Friday 11 June 2021

Kisah Aku Seorang OKU

Entah mengapa Covid-19 yang melanda negara ini buat tahun kedua cukup memberi ketumbukan kepada kehidupan saya. Saat pena ini mula menulis kembali di sini, sudah hampir sembilan bulan saya tidak boleh lagi berdiri dan berjalan. Hanya mampu terbaring di atas katil menunggu siang berganti malam.

Saya disahkan mempunyai gout sejak dari umur 23 tahun, hanya selepas tiga ke empat bulan mendirikan rumah tangga. Sekarang sudah hampir sembilan tahun saya menghidap penyakit gout.

Sakit yang saya hadapi ini bukanlah gout biasa, tak salah makan dan berpantang pun seminggu sekali pasti ia akan serang sendi-sendi saya seluruh badan. Hingga saat sakit ini, membuatkan saya tidak mampu untuk berjalan lagi.

Sebelum saya tidak mampu berdiri dan berjalan, saya juga tidak mampu untuk duduk di antara dua sujud ketika solat. Tiga tahun juga sebelum tidak boleh berjalan, saya terpaksa menggunakan kerusi untuk bersolat. 

Dan mulanya saat saya solat menggunakan kerusi, itulah bermula saya tidak lagi ke masjid atau surau menunaikan solat secara berjemaah..Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya hati ini bila tidak mampu lagi solat berjemaah di masjid.

Bila berjalan pula, saya tidak boleh berjalan dengan betul dan lama. Saya akan berjalan terhincut-hincut dan tidak boleh berjalan lama lebih 20 minit..Sakit dan berat di bahagian kaki dan lutut teramatlah dirasai menusuk jantung..!!!!

Bermulanya kisah saya tidak mampu untuk berjalan adalah apabila saya dimasukkan ke Hospital Serdang kerana dikatakan kaki saya terkena cellulitis, iaitu kaki bengkak sebelah kerana mungkin ada jangkitan kuman.

Dipendekkan cerita, kaki saya dioperate untuk membuang gumpulan nanah. Tetapi hasil dari pembedahan itu, ia bukanlah nanah mengikut kata Dr, tetapi ia mungkin gumpulan uric acid.

Saya juga berpandangan yang sama, kaki saya bengkak itu bukanlah disebabkan gumpulan nanah tetapi ia adalah kesan gout yang merebak cukup besar dan kuat hingga merahnya sampai ke bahagian lutut.

Tetapi bukan disebabkan operate itu yang menyebabkan saya tidak boleh berjalan, sebelum operate pun badan saya tiba-tiba jadi berat, kaki dan lutut jadi lemah untuk menampung berat badan saya.

Sejak dari itu, saya kerap ke hospital. Ditahan di wad selama 16 hari, keluar masuk emergency empat lima kali. Apabila saya tidak boleh berjalan, datang pula sakit yang lain, sebagai contoh hilang selera makan, muntah-muntah, tekanan darah tidak stabil, kepala jadi pening macam nak terjatuh, mata jadi pecah melihat objek, rambut pun gugur, otot betis mengecut hingga membuatkan betis saya jadi kecil,  kurang bercakap, tapak kedua-dua belah kaki kebas dan menyucuk, jari yang ada tophil kesan gout pun pecah dan keluar nanah serta darah.

Saya memang tidak tahu mengapa ia jadi sebegini teruk. Ditambah pula emosi saya sangat lemah dan kerap kali menangis. Bizness yang saya usahakan turut sama-sama terkesan mengalami kerugian berpanjangan sejak mula saya sakit. Allahhhh...peritnya saat ini saya rasakan.

Saya cukup merasakan saya amat tidak berguna sebagai seorang lelaki, suami dan ayah. Hidup sekarang ini hanya bergantung ihsan dan belas kasihan dari orang yang sudi membantu terutama mak saya.

Kehidupan keluarga saya juga musnah. Mak saya yang berumur 72 tahun sekarang ini mengambil tanggungjawab menjaga saya di kampung. Saat saya kembali ke kampung, mak saya dengan cepat terus menkucup dahi saya dan menitiskan air mata melihat keadaan saya yang lemah sebegini. Bisikku dalam hati ini, "Mak, Jan dah tak kuat dan takda apa-apa lagi sekrang." Saat mak saya menitiskan air mata, itulah kali pertama saya melihat mak saya menangis di depan saya.

Sudah dua bulan saya berada di kampung, setiap kali solat saya mendengar doa dari ibu saya, menyebut nama saya dalam doanya agar saya sembuh. Memang membekas betul doa itu apabila setiap kali saya dengar.

Dek kerana sakit gout yang saya alami lebih sembilan tahun ini, dari bekerja sebagai engineer saya terpaksa berhenti bekerja kerana gout sering datang menyerang saya. Selepas itu saya terpaksa bekerja sendiri.

Antara kerja yang saya buat menjadi Uber & Grab Driver, ajen hartanah, ajen insurance dan semuanya tidak mendatangkan hasil. Hanya menjadi pemandu grab sahaja saya mampu mendapat pendapatan RM1K++ untuk menyara keluarga.

Selepas tak menjadi semua ni, saya cuba pula untuk menjadi traders di bursa Malaysia. Tapi apakan daya, hari tak sentiasa cerah apabila kita berdagang di bursa. Adakala rugi lebih besar dari untung, dan saya tidak pernah untung..!!

Maka saya beralih pula kepada bizness pakaian. Dengan bizness ini adalah sikit sinar harapan. Tetapi langit tak sentiasa cerah, sebab kita diuji dengan wabak Covid-19 dan kebanyakan bizness turut terkesan serta gulung tikar. 

Bizness saya pula baru nak mula bertapak dan sekarang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Saat ini saya hanya sebatang kara, HP sahaja menemani saya, melihat tawa nangis sahabat-sahabat di FB, apatah lagi anak-anak dan isteri tidak lagi bersama saya.

Saya menulis ini bukanlah untuk membuka aib dan meraih simpati para pembaca, tetapi saya rasakan ia perkara yang perlu disimpan kemas dalam diari kehidupan saya. Mohon doa kalian supaya saya tenang untuk berhadapan dengan semua ini.

No comments:

Post a Comment