Wednesday 10 February 2016

Menjangkau Usia ke-27 Tahun


Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana masih lagi membenarkan saya hidup pada hari ini yang merupakan genap ulang tahun kelahiran saya ke-27.

Mungkin penulisan kali ini tidak membawa pembaca untuk memikirkan soal idea-idea yang besar tetapi ia hanyalah berkisar tentang peribadi saya yang telah menjangkau usia 27 tahun. Apa yang menariknya dalam usia ini adalah cabaran yang telah dilalui oleh saya sebagai hamba Allah s.w.t, apatah lagi ia datang bertubi-tubi selepas saya menjejaki alam perkahwinan

Kebanyakan orang seusia begini sudah pasti menumpukan kepada pengumpulan aset, kerjaya, kebahagiaan keluarga dan sebagainya, namun ia sedikit berlainan bagi saya apabila pada ketika ini saya sedang bergelumang dengan masalah kesihatan yang pelbagai dan bertubi-tubi!

Saya sedikit bertuah kalau diikutkan dari pengumpulan aset, kerjaya dan keluarga kerana kesemua itu saya telah mengecapinya pada usia 25 tahun. Saya berkahwin pada usia 23 tahun, memperoleh cahaya mata pada usia 24 tahun, bekerja di luar negara dengan gaji yang agak lumayan pada usia 24 tahun, dan memiliki rumah sendiri pada usia 25 tahun!

Saya sempat berseloroh dengan isteri tercinta “ujian apa yang abang tidak kena lagi?” Apabila saya menghadapi masalah kesihatan pada usia seperti ini semua perancangan yang telah dirancang banyak yang tergendala dan hampir “telur di hujung tanduk!”

Kehidupan saya, isteri dan anak yang berbekalkan pendapatan bulanan RM 500 amatlah mencabar dan getir buat kami memandangkan begitu banyak komitmen hutang yang sedia ada dan sampai sekarang kami masih PJJ(perkahwinan jarak jauh). Dalam keadaan ini saya mengakui kami memang amat tidak terdaya!

Dalam keadaan lemah ini kami dicaci, dimaki, dan dibuli oleh mereka-mereka yang dekat dengan kami sekeluarga. Dalam keadaan ini jugalah saya mengambil keputusan untuk berundur seketika membawa diri untuk mencari dan membina kekuatan semula.

Ia juga bukanlah bermaksud saya ingin memutuskan ikatan sillaturrahmi yang sudah terbina, tetapi hanyalah bertujuan untuk merawat hati yang cukup terluka dan parah ini. InshaAllah saya akan kembali kepada kalian setelah usai permasalahan asas yang sedang dialami ini.

Saya secara manusiawi juga tidak dapat lari daripada merasai kekecewaan dan kesedihan terhadap kata-kata yang dilontarkan kepada kami. Ini hakikat insan dan saya bukan golongan sufi, para nabi, sahabat dan malaikat! Dalam keadaan pendapatan RM 500, tiada apa yang kami boleh buat, hingga majlis-majlis penting pun saya tidak dapat hadir. Namun bila saya tidak hadir sudah pasti impaknya adalah “negative perception.” Biasalah, itu hukum adat.

Saya terpaksa memulakan hidup(start from below zero) kerana sebelum ini saya gagal untuk bekerja semula di luar negara kerana kehilangan dokumen antarabangsa Saudi Arabia disebabkan sistem di sana sentiasa berubah-ubah.(well, you can’t expect good and efficient management from Muslim in middle east). Saya menunggu proses VISA selama enam bulan untuk merasai gaji mencecah RM10K, namun akhirnya tidak kesampaian

Disebabkan saya mengalami keterbatasan fizikal untuk mencari kewangan secara makan gaji, maka saya telah membuat keputusan untuk bekerja sendiri. Jadi azam saya pada usia 27 tahun adalah menceburi bidang perniagaan, namun pada ketika ini juga idea yang konkrit belum saya temui lagi untuk memulakan perniagaan walaupun longgokan idea sudah tersarat di fikiran saya.

Untuk permulaan perniagaan saya telah sedikit sebanyak mencuba perniagaan yang tidak mengeluarkan modal yang banyak. Saya telah mengambil peperiksaan dan sudahpun lulus untuk menjadi agen takaful, namun masih belum memilih syarikat takaful mana yang ingin disertai, tetapi kemungkinan besar adalah PruBSN.

Memandangkan saya mempunyai international certificate (API 510 Inspector)dalam inspection, saya juga telah membuat persiapan untuk menjadi freelance inspection iaitu pekerjaan yang berbentuk perkhidamtan kejuruteraan terutamanya dalam industri oil&gas. Kerjanya adalah berdasarkan kepada projek dan tempohnya bergantung kepada keadaan, ada yang mengambil masa selama sebulan dan ada pula sehingga enam bulan. Saya juga telah meninjau prospek kerjaya ini di Singapura dan harapnya adalah rezeki saya di sana. InshAllah.

Saya bersama isteri juga telah merancang untuk membuka perniagaan online yang berteraskan kepada pakaian. Pagenya sudah dibuat namun produk pertamanya masih menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan. Sekiranya para pembaca berkesempatan sudilah menziarahi Page Fb  Ulen Misya untuk menambah likers yang sedia ada.

Memandangkan saya telah terlatih di dalam hal-hal kemasyarakatan dan politik di kampus sewaktu ketika dahulu, maka menjadi impian dan harapan saya untuk memanafaatkan ilmu tersebut di lapangan yang sebenar.

Untuk itu saya tidak menolak untuk terlibat di dalam kedua-dua platform tersebut sebagai wadah seperti aktif di dalam NGO dan politik. Saya melihat ramai kenalan saya yang aktif politik juga terlibat dengan NGO-NGO sebagai alternatif untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

Walaupun saya telah menjadi ahli rasmi parti AMANAH Bukit Katil, Melaka, namun saya masih lagi belum terlibat secara aktif di dalam gerak kerja parti AMANAH kawasan. Lebih cepat saya menyelesaikan masalah ekonomi keluarga lebih cepat untuk saya terlibat secara aktif dengan AMANAH. InshaAllah.

Mungkin wadah baru ini terlalu mencabar kerana terpaksa berkonfrontasi dengan naqib, sahabat dan keluarga yang pernah tidur sebantal, namun demi melihat Malaysia yang lebih sejahtera saya memkasa diri untuk meredah perkara sensitif ini. Untuk NGO pula saya masih tidak memilih mana-mana NGO untutk sertai atau untuk mengepalai kerana saya memerlukan tempoh yang belum diketahui ke arah perkara ini walaupun minat dan harapan itu sudah berputik.

Saya juga sedang berazam untuk keluar daripada “Malay Minded.” Saya berasa kerugian yang besar apabila peluang yang diberikan oleh saya sewaktu belajar di sekolah menengah bersama-sama rakan China, India, Punjab dan lain-lain sehinggalah ke alam kampus tidak digunakan sebaik-baiknya untuk berkenalan lebih dekat dengan mereka.

Apabila saya memasuki alam pekerjaan, kesedaran untuk mengenali rakan-rakan Non Malay semakin tinggi, kerana kebanyakan mereka adalah jenis golongan yang rajin, kaya, berfikiran tektikal dan teknikal, ditambah pula rakan-rakan Non Malay mereka fasih berbahasa Inggeris, Melayu dan Ibunda.

Amat memalukan dengan orang Melayu apabila bahasa Ibunda sendiri pun masih belum menguasainya dengan baik apatah lagi tersekat-sekat untuk berbahasa Inggeris. (I lap you, you lap me). Inilah menyebabkan saya berazam untuk keluar daripada “Malay Minded” dan cuba untuk mengurangkan pertuturan dalam bahasa Melayu dan ingin menambah kenalan Non Malay sekiranya ada ruang dan kesempatan.

Di dalam kesedihan pasti ada ketenangan dan kegembiraan. Apabila melihat kelibat puteri sulong saya, Ulen Nuoha sedikit sebanyak menghilangkan kesediahan yang ditanggung oleh saya ketika ini. Saya juga bersyukur sempena ulang tahun kelahiran ke-27, dikhabarkan baru-baru ini isteri saya telah enam minggu mengandung walaupun dua bulan sebelum itu beliau mengalami keguguran!

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga, sahabat-sahabat dan lain-lain kerana menziarahi saya ketika sakit, mendoakan dan memberi semangat kepada kami untuk meneruskan kehidupan. Hanya Allah sajalah yang dapat membalas jasa kalian. Amin...



  




No comments:

Post a Comment