Bersama Pimpinan Cawangan Balai Islam 2013-2015 beserta YB Dun Bukit Baru Dr Khalid Kasim |
Alhamdulillah sesi muktamar cawangan PAS Balai Islam Taman Cempaka, Melaka yang berlangsung pada 30 Jun 2013(Ahad) sudah pun berakhir dan berjalan dengan lancar. Terlebih dahulu marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kita kepada Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan belas kasihan daripadaNya, kita masih lagi hidup di atas muka bumi ini untuk melaksanakan dua tanggungjawab utama sebagai hamba Allah, iaitu beribadat kepada Allah dan menjadi khalifah di atas muka bumi ini.
Atas dua matlamat yang besar inilah manusia merupakan makhluk yang dipilih untuk taat pada perintah Allah melalui ruang lingkup ibadat yang khusus mahupun umum dan menyelesaikan kemelut sosial yang berlegar di kalangan manusia sendiri untuk diurus dan ditadbir dengan baik mengikut panduan nilai yang selari dengan kitab mukjizat Al-Quran.
Pemuda merupakan golongan yang harus dioptimumkan peranan mereka dalam masyarakat. Sirah nabi s.a.w telah memperlihatkan kepada kita peranan golongan pemuda yang merupakan antara golongan awal yang memperjuangkan islam dan mahu melakukan islah kepada masyarakat.
Maka lahirlah pemuda-pemuda seperti Ali Bin Abi Talib, Uthman, Saad Bin Abi Waqas, Hamzah, Umar Al-Khatab dan Abu Bakar. Mereka antara golongan pertama yang beriman dengan risalah nabi dan terus memegang taklifan sebagai pendokong agama Allah sehingga tertubuhnya negara islam pertama di Madinah.
Memoir Kepimpinan Mahasiswa vs Kepimpinan Masyarakat Sebenar
Hampir 1 tahun saya telah meninggalkan medan kepimpinan, setelah tamat pengajian di kampus saya terus berkelana ke Melaka, menjadi orang baru di negeri bersejarah ini.
Selepas itu saya terus bertarung untuk mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan kami sekeluarga, hingga saya terpaksa menjadi promoter di shopping kompleks, production engineer di kilang Maruwa yang hanya tiga hari bekerja sahaja, menjadi guru mengajar Al-Quran hingga sekarang dan saat ini menjadi Production Engineer di Recron Sdn Bhd.
Saya hanya menjadi ahli gerakan yang pasif, yakni tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program-program atau dalam gerak kerja politik pada PRU 13 yang lepas.
Saya hanya menjadi pengikut pasif PAS cawangan, atau program ceramah yang dianjurkan, walaupun sejarah hidup saya pernah tercatat sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan, Majlis Perwakilan Pelajar, Naib Presiden PMUKM dan Pengarah Esekutif Pesta Konvo. Ini semua bukan kayu ukur untuk membolehkan saya untuk terus menyambung medan kepimpinan kampus di dalam masyarakat yang sememangnya lebih mencabar.
Walaupun 1 tahun saya tidak memegang apa-apa taklifan kemasyarakatan, saya menyedari tentang kepentingan mereka yang telah ditarbiah di kampus untuk "berintima" dengan mana-mana cawangan PAS untuk mendokong matlamat dan cita-cita perjuangan menegakkan islam di bumi Malaysia.
Dalam tempoh satu tahun ini, banyak perkara yang telah saya bincangkan dan muhasabah bersama isteri dan kenalan-kenalan yang terdekat terutama dalam perkara yang berkaitan dengan amanah dalam memegang jawatan.
Saya akui terlalu banyak kelemahan yang telah saya lakukan sewaktu menjadi ketua di kampus, dan perkara ini membuatkan saya amat-amat berhati-hati dalam memegang apa jua jawatan di dalam masyarakat selepas ini, Ini berdasarkan kepada konsep kepimpinan yang berpaksikan kepada makna "qawiy (kekuatan)" dan juga "al-amin (amanah)."
Biarlah kita bermula daripada bawah, kerana untuk menjadi pemimpin kita memerlukan orang yang cukup bermaklumat dalam mengurus parti dan mempunyai sejarah pencapaian yang diperolehinya sewaktu menjadi ketua.
Seperti mana masyarakat Jepun mengamalkan nilai budaya kerja yang bermula daripada bawah sehingga mereka menjadi Pengarah yang hebat. Ini kerana mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup tinggi dalam sesuatu bidang yang mereka perolehi.
Kerangka Pembawaan KP PAS Cawangan Taman Cempaka 2013-2015
Golongan pemuda merupakan golongan yang mampu merubah masa depan negara kerana pemuda saat ini mereka adalah golongan yang cerdik maklumat dan politik.
Pemuda zaman sekarang sudah mempunyai akses maklumat yang luas serta memiliki taraf pendidikan yang tinggi di peringkat diploma dan ijazah. Maka sudah pasti ruang dan peluang ini digunakan oleh Pemuda gerakan islam untuk mentarbiah mereka supaya jati diri mereka dipelihara dan diangkat tinggi dengan acuan tarbiah islam.
a. Mengoptimumkan Penggunaan Media Baru
Sepanjang pemerhatian saya PAS cawangan Taman Cempaka mempunyai program-program mingguan dan bulanan yang baik sebagai alat dakwah, sehingga PAS cawangan ini memenangi tempat ke-2 dalam senarai PAS cawangan yang paling aktif di kawasan Bukit katil.
Program-program ceramah mingguan seperti 4 kali seminggu, ceramah bulanan, aktiviti kemasarakatan seperti sumbangan derma kepada anak yatim, maulid Dibai yang menjadi proksi PAS cawangan, hari keluarga dan lain-lain memerlukan sedikit penambahbaikan dari segi penyebaran maklumat.
Dengan itu penggunaan media baru seperti Facebook, mahupun twitter amat berkesan untuk memastikan program dakwah yang dilakukan seperti kuliah mingguan/bulanan, kegiatan kemasyrakatan dan lain-lain sampai kepada masyarakat di kawasan Taman Cempaka ini.
b. Penganjuran Program Yang Berkesan Dengan Pemuda
Saya berpandangan bahawasanya program-program muda haruslah diusahakan di kawasan ini seperti Pertandingan Futsal, mendaki gunung, dan berehlah adalah amat baik untuk menarik minat golongan pemuda. Walaupun program ini adalah terlalu setempat, tetapi ia adalah sesuai dengan status cawangan yang hanya mempunyai pensempadanan kawasan yang juga bersifat setempat.
Maka aktiviti pemuda yang dianjurkan tidak memerlukan modal atau program-program yang besar seperti di peringkat kawasan atau negeri, ianya haruslah bersifat cukup santai.
c. Perlaksanaan Usarah Yang Berkala Dan Bersistematik.
Pemuda yang sudah menjadi ahli adalah mereka yang berhak untuk mendapatkan usrah sama seperti perlaksanaannya di peringkat pusat atau negeri. Ini adalah penting supaya berlaku penyelarasan fikrah, dan capaian maklumat adalah selari dengan keadaan semasa.
Selain itu perlaksaan usrah ini adalah untuk mengingatkan ahli supaya mengetahui hakikat atau makna hidup di atas muka bumi ini adalah untuk berbakti pada agama, bukan sekadar makan, tidur dan memenuhi keperluan batin semata-mata.
Usrah ini dapat dijalankan dengan sistematik seperti 2 minggu sekali bersama seorang naqib pemuda yang aktif di peringkat negeri atau kawasan. Walau bagaimanapun idea ini haruslah diselaraskan dengan peringkat kawasan.
Kesimpulan
Walaupun ia adalah harapan seorang ketua, namun ia tetap digerakkan oleh tanzim atau jemaah yang tersusun. Saya menaruh harapan yang cukup tinggi suatu hari nanti PAS mampu diterima masyarakat Melaka dan ini dapat dicapai dengan adanya cawangan yang tersusun dan kuat dari segi perlaksanaan misi dan agenda sebuah gerakan islam, dan pemuda adalah entiti yang mampu melakukannya.
Di kesempatan ini juga saya mengucapkan tahniah dan takziah kepada isteri tercinta Puan Maisya Azila Ismaon yang diangkat menjadi ketua Muslimat cawangan dan Bendahari Ameerah Melaka. Semoga dengan jawatan tersebut menjadikan engkau Srikandi yang kuat untuk mengurus diri, keluarga, masyarakah dan negara.
Tidak terlambat juga bagi saya menyatakan sokongan penuh kepada pendokong Ikhwanul Muslimin dan Presdiden Mesir Dr Ir Muhammad Mursi. Tindakan merampas kuasa dengan tidak demokratik adalah tindakan zalim yang pasti dibalas oleh kebenaran dan pertolongan Allah di dunia dan di akhirat. Sama-sama kita rakyat Malaysia mendoakan kekuatan pendokong Ikhwanul Muslimin untuk menentang kezaliman yang berlaku di Mesir buat masa ini.
Mohd Faizal Bin Ahmad
Ketua Pemuda PAS Cawangan Taman Cempaka
07 Julai 2013
No comments:
Post a Comment