Sunday 14 February 2016

Asas Ketakutan Orang Melayu

Orang melayu mempunyai beberapa strata(lapisan masyarakat) yang menjadi prinsip hidup atau idealism yang mereka yakini untuk hidup di dalam kamuniti masyarakat Malaysia.

Ada sesetengah Melayu mereka memilih jalan konservatif untuk hidup. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu seperti bahasa, budaya, politik semuanya ingin dijadikan tempat yang paling tertinggi di dalam negara.

Golongan konservatif Melayu tiada kompromi(tolak ansur) dengan bangsa-bangsa lain kerana bagi mereka Malaysia milik orang Melayu. Golongan ini gemar mengenakan songkok hitam daripada kopiah putih di dalam semua majlis keraian hingga sembahyang jemaah di masjid juga mengenakan songkok hitam yang tidak dibasuh najis berkurun lamanya!

Golongan ini juga berjuang agar budaya Melayu dijadikan kedudukan yang tertinggi sehingga orang China yang ingin memasuki Islam diMelayukan juga seperti memakai kain pelekat di rumah atau di masjid.

Dari segi penggunaan bahasa pula mereka tidak mengendahkan penggunaan bahasa kedua seperti Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan fasih. Mungkin kesan annals pada zaman dahulu yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca menyebabkan sifat keakuan terus wujud di dalam susuk tubuh orang Melayu.

Dari segi praktis politik, golongan konservatif Melayu memilih politik perkauman dan tidak membuka keahlian kepada kaum lain. Maka perjuangan mereka hanya kesejahteraan untuk orang Melayu sahaja.

Namun bagi sesetengah orang Melayu yang lain, mereka lebih suka memihak kepada golongan progresif Melayu untuk hidup. Golongan ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri kemelayuan mereka tetapi lebih terbuka untuk berkongsi kuasa dengan kaum lain, mengenakan budaya Melayu sesuai pada keadaan dan bertolak ansur dengan budaya kaum lain, tidak menafikan penggunaan bahasa selain Bahasa Melayu dan  lain-lain.

Ada juga golongan Melayu yang idealist. Mereka ini tidak mempunyai pengikut yang ramai tetapi mereka mempunyai posisi yang baik di dalam kerjaya di syarikat-syarikat besar. Adakalanya mereka ini inferior menjadi seorang Melayu kerana bagi mereka tidak penting untuk mengekalkan sifat kemelayuan disebabkan mereka adalah golongan minoriti di dalam sesebuah negara dan mempunyai kenalan yang ramai dari kalangan bukan Melayu. Ringkasnya identiti Melayu mereka longgar dan alergik untuk mengenakan songkok hitam dan baju serta berbahasa Melayu!

Secara peribadi saya beranggapan majoriti orang Melayu dari pelbagai kategori mempunyai asas ketakutan yang sama terhadap bangsa lain terutamanya dari orang China. Sejarah membuktikan bahawa kehadiran bangsa lain di dalam negara yang mempunyai masayarakat pribumi(penduduk asal) akan menyebabkan golongan penduduk asal tertindas. Inilah logik asas ketakutan orang Melayu!

Lihatlah apa yang terjadi masyarakat Red Indian di Amerika, penduduk asal Palestine, masyarakat asal di Australia, Vietnam dan lain-lain lagi. Kesemua penduduk asal negara tersebut ditindas dan akhirnya golongan pendatang menjadi kerajaan kepada golongan pribumi.

Orang Melayu mempunyai tiga sentimen yang cukup sensitif iaitu Bangsa, Negara dan Agama. Tambahan pula di Malaysia, mengikut perlembagaan seseorang itu dikatakan Melayu sekiranya boleh berbahasa Melayu, mengamalkan budaya Melayu dan beragama Islam.

Sebab itu kalau disentuh soal agama seperti isu kalimah Allah, kalikatur Nabi Muhammad dan lain-lain yang berkaitan dengan Islam, orang Melayu cepat beremosi walaupun para pemprotes tersebut mengenakan hijab pun tidak sempurna dan solat pun tunggang langgang tetapi apabila ada cubaan untuk mengina Islam mereka akan cepat naik sheikh. Ini disebabkan menggugat Islam sama seperti menggugat kedudukan orang Melayu.

Ini adalah teori asas ketakutan orang Melayu yang saya juga boleh menerima logik ini walaupun ia perlu dibahas secara ilmiah,namun sifat superficial Melayu sukar untuk dielak dan mengurangkan asas ketakutan ini.

Mungkin ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengatasi asas ketakutan orang Melayu. Antaranya adalah menukar pemimpin yang suka mengapi-apikan sentimen perkauman demi meraih habuan politik dan jawatan mereka sahaja.

Keduanya kaum bukan Melayu juga haruslah menerima hakikat bahawa faktor penentu untuk mengubah “Malay Minded” juga perlu datang dari golongan Melayu. Agak sukar bagi golongan bukan Melayu untuk mengubah orang Melayu kerana sejarah dan persepsi hitam yang telah terbina begitu lamanya antara kita kesan dari penjajahan kolonial dan politik perkauman.

Hak-hak bumiputra yang telah termaktub di dalam perlembagaan seharusnya tidak perlu lagi dipertikaikan kerana ia melibatkan hak-hak sensitif bumiputra. Ini sudah diamalkan dalam praktis politik DAP, hinggakan penolakan hudud oleh DAP adalah kerana hudud tidak ada di dalam perlembagaan. Selain daripada itu seperti penggunaan akta-akta yang zalim haruslah kita bersolidariti untuk menentangnya.

Dalam praktis politik mungkin setiap parti boleh berusaha untuk mencari ahli dari pelbagai bangsa untuk dijadikan ahli jawatan kuasa parti supaya tidak menampakkan parti kita bersifat perkauman. Mungkin ciri-ciri ideal ini sudah terpakai di dalam praktis politk PKR. Namun bagi AMANAH dan DAP boleh berusaha lagi untuk memiliki ciri-ciri ideal ini. 

No comments:

Post a Comment