Sunday 2 July 2017

Di manakah akal Nasarudin Hassan?

Menurut ketua Penerangan PAS Pusat YB Nasaruddin Hassan, pendedahan DOJ terhadap skandal 1MDB merupakan salah satu campur tangan kuasa asing untuk mengacau politik di dalam negara.

Malah di dalam kenyataan tersebut, beliau tahu siapa dalang yang menyuruh Amerika untuk masuk campur tangan di dalam skandal 1MDB. Kenyataan beliau adalah reaksi menyokong kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Presiden PAS baru-baru ini.

Beliau menyarankan agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal 1MDB. Nampak idea itu seolah-olah sangat bagus, walaupun sebelum ini, idea yang sama pernah diutarakan oleh Dato’ Husam.

Bagi saya idea itu kedengaran retorik dan Najib akan terus selesa kebal dari disiasat oleh mana-mana pihak autoriti di dalam negara.

Kalau betul beliau ingin menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, usah beretorika lagi, usahakan sampai berjaya. Pergilah mengadap Agung dan Sultan yang ada supaya mereka bersidang untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Orang politik memang selalunya begini, hanya bermain dengan kata-kata dan diakhirnya senyap menyepi.

Usul RUU 355 pun PAS tidak mengadap Agung untuk meminta perkenan baginda, inikan pula skandal 1MDB. Agung atau Sultan adalah pengharapan kita terakhir, tetapi institusi raja ini juga menyepi. Mungkin institusi ini juga dinaungi oleh kuasa politik, kalau tidak, masakan perlu disuruh, mereka akan cuba untuk menubuhkan satu siasatan bebas untuk menyiasat skandal 1MDB.

Selepas institusi raja, tiada lagi yang boleh kita harapkan. AG Apandi Ali telah membersihkan Najib dengan menutup kes siasatan 1MDB. Di parlimen pula, Pandikar mengharamkan 1MDB disebut di dalam parlimen. Bank Negara pula tidak ada kuasa untuk mendakwa 1MDB, manakala SPRM terus menyepi seribu bahasa.

Kesemua badan-badan autoriti yang diharapkan itu, ketua mereka dilantik daripada izin pihak kerajaan. Soalnya adakah mereka berani untuk menyiasat ketua kerajaan iaitu Dato’ Sri Najib? Bahasa mudah, mereka bukan institusi bebas, walau secara zahirnya seolah-olah mereka berdiri pada entiti yang lain, hakikatnya mereka duduk di bawah budi pihak kerajaan.

Itu naratif pihak autoriti yang ada di Malaysia. Berbalik kepada persoalan pokok, apa yang boleh PAS cuba usahakan setidak-tidaknya menampakkan usaha mereka untuk membongkar skandal 1MDB. Tambahan pula, ustaz Hadi hanya menyebut perkataan 1MDB sekali sahaja di dalam parlimen!

Dibawa pula pelbagai ayat-ayat agama seperti memerlukan empat saksi, Islam menolak campur tangan kuasa asing dan lain-lain lagi. Adakah PAS tidak membaca laporan DOJ dan menyiasat perkara tersebut sama ada benar atau tidak, dan bukannya bermain dengan sentimen bahawa Amerika adalah kuasa asing yang jahat.

Sebahagian negara seperti Singapura dan Switzland, mereka telah mengenakan tindakan undang-undang terhadap bank-bank yang mempunyai kaitan dengan 1MDB. Malah ada pegawai atasan mereka dipecat kerana bersubahat dengan transaksi wang 1MDB.

Sepatutnya sebgai sebuah parti yang mengatakan Parti Islam, sikap tabaiyyun perlu ada pada pihak PAS. Bukannya terus menidakkan semua berita yang ada. Adakah sudah tidak ada tokoh-tokoh dari PAS yang boleh membaca angka-angka dalam ilmu ekonomi?

Amerika hanya mendedahkan transaksi wang haram 1MDB di negara mereka sendiri kerana ianya mengikut akta yang termaktub di dalam Kleptocracy Asset Recovery Initiative, KARI. Transaksi tersebut berlaku di dalam Amerika dan memberi kesan kepada sistem kewangan Amerika.

Ini terbukti segala aset yang berjuta-juta hasil duit 1MDB telah disita di dalam negara mereka. Leonardo de Caprio dan model Mirander Ker juga telah memulangkan segala aset dan barang kemas yang berkaitan dengan duit 1MDB kepada DOJ. Ini membuktikan wujud penyelewengan wang haram melalui duit 1MDB untuk membeli aset-aset tersebut melalui Jhow Low.

Menjadi amalan biasa di dalam sesebuah negara jika terdapat kesalahan jenayah yang dilakukan oleh seseorang yang bukan warganegara, ianya akan disiasat mengikut undang-undang negara tersebut.

Seperti pekerja Bangladesh yang melakukan jenayah di dalam Malaysia, bukannya pihak polis Bangladesh yang menyiasat pesalah tersebut, tetapi pihak polis Malaysia yang akan menyiasat dengan menggunakan undang-undang yang ada di dalam negara. Takkanlah pihak Bangladesh akan memberi amaran kepada pihak Malaysia, jangan masuk campur urusan rakyat kami! Tidak masuk akal bukan?

Sebenarnya PAS begitu simplistik apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Mereka sering mengatakan, kami ada cara kami tersendiri atau kembali kepada Islam, nescaya ada penyelesaian. Sampai sesuatu masalah itu semakin membarah, tetap dengan cara tersendiri. Tetapi akhirnya tiada juga usaha dan tindakan.

PAS sekarang bermain dengan politik sentimen antara Melayu dan Cina. Ini memang kuat kedengaran daripada mulut pemimpin PAS daripada isu 1MDB. Pergilah dengar daripada mulut pemimpin mereka ketika berceramah, hampir tiada langsung menyentuh skandal 1MDB.

Hutang negara hampir trilion, PAS masih berbicara soal tiada parti Islam selain PAS, kembalikan kerusi kami, PKR pengkhianat, DAP anti Islam sebab tidak sokong RUU 355, kurang pahala jika membeli makanan dari orang tidak solat dan tidak menutup aurat, AMANAH khadam DAP dan lain-lain lagi.

Saya tidak berapa peduli kepada pemimpin PAS jika mereka tidak begitu cakna tentang skandal terbesar dunia iaitu 1MDB, tetapi saya kasihan ahli bawahan PAS yang menoreh getah, duduk di kampung dan masih tidak sensitif dengan penyelewengan duit 1MDB.

Yang akan merana adalah mereka ahli bawahan, sedangkan pemimpin PAS boleh berceramah di mana-mana surau dan dihujungnya ada ratusan duit tertutup kemas di dalam sampul bewarna-warni. Jadi bolehlah digunakan nikmat tersebut untuk membayar ansuran bulanan kereta mereka yang mewah-mewah!

Lagi bertambah hairan dan pelik, apabila parti pembangkang mahu mengajak PAS berhimpun untuk menunjukkan protes mengenai isu 1MDB, PAS pula membuat kenyataan tidak akan hadir untuk berhimpun bersama.

Tidak mengapalah itu pendirian PAS, cuma yang kelakarnya kamu tolak campur tangan kuasa asing, tetapi bila mana ada gerakan dari dalam negara mengajak PAS bersama dalam isu 1MDB, kamu tetap juga tidak bersama.

Najib serta UMNO/BN pasti tersenyum lebar mendengar kenyataan ulama PAS. Bagi mereka inilah masa untuk merembat lagi duit daripada poket rakyat supaya dapat berbelanja mewah dan mengukuhkan lagi kedudukan UMNO/BN untuk jangka masa yang panjang.


1 comment:

  1. Assalam. Boleh bagi saya email saudara utk dihubungi - Nasrul Amanah P.Pinang. Syukran.

    ReplyDelete