belajar untuk membina perhubungan yang baik dengan semua orang kerana terdapat perkara yang boleh saya teladani daripada kisah hidup seseorang
No comments:
Post a Comment