Wednesday 16 June 2021

Saat Umurku Penghujung 14 Tahun

Memoir ini tidak saya rakamkan di mana-mana. Hanya tersingkap rapi di dalam diari ingatan saya. Tetapi di waktu saat mengalami kesakitan yang tidak bertepi ini, ingin saya simpan sebuah memoir ketika mana umur saya penghujung 14 tahun.

Semasa saya berumur 14 tahun ketika itu saya berada di tingkatan dua sekolah menengah. Apa yang ingin saya rakamkan di laman minda paksu ini adalah pada penghujung umur 14 tahun saya mengalami transisi yang cukup dahsyat dari segi berfikir, kematangan, tahap berdikari dan tahap keagamaan.

Transisi ini bermula apabila saya secara perlahan-lahan menjarakkan diri dari dua orang sahabat saya yang lebih berumur ketika itu di kampung. Salah seorang dari mereka saya selalu pergi ke rumahnya, bermain, memancing, menunggang motosikal bersama-sama.

Saya juga selalu meminta bantuan darinya seperti kalau basikal saya rosak, alat pancing saya rosak, kereta control saya rosak, semua kawan saya tu perbaiki. Tapi apabila kita terlalu mengharapkan bantuan orang, tak ke sudah orang akan nak melayan kita sahaja.

Sampai satu tahap dua orang rakan saya tu selalu membuli saya. Maklumlah saya ni tiga tahun lebih muda dari mereka. Sejak dari itu saya mula mengasingkan diri dari mereka. Saya memilih jalan saya sendiri, dan datang pada waktu yang sama saya tergerak hati untuk ke masjid solat berjemaah lima waktu.

Ketika itulah tahap keagamaan saya dari solat di rumah kadang-kadang tak cukup, akhirnya saya diberikan nikmat oleh Allah solat berjemaah setiap waktu di masjid hinggalah sampai saya tidak boleh lagi solat berdiri dengan sempurna.

Pada usia yang muda itu saya bertekad untuk tidak lagi meminta bantuan dari dua orang rakan saya itu dan cuba untuk belajar berdikari terutama berkaitan dengan soal kemahiran hidup.

Waktu tu juga, saya dari seorang yang belajar di sekolah hanya bergantung kepada guru semata-mata tanpa pernah terlintas di fikiran saya untuk buat kerja sekolah, membaca buku di rumah, ulangkaji pelajaran di rumah akhirnya berubah kepada orang suka buat kerja sekolah di rumah, membaca buku di rumah dan latih tubi soalan di rumah.

Baru saya tahu ketika itu nak berjaya di dalam peperiksaan tidak boleh hanya bergantung dengan guru semata-mata, tetapi perlu ada usaha kita sendiri juga di rumah untuk berjaya di dalam peperiksaan.

Memang sungguh-sungguh saya buat ulang kaji, membaca, membuat latihan soalan bila habis waktu persekolahan. Perkara ini saya buat sejak mula peperiksaan PMR, SPM, dan matrikulasi hingga saya boleh melanjutkan pelajaran di dalam bidang kejuruteraan mekanikal UKM. 

Big why saya kenapa saya fokus kepada akademik kerana saya percaya ketika itu akademik boleh bantu tingkatkan taraf kehidupan saya. Apa yang saya khuatir juga kalau akademik tidak bagus, saya akan terus mengharapkan bantuan orang.

Hingga aktiviti kokurikulum saya di sekolah menengah menurun. Tiada pertandingan sukan saya sertai. Tetapi aktiviti sukan di kampung saya aktif seperti biasa seperti main bola di kampung waktu petang, main badminton di waktu malam, main sepak takraw, bonceng motosikal bersama kawan-kawan di waktu petang dan lain-lain lagi.

Pada usia transisi tersebut juga, saya dari orang yang banyak bercakap terus kurang bercakap. Bukan bermaksud saya tidak suka bercakap, tetapi percakapan saya selepas umur transisi tersebut lebih matang dari sebelum itu.

Seriously saya pun tak tahu mengapa transisi itu datang dengan cukup dahsyat, dan pada ketika itu saya mampu berdikari dan hidup dengan cara saya sendiri tanpa mengharapkan bantuan dari dua orang sahabat saya.

Hingga tahap berdikari itu terbawa-bawa sampai sekarang, waktu saya sakit saya cuba belajar sendiri dan usaha sendiri bagaimana untuk memulakan perniagaan. Banyak yang saya cuba, ada yang dapat hasil ada yang rugi memanjang. Saya selalu pasakkan dalam diri "kalau aku tak buat sapa lagi nak tolong aku." Saya juga selalu berkata pada diri sendiri. "biarlah aku kerjakan diri aku sendiri, dari orang lain yang kerjakan diri aku."

Nah kali ini pada usia 32 tahun saya rasakan seakan-akan akan berlaku lagi transisi seperti umur saya 14 tahun. Ketika saya sakit hingga hanya berbaring sahaja di atas katil, saya rasa eloklah saya menjauhkan diri dari kawan-kawan saya terutama di media sosial, rakan-rakan saya yang lain yang saya suka berkongsi cerita bizness dengan mereka dan lain-lain lagi.

Kawan tidak selama-lamanya akan bersama kita mendengar tawa duka kita. Tambah saat saya lemah ini, saya rasa teramat inferioty compleks kerana kehidupan saya semuanya musnah dari keluarga, kewangan dan kesihatan.

Usia transisi 14 tahun tu, saya seakan-akan memasuki gua kehidupan dan merenung kembali apa yang saya nak dalam kehidupan waktu itu. Kali ini, saya rasakan saya perlu memasuki gua kehidupan untuk kali kedua tetapi dengan wajah dan dimensi yang baru iaitu saya perlu takrifkan kehidupan saya sebagai seorang pesakit yang OKU..

No comments:

Post a Comment