Thursday 31 March 2016

Persepsi Politik


Persepsi merupakan senjata yang cukup tajam untuk membina pandangan buruk atau baik bagi sesebuah politik. Di Mesir suatu ketika dahulu, kegagagalan Dr Mursi mengurus persepsi rakyat Mesir telah menyebabkan kerajaan yang sah diterajuinya dirampas secara kudeta hasil tekanan daripada rakyat yang tidak memihak beliau.

Dr Mursi dari sudut pandangan mereka, hanya seorang pemimpin Pro Islamist dan bukan pemimpin rakyat jelata Mesir memandangkan beliau secara lantang menunjukkan ciri-ciri kepimpinan Islamik beliau tanpa terlebih dahulu melihat permasalahan asas rakyat seperti isu ekonomi dan sosio budaya.

Ia berbeza pendekatan yang dibawa oleh Mr. Erdogan apabila usai AKP mendapat mandat untuk menerajui Turki beliau banyak memfokuskan permasalah asas rakyat dan tidak menunjukkan konfrontasi yang begitu ketara terhadap idea bapa pembangunan Turki iaitu Kamal At-Tartuk. Bagi Erdogan apa-apa dasar yang baik dan berguna semasa pemerintahan At-Tartuk akan diteruskan oleh beliau. Maka hingga hari ini AKP terus mendapat kepercayaan rakyat untuk memerintah.

Jelas perbezaan cara kepimpinan dua tokoh Pro Islamist ini yang mencetuskan persepsi rakyat sama ada mendatangkan kebaikan atau kemudharatan kepada kepimpinan negara. Persepsi mampu membunuh parti dan juga mampu menjulang parti.

Apabila melihat situasi di Malaysia ia juga hampir sama sekiranya  gagal atau berjaya diuruskan. Beberapa hari yang lepas saya menerima WhatsApp dari sahabat seperjuangan PAS yang amat saya kasihi dan kagumi. Banyak ilmu politik dan kepimpinan yang saya pelajari daripada beliau. Moga Allah memberkati dan meredhoi kehidupan beliau dan keluraga.

Namun ia tidak menjadikan saya untuk tidak berbeza mengenai beberapa perkara dengan beliau terutamanya mengenai PAS. Beliau tidak bersetuju dengan pandangan saya di Facebook mengenai “PAS suka Najib” dan menganggapnya adalah mainan persepsi oleh media untuk mempertahankan hujah saya.

Apa yang mendorong saya katakan seperti itu kerana beberapa tindakan PAS mutakhir ini seperti isu Hudud(Akta 355) yang hanya dimanipulasi oleh UMNO, isu tidak masuk akal RM 2.6 billion masuk ke akaun peribadi Najib, isu Unity Government (UG) di Selangor, Multaqa Al-Azhar, isu penasihat BN, isu kerjasama dengan BN dalam hal ehwal Islam, isu cluster TG Haron Din, isu ponteng parlimen di dalam perkara-perkara besar oleh TGHH dan lain-lain lagi.

Hujah yang saya kemukan tersebut adalah perkara yang benar dan telah berlaku dan diakui oleh bekas pimpinan PAS lalu membentuk persepsi bukan sahaja saya malahan ribuan orang awam lain yang menganggap bahawa “PAS mesra UMNO”, cuma bahasa saya “PAS suka Najib”.

Ada persepsi yang mampu membawa kepada kebaikan dan ada persepsi yang mampu membawa kepada keburukan, ini perkara biasa di dalam gelanggang politik. Kalau tidak mahu persepsi ini diundang kepada keburukan, soal saya kepada PAS mengapa menimbulkan persepsi tersebut melalui tindakan pimpinan PAS? Mengapa PAS tidak mahu menimbulkan persepsi yang membawa kepada kebaikan parti seperti bersama-sama dengan Pakatan Harapan, bersama dengan Deklarasi Rakyat dan lain-lain? Anda lebih arif permainan persepsi ini bukan?

Bukan semua persepsi yang terbina datang dari golongan yang tidak berfikir atau orang kampung di pinggiran, ada yang membina persepsi tersebut melalui kajian, pembacaan pelbagai media, perbincangan dengan golongan cerdik lalu membentuk keyakinan terhadap persepsi tersebut.

Mengapa persepsi “PAS mesra UMNO” ini tidak wujud atau sekiranya wujud sekalipun berjaya diredakan semasa kepimpinan arwah Tok Guru Nik Aziz? Kesemua yang berlaku itu selepas kematian TGNA. Kesannya PAS berpecah kepada dua golongan lalu menubuhkan parti baharu iaitu AMANAH.

Agak sukar untuk orang awam atau saya sekalipun untuk bertanya secara terus kepada TGHH atau orang yang berkelayakan untuk mengetahui apa yang sebenarnya pimpinan PAS ingin lakukan. Lagipun ini bukan zaman era 80-an, yang capaian media elektronok sewaktu ketika dahulu adalah terhad, sekarang sudah ada FB, WhatsApp dan lain-lain.

Mungkin benar itu bukan tujuan mereka hingga dilabel “PAS mesra UMNO” namun manusia tidak akan dapat mengetahui apa yang ada di dalam isi hati pimpinan PAS. Orang awam akan berfikir secara mudah lalu menimbulkan satu persoalan besar, “Mengapa PAS boleh mencetuskan idea untuk menasihati UMNO dalam keadaan UMNO sangat nazak dengan isu-isu yang cukup besar seperti skandal RM2.6 billion dan 1MDB?”

Adakah PAS sebelum ini tidak pernah menasihati UMNO? Kalau nak menasihati UMNO sekalipun biarlah di dalam keadaan mereka lemah dan tidak menjadi parti pemerintah. Itu barulah bersesuaian. Adakah PAS ingin memberi tongkat kepada UMNO dalam keadaan dua tongkat utama mereka iaitu MCA dan MIC sudah patah? Inilah persepsi dan menjadi cakap-cakap ribuan orang awam! Sebagai parti pembangkang yang lama anda bijak memahami situasi ini!

Saya mencadangkan supaya marilah sama-sama sebagai pemimpin pembangkan kita berjiwa besar dan mengetepikan ego atau kepentingan parti seketika untuk melihat Malaysia yang lebih sejahtera. PAS, PKR, DAP mahupun AMANAH tidak mampu untuk bertanding secara berseorangan dengan keampuhan BN. Hentikanlah pertikaian sesama parti pembangkang dan marilah kita membina persepsi yang membawa kepada kebaikan, kerana rakyat Malaysia masih menaruh harapan supaya PRU ke 14 akan ada pertandingan dwi sistem parti, iaitu satu lawan satu.



No comments:

Post a Comment