Tuesday 12 April 2016

Pengamalan Agama Islam Secara Rasional atau Emotional?

Ketegangan agama merupakan bom jangka pendek untuk mengeksploitasi kepentingan sesuatu pihak atau parti sekiranya ia melibatkan kaum Melayu yang sudah termaktub di dalam perlembagaan adalah mesti seorang Islam.

Saya tidak mahu membahas secara baik dan buruk mengenai definasi Melayu di dalam rangka perlembagaan negara, kerana fokus saya pada penulisan kali ini adalah kegagalan mengamalkan Islam secara hujah dan rasional akan menyebabkan bangsa Melayu menjadi suatu bangsa yang cepat melatah atau mudah dipermain-mainkan atas eksploitasi agama.

Beberapa tahun yang lepas negara kita dihangatkan dengan isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan secara inklusif oleh pihak minoriti Kristian di Semenanjung Malaysia dan wujud seketika ketegangan antara bangsa, agama serta politik.

Sesetengah politikus menjadikan isu ini sebagai modal untuk mengeksploitasikan kepelbagaian penganut agama supaya mereka memperolehi laba poliitk untuk terus mengekalkan kuasa dan pengaruh agama atau bangsa.

Maka pada ketika itu umat Islam diseru untuk bersatu bagi mempertahankan penggunaan kalimah Allah secara eklusif milik orang Islam di Semenanjung Malaysia. Secara hemahnya kepelbagaian pendapat perlu dirai dan dihormati di dalam isu kalimah Allah, dan terpulangkah kepada masing-masing untuk meyakini hujah tersebut. Pokok pangkalnya isu ini masih lagi di dalam permasalahan ikhtilaf.

Namun yang menjadi persoalannya adalah sekiranya kita mempertahankan isu kalimah Allah ini, adakah kita sudah dikira orang yang menghampiri kesempurnaan sebagai seorang pejuang Islam?

Sebagai contoh kita begitu bersemangat melaungkan laungan takbir, pertahan Islam, Melayu bersatu Islam berdaulat dan pelbagai slogan yang kita laungkan seolah-olah memberi makna kita adalah sang pejuang agama, dan benarkah begitu?

Peserta yang terlibat di dalam protes ini misalnya ada kalanya kita dapat lihat, kepala pun tidak bertudung, pakain pula menjolok mata, solat pun tunggang langgang dan sempat juga bercumbu-cumbuan. Lalu atas rasional apakah mereka ini bersemangat mempertahankan agama dan tidakkah ia lari dari akhlak seorang pejuang Islam?

Ini etos rakyat biasa dan para pemimpin negara juga tidak terlepas untuk menjadi politkus agama. Kita dapat lihat bahawa seorang pemimpin Melayu berapi-api membakar semangat cintakan agama Islam namun terpalit dengan skandal rasuh dan penyalahgunaan kuasa. Adakah layak pemimpin ini bergelar panglima Islam?

Saya merasakan permasalahan ini berlaku dek kerana nilai emotional lebih tinggi dari sifat rational yang ada pada kita di dalam pengamalan agama. Hakikatnya yang kita pertahankan bukannya Islam tetapi keabsahan dan keberlangsungan politik bangsa Melayu!

Bagi kita biarpun orang Melayu itu tidak solat dan perasuah, tetapi kita beranggapan mereka ini mampu menjaga agama Islam dan Melayu adalah tuan besar di dalam Malaysia. Bangsa selain Melayu tidak ada hak ke atas Malaysia dan hanyalah seorang pendatang yang harus bersyukur menikmati kesejahteraan hidup di dalam negara.

Jika mereka cuba menyuarakan hak mereka sebagai rakyat yang minoriti, maka bersedialah dengan pelbagai labelan seperti mahu lawan Islam, mahu mengkafirkan negara Malaysia, ingin meliberalkan Malaysia dan ingin merampas hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Ini baru isu kalimah Allah, bayangkan begitu banyak isu-isu sensitif agama yang dimainkan oleh politikus berniat jahat untuk mengeksploitasikan agama bertujuan untuk mengekalkan keberlangsungan kuasa politik mereka di tanah air. Malangnya yang menjadi mangsa adalah Melayu Islam! Begitu mudah maruah kita menjadi bahan dagangan politikus.

Saya buntu dan tidak pasti bagaimana untuk keluar dari konflik ini. Mereka yang menjadi mangsa kerakusan politikus ini terdiri daripada seorang peminta sedekah hinggalah kepada seorang Perdana Menteri.

Apa yang boleh kita lakukan adalah mencari garis pemisah antara hitam dan putih lalu berhujah di atas garisan ini untuk membina sebuah keyakinan.


No comments:

Post a Comment