Friday 8 April 2016

Persahabatan Antara Dua Wadah


Perbedaan wadah siasah di antara PAS dan AMANAH telah menyebabkan secara ideal dan praktisnya mencetuskan ketidakselesaan perhubungan di kalangan pendokong dan ahli yang telah terbina atas gelanggang perjuangan politik.

Dahulunya sebelum berpisah kepada wadah yang baru, sebagai ahli mahupun penyokong kita sudah biasa dengan praktik tidur sebantal, makan setalam, apatah lagi dahulunya mereka adalah rakan seperjuangan di kampus, kawasan dan bermacam-macam lagi kebersamaan daripada keberasingan. Ini etos zaman sebelum berbeda wadah.

Perbedaan itu memang cukup perit apatah lagi ia berkisar mengenai pertembungan idelogi mahupun idealisme di dalam falsafah kemanusiaan dan ini hakikat yang perlu kita akui.

Saya juga tidak terlepas dari permasalahan ini apabila terus meningkatkan jurang perbedaan ini sehingga menyebabkan beberapa rakan-rakan saya yang masih di dalam PAS berkecil hati dengan kritikan saya kepada PAS.

Saya menerima, menghormati dan menghargai nasihat dan pandangan yang diberikan dan saya arif untuk mengenali teman-teman yang saya pernah kenali mereka sebelum ini.

Sesetengah daripada mereka memilih jalan konfrontasi, sesetengah yang lain pula memilih untuk mendiamkan diri dan yang lain pula memilih untuk menunggu dan melihat. Mungkin saya boleh dikategorikan sebagai kumpulan konfrontasi.

Namun masing-masing mempunyai hujah dan prinsip terhadap jalan yang dipilih. Sebagai contoh sesetengah yang memilih untuk mendiamkan diri menggunakan hadis nabi Muhammad s.a.w “diam itu lebih baik daripada berkata-kata.”

Memandangkan saya memilih jalan konfrontasi dengan secara langsung mengkritik PAS di alam maya dan lain-lain, maka fokal hujah saya akan berkisar tentang sebab musabab keyakinan ini terbina.  

Secara prinsipnya saya mengambil pendekatan untuk mengkritik idea dan strategi pimpinan PAS terutamanya selepas peristiwa muktamar Jun 2015. Bagi saya inilah menjadi titik tolak kepada wujudnya AMANAH iaitu parti serpihan PAS, apabila kesemua pemimpin progresif PAS gugur secara setandan secara helah dan provokatif yang dilakukan oleh sesetengah ahli PAS.

Saya tidak mahu membahasnya secara terperinci mengenai peristiwa muktamar tahun lepas kerana keterbatasan ruang dan masa. Cuma saya tidak pasti secara sedar atau tidak kritikan saya terhadap pimpinan PAS mungkin mengguris hati ahli bawahan terutama sahabat-sahabat saya yang masih berada di dalam PAS.

Retorika seni berpolitik mengajar kita bahawa kritikan terhadap parti lain terutamanya yang tidak bersama-sama dalam satu gabungan adalah salah satu cara membina pengaruh dan keyakinan.

Seni ini tampak dengan jelas apabila ia berlaku di antara AMANAH dan PAS. Masyarakat awam ingin tahu apakah perbezaan di antara AMANAH dan PAS memandangkan kedua-dua parti menggunakan sentimen Islam sebagai teras perjuangan ideologi parti.

Oleh itu tidak hairanlah seni ini digunakan oleh kedua-dua pimpinan untuk saling membina pengaruh dan keyakinan kepada masyarakat mengenai perjuangan parti mereka.

Antara seni retorik yang digunakan oleh kedua-dua pimpinan adalah AMANAH “ajen” DAP, manakala PAS “mesra” UMNO! Ia tidak terkecuali digunakan oleh seorang yang memakai jubah dan berserban hinggalah seorang yang memakai seluar bersinglet pendek.

Tetapi ia perlu diraikan kerana kedua-dua pimpinan tersebut telah membina keyakinan terhadap prinsip ini, namun jika ada falasi yang berlaku adakah seseorang itu perlu berdiam seribu bahasa untuk tidak membetulkan falasi ini?

Dengan meraikan kepelbagai sesetengah pihak yang memilih kepelbagaian cara untuk berhadapan dengan perkara ini, saya memilih untuk berkofrontasi membetulkan falasi mahupun memberi sisi pandang berdasarkan hujah yang saya yakini.

Walaupun saya bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak bahawa ia akan mewujudkan perbalahan yang tidak akan berkesudahan sekiranya masing-masing akan menegakkan hujah yang diyakini.

Saya akui perkara tersebut namun adakah kita tidak boleh mencoret sedikit idea untuk berbeza lalu diketengahkan di khalayak masyarakat supaya mereka memahami idea tersebut?

Saya yakini bahawa dengan idealah sesuatu reforms itu akan terlaksana, dan ia tidak akan datang bergolek dengan hanya kita berdiam diri mahupun hanya melakukan kerja tanpa memikirkan atau mempersoalkan sesuatu idea. Ada sesetengah pihak memilih jalan ini, namun bukan saya!

Ditambah pula jari jemari saya yang cepat menggelatar dek kerana darah siasah yang telah sebati di dalam tubuh akan merangsangkan segala pandangan dan kritikan di gelanggang politik terutamanya seturu politik mahupun wadah lama.

Andai kata saya dan rakan-rakan yang masih di dalam PAS tidak pernah mengenali satu sama lain di atas gelanggang siasah dan perkenalan kami bermula di atas dasar perniagaan, NGO, rakan sekerja dan lain-lain lagi maka ia tidak akan menimbulkan jurang(gap) persahabatan ini, namun realitinya kami mula berkenalan di atas wadah yang sama sebelum ini.  

Apabila berlaku perbedaan wadah seperti ini, maka jurang ini akan terwujud dan ianya perkara yang tidak mampu untuk dielak. Namun saya juga berpandangan bahawa adakah persahabatan yang terbina hanyalah semata-mata bertunjangkan kepada politik?

Adakah kita tidak boleh untuk bersahabat atas dasar keprimanusiaan seperti rakan sekampus, rakan sekerja, rakan sekampung dan lain-lain lagi. Sudah mesti ia boleh dibina bukan?

Maka di atas asas kefahaman inilah saya ingin terus mengekalkan persahabatan dengan rakan-rakan saya yang masih di dalam PAS, berazam untuk mengeratkan hubungan sillaturrahim dan sentiasa meringankan tulang untuk membantu mereka-mereka yang berada di dalam kesusahan atas faktor kemanusiaan walaupun kita berbeda wadah kerana Islam mengajar saya persaudaraan melepasi sempadan mazhab, politik, jemaah, bangsa dan lain-lain.

Namun pada masa yang sama juga saya tidak mampu memberi jaminan untuk tidak lagi mengkritik PAS apatah lagi sekiranya pimpinan PAS mengkritik AMANAH terhadap perkara yang tidak ada asas. Ia perbedaan pembawaan yang harus kita akui, moga kalian memahami prinsip ini.

Saya juga berazam untuk mengurangkan sindiran saya kepada PAS dan mempertajamkan lagi pena ini untuk mengkrtik dan mencemuah sang penguasa yang zalim!

Terima kasih kerana nasihat yang diberikan wahai teman, kerana begitulah sifat orang yang beriman, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Semoga persahabatan kita terus mekar dan terjalin hingga ke Syurga. Amin......





No comments:

Post a Comment