Wednesday 6 April 2016

Kepada Geng Ustaz


Saya mengalami beberapa fasa perubahan di dalam sisi pandang hidup terutamanya perkara yang berkaitan dengan soal Islam di dalam pengalaman masyarakat dan politk. Tidak keterlaluan sekiranya ia terkadang terlampau liberal(terbuka) walaupun saya bukan mengimani fahaman ini dengan apa jua maksud sekalipun.

Dahulunya saya amat pro(memihak) kepada golongan ustaz dan menganggap mereka adalah golongan yang berpengatahuan dan berkemahiran tinggi untuk merungkai falsafah kemanusiaan. Bagi saya mereka boleh memimpin dengan baik di dalam sesebuah organisasi, mereka perlu diletakkan pada posisi yang tinggi di dalam sesebuah partai politik. Pendek kata golongan ustaz adalah golongan yang darjatnya lebih tinggi dan mulia berbanding dengan golongan yang lain.

Pernah suatu ketika saya terfikir untuk menghantar anak saya ke sekolah-sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan seumpama dengannya kerana berkehendakkan mereka menjadi seorang ustaz/ustazah. Bagi saya cakap seorang ustaz lebih berpengaruh daripada cakap seorang doktor mengenai pandangan agama dan itu suatu perkara yang telah menjadi skeptik orang Melayu.

Namun apabila masa telah berlalu dan saya mula menjejakkan kaki di alam pekerjaan, timbul persoalan di dalam fikiran saya, adakah hanya menjadi seorang ustaz mampu menyelesaikan masalah ekonomi negara, pendidikan negara yang berasaskan exam oriented, masalah pengangguran graduan, masalah industri dan teknologi dan pelbagai persoalan yang berkaitan permasalahan negara yang tidak mampu diselesaikan hanya secara baku jika membaca kitab-kita fekah dan hadis karangan ulama.

Saya bukanlah bertujuan untuk memperlekehkan atau memperkecilkan kitab-kita fekah atau hadis kerana sebagai seorang Muslim yang baik kita perlu mendekatkan diri dengan agama, antaranya melalui Al-Quran, Hadis dan mengikut ulama!

Namun sekiranya berlaku permasalahan negara, kita tidak boleh hanya semata-mata mengajak manusia kembali mendengar ceramah agama tanpa ada penyelesaian yang konkrit untuk dilakukan. Sebagai contoh agama menegah seorang pemimpin yang membazir dan rasuh, lalu seorang ustaz kemukakan dosa-dosa pelaku tersebut lantas mengkritik pemimpin tersebut, namun tidak ada alternatif kepada permasalahan tersebut.

Reaktif betul golongan ustaz dengan hanya mencari kesalahan yang sudah terbukti satu kesalahan, namun bagaimana ingin mencegah rasuah dan pembaziran yang berlaku hanya menggunakan retorik ceramah “kembali kepada agama”. Apa rancangan yang ada sebagai contoh mewujudkan tabungan simpanan atau badan-badan yang mampu menegah pembaziran dan rasuah daripada seseorang pemimpin. Golongan ustaz kebanyakkannya tidak mampu berfikir secara detail dan mereka hanya superficial(pemikiran cetek)!

Takkanlah ingin membuat reformasi pendidikan negara hanya menggalakkan penubuhan sekolah-sekolah tahfiz yang tidak ada sistem yang sistematik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi! Adakah cukup hanya menjadi huffaz boleh menjadi ustaz yang berpengatahuan luas? Adakah cukup menjadi huffaz yang hanya memenuhi undangan imam solat terawih? Idea seorang ustaz kebanyakannya hanya ingin membina sekolah-sekolah tahfiz atau pondok sebagai alternatif kepada pendidikan negara.

Apa semua sistem pendidikan negara itu rosak atau tidak Islamik yang menjadi kesukaran bagi golongan ustaz untuk meniru model pendidikan moden ini? Adakah mereka tidak tahu persoalan besar sistem pendidikan negara adalah “exam oriented” dan seorang graduan yang bercita-cita untuk menjadi seorang “engineer” belum tentu boleh menjadi seorang “engineer” walau bergelar graduan kejuruteraan. Tambahan pula masalah pendidikan negara adalah tidak mampu untuk menyediakan satu sistem pendidikan yang berteraskan minat pelajar dan hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik.

Daripada permasalahan pendidikan negara yang berlaku, ia bukanlah bermaksud kelompangan ini harus diisi dengan para huffaz dengan menubuhkan pelbagai mahad tahfiz dan pondok, namun ia adalah kelompongan yang harus diatasi dengan asas yang sama.

Pendek kata jika seseorang pelajar ingin menjadi seorang ahli kimia, sistem pendidikan negara yang lompong tersebut haruslah diatasi dengan menjadikan seseorang tersebut ahli kimia dan bukan menjadi seorang huffaz. Tidak ada solusi mengenai perkara ini yang datang dari kebanyakan ustaz!

Realitinya juga sekolah pondok atau mahad tahfiz hanya menjadi tempat pemulihan akhlak kanak-kanak dan kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sana adalah jenis anak-anak yang kurang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah. Hakikatnya kebanyakan ibu-bapa akan menghantar anak-anak yang cemerlang ke sekolah-sekolah cluster yang akan menjadikan anak-anak mereka seorang doctor, enginer atau lawyer.

Apabila berceramah agama pula, sekiranya sepuluh orang ustaz memberi pandangan hukum, boleh dikatakan sepuluh-sepulah ustaz akan berbeza pandangan. Ada pula hanya menyempitkan pandangan hukum kepada mazhab Syafie semata-mata, bagi mereka mazhab lain tidak tepat!

Apbila seseorang ingin melazimi amalan berzikir dicadangkan pelbagai ratib-ratib karangan ulama, sedangkan mengapa tidak mencadangkan amalan zikir yang menjadi amalan kebanyakan umat Islam seperti apa yang ada di dalam Al-Mathurat.

Menjadi satu falasi juga di Malaysia apabila kita mewujudkan dan mendewankan mereka-meraka yang belajar agama seperti “dewan ulama” di dalam parti atau organisasi yang menjadikan seseorang itu “fast track”  bergelar ulama walaupun hanya mempelajari agama dalam masa yang singkat.

Saya juga terfikir atas rasional apakah sistem pendidikan kebanyakan negara Islam memisahkan pendidikan agama dan bukan agama terutamanya di peringkat Universiti? Bukankah seseorang Muslim wajib untuk mempelajari ilmu agama dan bukan agama secara serentak dan saling tidak terpisah. Sekiranya terpisah maka ilmu agama mudah dijadikan bahan dagangan atau kerjaya untuk dikormesialkan. Saya akui saya idealist dalam perkara ini dan mustahil untuk mengubah sistem ini. Namun mengapa sistem ini tidak terpisah semasa kita belajar di sekolah rendah dan menengah?

Atas beberapa perkara inilah yang menyebabkan saya mengalami beberapa revolusi pemikiran mengenai agama. Saya meyakini bahawa menjadi orang beragama lebih penting daripada menjadi seorang agama. Biarpun siapa kita sama ada guru, ahli kimia, peguam atau hakim jika tertanam dan terdidik dengan ajaran Islam, maka mereka akan menjadi seorang Muslim dan khalifah yang baik di atas muka bumi Allah.

Bahkan prinsip ini juga terpakai di dalam hal-hal politik dan kepimpinan Islam. Bukannya dia perlu bergelar seorang uztaz atau pelajar agama barulah boleh menjadi pemimpin di dalam parti Islam, tetapi secara prinsipnya cukuplah memadai dengan faktor Quwwah(kuat) dan Al-Amin(jujur) yang mengikut merit kelayakan.

Bagi ibu-bapa yang kecewa dengan sistem pendidikan negara ingatlah menghantar anak-anak anda ke sekolah pondok atau tahfiz bukan satu penyelesaian yang bijak, malah terkadang ia akan menimbulkan suatu permasalahan yang baru.

Kelompongan harus diatasi dengan baik dengan mendedahkan kepada anak-anak sedikit sebanyak realiti sebenar kehidupan walaupun ia bukan secara formal. Ini lebih baik daripada memaksa mereka untuk menjadi mangsa persaingan peperiksaan.

Tidak salah juga untuk menghantar mereka ke sekolah China, PASTI, Pra Sekolah dan lain-lain asalkan hasilnya kita ingin anak kita menjadi orang yang berguna kelak kepada agama dan negara dan bukannya mendabik dada apabila mereka menjadi seorang doctor atau engineer yang tidak menyumbang bakti kepada masyarakat, agama dan negara.




No comments:

Post a Comment