Perbedaan wadah siasah di antara PAS dan AMANAH telah menyebabkan secara
ideal dan praktisnya mencetuskan ketidakselesaan perhubungan di kalangan
pendokong dan ahli yang telah terbina atas gelanggang perjuangan politik.
Dahulunya sebelum berpisah kepada wadah yang baru, sebagai ahli mahupun
penyokong kita sudah biasa dengan praktik tidur sebantal, makan setalam, apatah
lagi dahulunya mereka adalah rakan seperjuangan di kampus, kawasan dan
bermacam-macam lagi kebersamaan daripada keberasingan. Ini etos zaman sebelum
berbeda wadah.
Perbedaan itu memang cukup perit apatah lagi ia berkisar mengenai
pertembungan idelogi mahupun idealisme di dalam falsafah kemanusiaan dan ini
hakikat yang perlu kita akui.
Saya juga tidak terlepas dari permasalahan ini apabila terus meningkatkan
jurang perbedaan ini sehingga menyebabkan beberapa rakan-rakan saya yang masih
di dalam PAS berkecil hati dengan kritikan saya kepada PAS.
Saya menerima, menghormati dan menghargai nasihat dan pandangan yang
diberikan dan saya arif untuk mengenali teman-teman yang saya pernah kenali
mereka sebelum ini.
Sesetengah daripada mereka memilih jalan konfrontasi, sesetengah yang lain
pula memilih untuk mendiamkan diri dan yang lain pula memilih untuk menunggu dan
melihat. Mungkin saya boleh dikategorikan sebagai kumpulan konfrontasi.
Namun masing-masing mempunyai hujah dan prinsip terhadap jalan yang
dipilih. Sebagai contoh sesetengah yang memilih untuk mendiamkan diri
menggunakan hadis nabi Muhammad s.a.w “diam itu lebih baik daripada
berkata-kata.”
Memandangkan saya memilih jalan konfrontasi dengan secara langsung
mengkritik PAS di alam maya dan lain-lain, maka fokal hujah saya akan berkisar
tentang sebab musabab keyakinan ini terbina.
Secara prinsipnya saya mengambil pendekatan untuk mengkritik idea dan
strategi pimpinan PAS terutamanya selepas peristiwa muktamar Jun 2015. Bagi
saya inilah menjadi titik tolak kepada wujudnya AMANAH iaitu parti serpihan
PAS, apabila kesemua pemimpin progresif PAS gugur secara setandan secara helah
dan provokatif yang dilakukan oleh sesetengah ahli PAS.
Saya tidak mahu membahasnya secara terperinci mengenai peristiwa muktamar
tahun lepas kerana keterbatasan ruang dan masa. Cuma saya tidak pasti secara sedar
atau tidak kritikan saya terhadap pimpinan PAS mungkin mengguris hati ahli
bawahan terutama sahabat-sahabat saya yang masih berada di dalam PAS.
Retorika seni berpolitik mengajar kita bahawa kritikan terhadap parti lain
terutamanya yang tidak bersama-sama dalam satu gabungan adalah salah satu cara
membina pengaruh dan keyakinan.
Seni ini tampak dengan jelas apabila ia berlaku di antara AMANAH dan PAS.
Masyarakat awam ingin tahu apakah perbezaan di antara AMANAH dan PAS
memandangkan kedua-dua parti menggunakan sentimen Islam sebagai teras
perjuangan ideologi parti.
Oleh itu tidak hairanlah seni ini digunakan oleh kedua-dua pimpinan untuk
saling membina pengaruh dan keyakinan kepada masyarakat mengenai perjuangan
parti mereka.
Antara seni retorik yang digunakan oleh kedua-dua pimpinan adalah AMANAH “ajen”
DAP, manakala PAS “mesra” UMNO! Ia tidak terkecuali digunakan oleh
seorang yang memakai jubah dan berserban hinggalah seorang yang memakai seluar
bersinglet pendek.
Tetapi ia perlu diraikan kerana kedua-dua pimpinan tersebut telah membina
keyakinan terhadap prinsip ini, namun jika ada falasi yang berlaku adakah
seseorang itu perlu berdiam seribu bahasa untuk tidak membetulkan falasi ini?
Dengan meraikan kepelbagai sesetengah pihak yang memilih kepelbagaian cara
untuk berhadapan dengan perkara ini, saya memilih untuk berkofrontasi
membetulkan falasi mahupun memberi sisi pandang berdasarkan hujah yang saya
yakini.
Walaupun saya bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa ia akan
mewujudkan perbalahan yang tidak akan berkesudahan sekiranya masing-masing akan
menegakkan hujah yang diyakini.
Saya akui perkara tersebut namun adakah kita tidak boleh mencoret sedikit
idea untuk berbeza lalu diketengahkan di khalayak masyarakat supaya mereka
memahami idea tersebut?
Saya yakini bahawa dengan idealah sesuatu reforms itu akan terlaksana, dan
ia tidak akan datang bergolek dengan hanya kita berdiam diri mahupun hanya
melakukan kerja tanpa memikirkan atau mempersoalkan sesuatu idea. Ada
sesetengah pihak memilih jalan ini, namun bukan saya!
Ditambah pula jari jemari saya yang cepat menggelatar dek kerana darah
siasah yang telah sebati di dalam tubuh akan merangsangkan segala pandangan dan
kritikan di gelanggang politik terutamanya seturu politik mahupun wadah lama.
Andai kata saya dan rakan-rakan yang masih di dalam PAS tidak pernah
mengenali satu sama lain di atas gelanggang siasah dan perkenalan kami bermula di atas dasar
perniagaan, NGO, rakan sekerja dan lain-lain lagi maka ia tidak akan
menimbulkan jurang(gap) persahabatan ini, namun realitinya kami mula berkenalan
di atas wadah yang sama sebelum ini.
Apabila berlaku perbedaan wadah seperti ini, maka jurang ini akan terwujud
dan ianya perkara yang tidak mampu untuk dielak. Namun saya juga berpandangan
bahawa adakah persahabatan yang terbina hanyalah semata-mata bertunjangkan
kepada politik?
Adakah kita tidak boleh untuk bersahabat atas dasar keprimanusiaan seperti
rakan sekampus, rakan sekerja, rakan sekampung dan lain-lain lagi. Sudah mesti
ia boleh dibina bukan?
Maka di atas asas kefahaman inilah saya ingin terus mengekalkan
persahabatan dengan rakan-rakan saya yang masih di dalam PAS, berazam untuk
mengeratkan hubungan sillaturrahim dan sentiasa meringankan tulang untuk
membantu mereka-mereka yang berada di dalam kesusahan atas faktor kemanusiaan
walaupun kita berbeda wadah kerana Islam mengajar saya persaudaraan melepasi
sempadan mazhab, politik, jemaah, bangsa dan lain-lain.
Namun pada masa yang sama juga saya tidak mampu memberi jaminan untuk tidak
lagi mengkritik PAS apatah lagi sekiranya pimpinan PAS mengkritik AMANAH
terhadap perkara yang tidak ada asas. Ia perbedaan pembawaan yang harus kita
akui, moga kalian memahami prinsip ini.
Saya juga berazam untuk mengurangkan sindiran saya kepada PAS dan
mempertajamkan lagi pena ini untuk mengkrtik dan mencemuah sang penguasa yang
zalim!
Terima kasih kerana nasihat yang diberikan wahai teman, kerana begitulah
sifat orang yang beriman, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan
dengan kesabaran.
Semoga persahabatan kita terus mekar dan terjalin hingga ke Syurga.
Amin......
No comments:
Post a Comment