Friday 12 February 2016

Membumikan Semangat Perjuangan Anwar


Dulunya saya begitu alergik mendengar nama Dato’ Seri Anwar Ibarahim kerana susok tubuh ini sering dikaitakan dengan orang yang gila kuasa dan sodomi. Sejarahnya bersama UMNO juga menambah asam garam kejengkelan saya dengan DSAI. Itu cerita dulu kala.

Namun apabila usia dimamah hari saya mula mengkaji, membaca dan mengenali secara terperinci aspirasi perjuangan DSAI. Rata-rata rakyat Malaysia akan mengaitkan DSAI dengan orang yang gila kuasa sama ada mereka yang berpihak kepada pembangkang apatah lagi kepada kerajaan. Logik ini saya masih boleh diterima kerana itulah kebanyakan cakap-cakap orang awam.

Antara sebab beliau digulingkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri juga kerana beliau dikaitkan untuk merampas jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir.

Lain daripada gila kuasa, adalah sedikit yang mengaitkan beliau sebagai Liberalisme dan Pluralism. Saya bukanlah Tuhan untuk menentukan niat di dalam sanubari seseorang sama ada beliau adalah gila kuasa, liberalism dan pluralism. Selain dari itu saya kurang mendengar kontroversi yang mengaitkan beliau dengan malpractise.

Apabila saya melihat idea dan prinsip perjuangan beliau, ia selari dengan kefahaman Islam yang saya perolehi iaitu teras prinsip dan nilai Islam yang menentang kezaliman, berlaku adil kepada semua kaum dan agama, toleransi dan kebijaksanaan politik, membudayakan amalan pembacaan dan intelektual, progresif, perhubungan awam yang baik, komunikasi yang baik, profesionalism, dihormati dan digeruni oleh lawan dan kawan dan lain-lain lagi. Itulah kelebihan DSAI kerana kesemua ini ada kepada beliau di samping saya tidak menafikan kekhilafan beliau dalam beberapa perkara yang tidak dapat lari daripada sifat manusiawi!

Kalau berbicara soal Islamist beliau dikatakan mempunyai susur galur pemikiran Islamist dengan permulaan penyertaannya di dalam ABIM. Beliau juga boleh berkhutbah di mimbar-mimbar masjid pada hari Jumaat bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara!

Apatah lagi kalau ingin memberi ceramah agama, itu sudah menjadi kehebatan dan kemahiran beliau. Kalau diikutkan di dalam keluarga pula kesemua anak-anaknya menutup aurat dengan sempurna yang belum tentu ada pada seseorang keluarga PAS atau AMANAH!

Dari aspek intelektual beliau adalah orang yang kuat membaca dan mampu mengaplikasikan pembacaan beliau di lapangan. Karya-karya Syed Naquib Al-Atas sudah menjadi makanan intelektual beliau untuk memperkasa pemikiran dan idea.

Usah berbicara pula dalam soal aktivis kerana itu merupakan darah daging beliau sejak dari zaman kampus hinggalah sekarang merempat di dalam penjara. Berbelas tahun hidupnya dihabiskan di dalam gerigi penjara kerana sikapnya yang tidak memilih untuk menjadi orang di sebalik tadbir demi sebuah perjuangan keadilan dan kesejahteraan rakyat. Adakah kita sanggup dan berani untuk hidup di dalam penjara belasan tahun? Sebelum tepuk dada tanya iman, fikir dahulu bagaimana anak-anak dan isteri!

Semasa di dalam UMNO jasanya juga bukan kepalang. UIAM dan Bank Islam adalah daripada jasa dan pengorbanan beliau. Ini belum tentu dapat dilakukan oleh PAS yang ingin menjadi penasihat kerajaan! Kita tunggu dan lihat apakah kejayaan PAS sebagai penasihat kerajaan!

Beliau juga bukanlah orang yang hanya pandai cakap berapi-api dan mengkritik semata-mata dasar kerajaan, tetapi mengambil langkah proaktif untuk menyediakan alternatif kepada permasalahan tersebut.

Imej beliau di peringkat antarabangsa begitu baik terutama dari negara-negara timur tengah, eropah dan asia tenggara. Ini kerana kelantangan beliau dalam memupuk keadilan melalui demokrasi memukau para pendengar yang mendengar beliau ketika berpidato. Ia cukup menunjukkan sikap yang toleran.

Beliau juga mengenakan imej yang boleh diterima oleh semua kaum. Mungkin pembawaan idealisme beliau mengikut keadaan setempat menyebabkan orang lain dari pelbagai kaum boleh menerima beliau. Saya sendiri pernah mendengar ucapan beliau di youtube tentang bagaimana ingin membawa sifat nilai sejagat berdasarkan kepada situasi tempat.

Sebagai contoh DSAI berkata untuk Kelantan, beliau akan membawa beberapa ayat Al-Quran dan hadis mengenai keadilan untuk diceritakan di sana memandangkan orang Pantai Timur kebanyakannya adalah orang Melayu dan kuat beragama. Apabila beliau berceramah di sekitar Lembah Klang beliau membawa falsafah Mahadma Gandhi atau Conficus untuk menerangkan tentang prinsip keadilan kerana kebanyakan penduduk Lembah Klang terdiri daripada pelbagai bangsa, intelektual dan berfikiran terbuka. 

Walaupun dua sumber falsafah yang berbeza tetapi prinsipnya adalah sama. Mungkin disebabkan ini juga beliau dilabel sebagai liberal, tetapi bagi orang yang memahami nilai dan prinsip falsafah amat mengagumi cara dan pendekatan beliau.

Nah kalau begitu apakah posisi yang terbaik bagi beliau di dalam Malaysia selepas bebas dari penjara? Saya secara peribadinya merasakan posisi yang terbaik dan teramat layak utuk DSAI adalah jawatan Perdana Menteri Malaysia. Saya pernah berbicara dengan orang kuat PAS di Jubail Saudi Arabai sewaktu ketika dahulu, kata orang kuat PAS tersebut, DSAI mempunyai aura dan karismatik yang sangat kuat di mana beliau tidak boleh duduk di bawah orang! 
Benar beliau adalah seorang pemimpin dunia, bukan setakat Malaysia sahaja.

Saya bukanlah bermaksud bertuhankan dengan susuk tubuh DSAI, tetapi yang menyebabkan saya boleh berkata begitu kerana beliau mempunyai track record dan merit yang bagus sebagai seorang pejuang dan pemimpin. Namun kekangan yang ada pada sekarang ini sempatkah DSAI terus berpencak di arena politik Malaysia memandangkan keadannya yang sedikit uzur di penjara dan usianya yang kian seggang.

Tidak perlu untuk melahirkan DSAI versi kedua kerana setiap kita dilahirkan di dalam keadaan yang berbeza dan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun untuk tempoh ini marilah kita sama-sama meneruskan aspirasi dan inti perjuangan DSAI demi sebuah keadilan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Semoga DSAI dan keluarga terus tabah. Amin...

No comments:

Post a Comment