Tuesday 5 April 2016

Mahar Kahwin


Saya tertarik dengan isu yang hangat diviralkan sejak dua tiga hari lepas mengenai kisah bakal pengantin yang tidak kesampaian untuk mendirikan rumah tangga gara-gara pihak pengantin lelaki gagal untuk menyediakan hantaran kahwin sebanyak RM 15,000. Saya difahamakan pihak pengantin lelaki hanya mampu menyediakan hantaran sebanyak RM 10,000 sahaja.

Banyak pandangan yang dikongsikan oleh pengguna Facebook terutamanya mengenai hadis nabi Muhammad s.a.w mengenai mahar kahwin iaitu “sebaik-baik perempuan adalah rendah mahar kahwinnya”

Memandangakan agak lama mindapaksu tidak menulis mengenai hal-hal rumah tangga, maka dikesempatan ini, saya ingin kongsikan sedikit sebanyak pandangan peribadi berkaitan isu mahar kahwin.

Seperti yang kita maklum bahawa mahar kahwin adalah perkara yang berbeza dengan hantaran kahwin. Mahar kahwin adalah perkara wajib yang harus diberikan oleh pihak lelaki(bakal suami) kepada pengantin perempuan(bakal isteri), sedangkan hantaran kahwin adalah sumbangan sagu hati oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk dibelanjakan seperti mengadakan majlis perkahwinan dan lain-lain lagi.

Kebanyakan Majlis Agama Islam Negeri telah meletakkan kadar minima mas kahwin, seperti di Melaka kadar minima mas kahwin adalah RM 80 (ini bayaran minima yang dikenakan kepada saya apabila melangsungkan perkahwinan pada tahun 2012) dan berbeza mengikut negeri.

Saya kira kebanyakan kita tidak bermasalah dengan bayaran mas kahwin, dan mungkin paling tinggi pun akan mencecah RM 2,000(inipun sudah cukup dikira tinggi) mengikut budi bicara keluarga bakal pengantin.

Namun yang menjadi permasalahan besar kita adalah nilai hantaran kahwin yang kadang kala begitu tinggi. Ada sesetengah pihak keluarga meletakkan kadar hantaran kepada pihak lelaki berdasarkan taraf pendidikan anak-anak mereka seperti graduan diploma RM 10,000 dan graduan ijazah RM 15,000 – 20,000!

Kadar ini bagi seorang graduan yang baru bekerja di peringkat esekutif dan bergergaji RM 2,500-RM 3,000 memang di luar kemampuan mereka ditambah pula dengan komitmen bayaran pinjaman PTPTN, kereta, sewa rumah, wang ihsan kepada ibu bapa dan lain-lain lagi.

Namun terdapat juga sebilangan kecil pihak lelaki yang mampu untuk memberikan wang hantaran tersebut. Pendek kata ia bergantung kepada saiz poket kita dan ia merupakan perkara yang agak subjektif.

Di dalam keadaan ekonomi yang gawat dengan perlaksanaan GST dan penurunan nilai mata wang negara, agak sukar untuk pihak keluarga perempuan meletakkan nilai hantaran kahwin yang rendah seperti sepuluh tahun dahulu dan logik ini kita masih boleh menerimanya.

Memandangkan keadaan sekarang yang terlalu idealistik untuk memperolehi bakal isteri yang meletakkan hantaran yang rendah walau diviralkan sekalipun hadis mengenai mahar kahwin, namun ia tidak mampu merubah keadaan semasa yang mendorong kebanyakan keluarga untuk merendahkan hantaran kahwin! Sekiranya ada itu rezeki permulaan perkahwinan.

Nah, kalau sudah terjadi keadaan seperti ini apakah perkara pokok yang seharusnya perlu difahami prinsipnya secara betul dan adil. Saya fikir pada zaman sekarang, bukan lagi soal hantaran tinggi atau rendah, namun ia berkaitan soal kasih sayang, kebahagiaan dan kesejahteran pasangan pengantin.

Biarpun bakal isteri yang hantarannnya RM 20,000 tetapi memiliki ciri-ciri yang solehah, pandai memasak, berbudi pekerti, menghormati suami, menjaga aib suami adalah lebih baik memiliki seorang isteri yang hantarannya adalah RM 5,000 tetapi mempunyai akhlak yang keji dan tercela!

Sekiranya memiliki isteri yang hantarannya murah dan akhlak terpuji, itu merupakan rezeki yang melimpah ruah datang kepada bakal suami, namun sukar untuk mendapatkan dua perkara dalam masa yang sama memandangkan keadaan ekonomi negara yang sudah gawat.

Saya kira cukup memadai sekiranya pasangan kedua-dua belah pihak memahami dan mengetahui hadis “sebaik-baik perempuan adalah rendah maharnya” walaupun mereka tidak beramal kerana mungkin faktor kemampuan yang terbatas. Namun ia sudah cukup untuk memberi sedikit keinsafan dan galakan kepada bakal pasangan untuk bersama-sama berusaha ke arah keluarga yang mawaddah dan warahmah

Wang hantaran yang tidak mencukupi secara tak langsung akan mengguris perasaan pihak perempuan memandangakan wang tersebut sudah pasti sebelum ini telah diputuskan secara bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Perkara yang sudah berlaku biarlah berlalu dan perlu diambil beberapa pengajaran buat kita sebagai bakal pengantin mahupun bakal mertua. Biarlah kita secara berbudi dan berbahasa apabila berhadapan dengan perkara tersebut cubalah kita fikir sedalam-dalamnya dengan mengutamakan kebahagiaan rumah tangga pasangan dengan merealisasikan impian suci mereka untuk mendirikan rumah tangga.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan korbankanlah perasaan kekecewaan kita disebabkan wang hantaran yang tidak mencukupi untuk melihat kebahagiaan mereka kelak yang lebih bermakna.

No comments:

Post a Comment