Friday, 17 February 2012

Sembang Mahasiswa


Menjadi mahasiswa senantiasa tidak lekang daripada berbual-bual ala-ala usrah bagi memantapkan lagi kefahaman islam untuk dikaitkan dengan perkara yang bersifat kontemporari.

Perbincangan ilmu seperti usrah menjadi asam garam sebagai kanvas kehidupan saya dan rakan yang lain kerana  ia berfungsi sebagai penyelarasan fikrah di antara kami. 

Itulah kekuatan kami sebagai mereka yang terlibat dengan perjuangan islam di kampus berbanding dengan orang lain.


Suatu hari saya menghabiskan waktu pagi untuk bersarapan bersama dengan rakan yang lain di pasar Bandar Baru Bangi. 

Pasar di sini menjadi tumpuan di kalangan mahasiswa terutamanya kerana makanannya sungguh enak di samping harga yang murah sekali bagi kami.

Al-maklum sahajalah selaku mahasiswa kami memang berkira-kira dalam soal perbelanjaan kerana hidup sebagai mahasiswa kalau tidak pandai bajet, alamatnya makan maggi sahaja la pada hujung semester, lumrah bagi seorang mahasiswa.

Saya sangat tidak suka jika kebanyakan masyarakat melayu menghabiskan masa di kedai kopi untuk sembang kosong atau sembang kemas.

Justeru saya cuba untuk memastikan masa saya di kedai kopi dihabiskan dengan berbual-bual secara intelektual yang bersifat santai ditambah dengan koew teoy goreng dan teh tarik yang enak.

Saya dan rakan-rakan mula membuka isu polimik politik yang berlaku di Malaysia. Saya memang mempunyai pendirian politik yang tetap, kerana siapa pun kita, politik perlu menjadi  wahana untuk membawa islam.

Sebab itu saya terlibat secara langsung dengan politik kampus bagi menunjukkan Islam mampu memipin. Inilah tugas ditaklifkan kepada kami sebagai generasi muda yang bakal memakai baju beragama.

Kami mula menyentuh tentang konsep walak (taat) kepada pemimpin. Kefahaman kami tentang haraki sudah dibuktikan dengan praktikal, namun kekadang perkara ini perlu dibincang semula untuk menyegarkan fikrah.

Berhadapan dengan zaman perdebatan pendapat sukar untuk menundukkan walak kepada pemimpin. Seolah-olah saya merasakan zaman sekarang sudah mulai kembali kepada zaman falsafah yang amat sukar untuk memberi kefahaman.

Sebab itu Imam Ghazali, As-Syaari memainkan peranan yang besar untuk mengembalikan akidah umat Islam ketika dahulu yang telah hanyut dengan falsafah. 

Falsafah tidak salah, tetapi mereka yang ingin mengenal Allah melalui falsafah telah hanyut dalam menanggapi konsep ketuhanan.

Jadi apa kaitannya falsafah dan zaman perdebatan sekarang? Zaman sekarang sudah ramai yang cerdik politik disebabkan akses ilmu yang sangat meluas pada buku-buku dan internet.

Akses ilmu yang sudah meluas ini telah membuka perdebatan yang hebat tentang pengetahun yang dimiliki. Bergelar sebagai pemimpin zaman modenisasi ini memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup tinggi.

Imbangan pengetahuan memerlukan sikap bertoleransi dalam konsep politik iaitu mereka yang sudah cerdik ilmu politik hendaklah menundukkan ilmu yang ada pada sikap untuk mengurangkan perdebatan yang memakan masa hingga mengurangkan perlaksanaan.

Seharusnya ilmu yang ada digunakan untuk mengembangkan potensi kepada perkara yang membawa kepada kemenangan islam, bukan ilmu itu digunakan untuk bertelagah di antara satu sama lain dengan sifat keakuan yang melampau.

Jadilah seperti padi, semakin berisi semakin tunduk. Seseorang yang mempunyai ilmu yang tinggi perlu menimbang tara dalam konteks demokrasi tentang sejauh mana kemampuan rakyat untuk mendokong idea dan gagasan yang ingin dibawa.

Pemimpin yang diberikan amanah tetap mempunyai kuasa putus supaya kita mampu mencapai kata sepakat dalam tindakan dan pemikiran.

Dalam demokrasi politik kita amat mementingkan kesatuan, usah dihabiskan masa dengan perdebatan kerana masih banyak kerja yang kita perlu lakukan melebihi masa yang ada.....








No comments:

Post a Comment