Friday 30 June 2017

Sudah Alergik Dengan Jemaah Islam

Itulah ungkapan yang boleh dikatakan dalam mukadimah makalah ini. Apabila menyelesuri jemaah-jemaah yang dikatakan “Islamic” sama ada di luar atau di dalam negara, para pemimpin atau pengikutnya masing-masing akan berkempen mengatakan kamilah jemaah Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Hadis nabi s.a.w.

Walaupun secara konteksnya tidak semua pemimpin dan pengikut beranggapan seperti itu, namun saya yakin dan percaya hampir majoriti mempunyai iktikad seperti itu, lantas membentuk keyakinan kepada jemaah yang dianutinya.

Saya bukan lagi berbicara soal retorik atau teori semata-mata kerana saya juga pernah mengikut beberapa program jemaah-jemaah yang berada di dalam negara.

Apabila bicara soal jemaah, permis yang paling awal untuk dipertimbangkan adalah soal pengkaderan(recruitment). Untuk memudahkan proses ini, maka perlulah digunakan bahasa “agama candu” dengan mengatakan ikutlah kami, kerana kamilah jemaah paling hampir dengan Al-Quran dan Hadis, atau kamilah jemaah yang paling awal di Malaysia dan lain-lain lagi.

Tidak cukup dengan itu, untuk menambah keyakinan kepada proses recruitment, lalu dibentangkan perbezaan antara jemaah-jemaah yang ada di Malaysia, dan mengkritik jemaah-jemaah yang tidak sealiran dengan mereka hingga hampir menjadikan jemaah mereka sajalah yang paling suci. Inilah realiti berjemaah di Malaysia!!

Hampir kesemua jemaah akan mengeluarkan hadis-hadis kelebihan jemaah seperti hadis daripada Huzaifah r.a.w dan beberapa hadis sahih lagi untuk dibacakan secara literal kepada pengikut mereka.

Apabila mendengar hadis tersebut, maka jatuhlah kewajipan kepada pengikut mereka untuk ‘wala’ kepada jemaahnya sekarang. Inilah proses doktrinisasi untuk mendapatkan ahli.

Sekiranya terdapat pengikut tersebut cuba untuk berhujah kembali maksud jemaah di luar konteks jemaah mereka, maka individu tersebut akan dicop sebagai individu yang tidak jelas fikrah. Bagi saya, inilah klimaks kepada proses pembodohan manusia yang beragama.

Memang terdapat kelebihan di dalam hadis sahih untuk umat Islam berjemaah dan mengikut pemimpin tersebut serta amaran sekiranya meninggalkan jemaah.

Ada amaran yang mesejnya adalah keras, seperti mati kafir sekiranya meninggalkan jemaah atau boleh dibunuh seseorang yang ingin menubuhkan jemaah baru pada tempat atau kawasan yang sama dan lain-lain lagi.

Mungkin disebabkan kelebihan hadis itu, menyebabkan masing-masing kumpulan berlumba-lumba untuk mengabsahkan kamilah jemaah yang disebut dalam hadis tersebut.

Kalau di zaman dahulu, kita mudah untuk mengenal siapakah jemaah Islam kerana ia wujud sebagai satu khalifah walaupun berlaku perbalahan dengan khalifah bermula pada zaman Saidina Uthman r.a.w hingga ke hari ini.

Namun naratifnya sekarang kita berbicara soal masa di zaman ini. Pokoknya siapakah jemaah Islam yang satu ini dan wujudnya khalifah.

Ada beberapa teori ulama klasik tentang siapakah jemaah Islam. Antaranya adalah golongan majoriti dalam umat, terdapatnya golongan ulama, pengikut jalan sahabat nabi s.a.w, ijmak para ulama, dan umat Islam yang duduk di dalam pemerintah seorang khalifah.

Manakala teori ulama kontemporari juga mempunyai variasi pendapat. Sebahagian ulama mengatakan pada zaman ini tidak lagi wujud jemaah Islam kerana tiada lagi khilafah dan perlu ada usaha untuk mewujudkan khilafah.

Bagi saya untuk mewujudkan khilafah pada saat ini adalah kurang praktikal, kerana perjalanan politik di sesebuah negara begitu rumit dan sukar. Bandingkanlah Malaysia dan Arab Saudi, begitu kompleks bukan demografi dan budaya antara dua negara ini. Lainlah kalau kita berbicara soal kepimpinan wahyu seperti Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.

Saya lebih cenderung kepada teori ulama kontemporari yang berpandangan jemaah Islam ini adalah kita semua umat Islam yang berada di dalam sesebuah negara yang ketuanya adalah Islam.

Jadi siapakah ketua negara di dalam Malaysia dengan melihat beberapa konteks hadis? Saya lebih cenderung melihat hadis jemaah dalam konteks maqasid. 

Tujuannya adalah untuk memelihara keharmonian, perdamaian dan ketenteraman rakyat di dalam sesebuah negara.

Maka tidak hairanlah ada hadis membolehkan pembunuhan sekiranya berlaku dua jemaah pada tempat yang sama. Hadis tersebut tidak menyatakan orang soleh atau tidak.

Dalam erti kata yang mudah jika terdapat orang soleh cuba untuk menubuhkan jemaah baru pada tempat yang sama, maka orang soleh itu juga boleh dibunuh kerana telah memecahbelahkan masyarakat.

Jadi di dalam Malaysia siapakah ketua yang kita tidak boleh lawan atau cuba menubuhkan jemaah baru? Adakah parti pemerintah? Jawapannya adalah institusi Raja atau Agung, kerana baginda adalah ketua negara di dalam Malaysia atau negeri yang diperintahnya.

Maka apabila kita sudah memahami konsep ini, jadi tidak timbul lagi jemaah kamilah yang paling suci dan jemaah lain adalah jemaah kelas kedua, atau jemaah kami yang paling awal.

PAS mungkin mempunyai kredit dalam soal masa, kerana mereka dikatakan adalah jemaah yang paling awal di dalam Malaysia. Mewujudkan jemaah-jemaah muslim tidak salah bagi pandangan ulama kontemporari, cuma sekiranya menganggap kamilah saja yang paling tepat adalah falasi yang boleh membawa kepada takfiri.

Soal awal atau tidak bukan menjadi ukuran kebenaran sesuatu jemaah-jemaah muslim. Prof Jaser Audah memberi pandangan bahawa setiap kumpulan berhak mengabsahkan diri mereka sebagai jemaah Muslim, yang bedanya adalah gred sahaja. Itupun berdasarkan prestasi kumpulan mereka kepada rakyat.

Dr Yusof Al-Qadhrawi dan Said Hawa yang merupakan orang kuat Iklhwan melarang mana-mana gerakan siyasi mendakwa diri mereka hanya jemaah Muslim. Bagi sheikh ia membuka ruang kejahatan. Budaya label-melabel(takfiri) akan dicanangkan bagi individu-individu yang tidak sealiran dengan mereka.

Saya ingin tegaskan PAS bukanlah jemaah pertama di Malaysia. Sebelum PAS sudah wujud banyak kumpulan atau jemaah Islam lain seperti Hizbul Muslimin, UMNO dan lain-lain lagi. YDP PAS yang pertama adalah Ustaz Ahmad Fuad Hasan yang merupakan orang kuat UMNO. Beliau pernah bertanding untuk merebut jawatan YDP(Presiden) UMNO, tetapi kalah dan keluar parti.

Kepada jemaah-jemaah yang ada di Malaysia, janganlah mendabik dada hanya semata-mata jemaah kamu yang mempunyai usrah dimulai dengan Al-Fatihah dan disudahi dengan surah Al-Asr. Selagi kita muslim, selagi itulah kita bersaudara dan masih di dalam jemaah muslim yang satu.

Hingga saat ini saya memang alergik(rasa muak) sekiranya jemaah-jemah atau parti-parti di Malaysia masih lagi mendoktrin pengikut-pengikut atau sasaran dakwah mereka dengan menganggap kamilah jemaah/parti Muslim yang paling hampir dengan Al-Quran dan Hadis. Sungguh tiada kudrat saya untuk melawan projek pembodohan ini!

No comments:

Post a Comment