Alhamdulillah masih lagi dikurniakan oleh Allah kesihatan untuk terus menikmati kehidupan ini apatah lagi diberi kesempatan untuk menjadi tetamu di Bulan Ramadhan.
Sudah lama saya tidak menulis pandangan dan coretan pengalaman di blog peribadi saya ini, walaupun blog bukan lagi menjadi medan terbaik untuk berkongsi atau menyampaikan pandangan dan maklumat kerana kebanyakkan kita lebih gemar menggunakan media alternatif lain seperti "facebook" atau "twitter."
Penulis Menyampaikan Tazkirah Ramadhan di Sabic Beach Camp, Jubail Saudi Arabia |
Setiap tahun kita diberi kesempatan untuk menerima kedatangan bulan Ramadhan, tetapi adakah bulan Ramadhan yang kita lalui berjaya memupuk sifat taqwa buat diri kita.
Ya, kita mudah untuk merasa cepat letih di bulan ramadhan, adakalanya kita diselebungi sifat malas, produktiviti kerja kita menurun dan lain-lain lagi. Di bulan ramadhan kita mudah untuk melakukan ibadah seperti solat berjemaah, tarawikh, sedekah dan bermacam-macam lagi.
Juadah bulan ramadhan pula memang sangat enak berbanding bulan-bulan lain, bermacam-macam jenis kuih muih dan lauk pauk di hadapan kita. Inilah bulan ramadhan yang kita lalui sepanjang tahun di Malaysia.
Saya kadangkala suka membawa keluar diri saya kepada satu pandang sudut yang berbeza iaitu skeptis dalam amalan berpuasa dan perubahan yang perlu berlaku pada diri kita selepas berakhirnya Ramadhan.
Bukan islam kebanyakan mereka akan mengatakan tibanya Ramadhan, orang muslim akan jadi malas, tidak proaktif, dan sebagainya. Mereka menyalahkan agama kerana perbuatan penganutnya yakni kita.
Kadangkala kita merasakan peristiwa sperti Fathul Mekah, Perang Badar dan Pembebasan Baitul Maqdis di bawah Sultan Salehuddin Al-Ayubi yang berlaku di bulan Ramadhan, adalah satu retorika sejarah yang susah untuk ditanggapi oleh akal kita.
Apa nabi Muhammad s.a.w tidak tahu umat islam pada ketika itu sedang puasa? Apa Sulatan Salehuddin Al-Ayubi tidak tahu tenteranya sedang lapar dan dahaga? Namun inilah peristiwa yang benar berlaku dan sudah pun tercatat dalam lembaran sejarah.
Nabi Muhammad s.a.w mesti mempunyai sebab yang kuat untuk baginda berbuat demikian begitu juga dengan Sultan Salehuddin Al-Ayubi. Walaupun dalam keadaan ini ada sahabat nabi yang berbuka puasa, tetapi ada juga sahabat yang tidak berbuka puasa.
Hakikatnya ada perkara yang nabi mahu tunjukkan kepada kita umat yang terkemudian daripada generasi ini. Ya, mana mungkin kita tidak merasa letih, lapar dan dahaga di bulan Ramadhan, kerana itulah natijah yang Allah berikan kepada kita supaya merasa sedikit kesengsaraan seperti golongan-golongan yang tidak berkmampuan.
Cuma janganlah menjadikan alasan letih, lapar dan dahaga sebagai satu alasan konkrit untuk kita mengurangkan produktivit kerja kita. Jadikan bulan ramadhan universiti tarbiah untuk merancang masa, kewangan, ibadah kita pada bulan-bulan yang mendatang selepas berakhirnya ramadhan.
Kita perlu berubah menjadi individu yang lebih baik selepas melalui madrasah ramadhan, seperti mana kita selalu melazimi solat berjemaah di bulan ramadhan, bacaan Al-Quran yang tidak ditinggalkan, seperti itulah juga kita di bulan-bulan seterusnya.
Jika kita tidak mampu berlebihan dalam ibadah jadilah kita golongan yang istiqamah dalam ibadah yakni tidak kurang atau lebih ibdah dalam bulan Ramadhan dan bulan selepasnya.
Semoga Ramadhan kali ini menjadi bulan perubahan buat diri kita untuk mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment