Sunday 3 January 2016

Posissi Reformis Perundangan Islam


Reformis pra-moden memberi penekanan terhadap keperluan untuk melakukan reformasi, menolak taqlid (budaya ikut-ikutan), buta terhadap tradisi, dan menekankan bahawa kebangkitan semula sosial dan moral Islami memerlukan aksi dan aktivisme politik.

Kebangkitan Islam semasa merupakan tindak-balas alami terhadap krisis politik, ekonomi dan ketenteraan yang kerap berlaku.

Pada kurun kedua Islam, penerapan syariah adalah berdasarkan karya-karya individu atau ahli perundangan atau kehakiman yang memainkan peranan di beberapa pusat Muslim seperti di Mekah dan Madinah.

Penulis buku ini beranggapan kemungkinan terdapat beberapa hukum syariah yang bersifat mandiri dan individualis yang dicirikan oleh variasi tempat dan keadaan. Oleh itu pada zaman Abasiah lahirlah pengasas mazhab untuk mengumpul karya-karya ahli perundangan syariah yang terdahulu.

Para pengasas mazhab ini menggunakan sumber-sumber dari abad yang awal(Quran, Sunnah dan tradisi generasi kedua dan ketiga). Maka ada segelintir ahli perundangan mencabar taqlid dan menghujahkan para sarjana dan ahli perundangan yang seharusnya mampu untuk pergi terus kepada Al-Quran, As-Sunnah dan tradisi generasi muslim yang terawal tanpa perlu perantraaan mazhab-mazhab yang telah wujud.

Selain itu penulis membangkitakan persoalan kewajaran memikirkan semula rasional dan kesan naskh(pemansuhan atau pembatalan kesan perundangan dari ayat-ayat Al-Quran tertentu untuk diganti dengan ayat-ayat lain).

Walaupun ijmak merupakan sebagai sumber syariah tetapi penulis di dalam buku ini mempersoalkan tentang apa yang termasuk di dalam ijmak. Adakah ia memerlukan persetujuan sebulat suara atau bolehkah ia dibentuk walaupun sedikit wujud perselisihan atau penentangan minoriti. Adakah ijmak itu dikhususkan kepada ahli mazhab-mazhab tertentu sahaja? Apakah pula konsensus yang telah disepakati? Kesemua persoalan inilah yang menyebabkan ijmak terus menimbulkan kontroversi dalam penentuan syariah.

Qias juga merupakan salah satu teknik ijtihad, memandangkan qias digunakan setelah tidak ada sumber lain diapakai dan pada dasarnya juga ia berasaskan pemikiran manusia dan bukannya wahyu ilahi. Penulis beranggapan bahawa penerapan syariah tidak memerlukan ijmak dan qias kerana kedua-duanya datang daripada ijtihad ahli perundangan dan menuntut semula pembukaan pintu ijtihad.


Penulis memberikan contoh ijtihad yang telah dilakukan oleh Saidina Umar yang pernah berijtihad dalam perkara-perkara yang telah jelas ketentuannya menerusi teks-teks Al-Quran.

Sebagai contoh , ayat [9:60] dari Quran secara jelas dan pasti menetapkan mereka yang baru memeluk Islam dan hati serta kesetiaan mereka perlu dimenangi, sebagai salah satu kelompok yang berhak menerima zakat. Rasulullah menunaikan hak kelompok ini sepanjang hayat baginda.

Bagaimanapun Umar enggan mengagihkan wang zakat kepada golongan muallaf atas alasan amalan dahulu diadakan sewaktu muslim berada dalam keadaan lemah dan memerlukan sokongan golongan berkenaan, dan memandangkan keperluan berkenaan telah tiada [kerana Muslim semakin kuat dan tidak lagi memerlukan sokongan kelompok muallaf], zakat tidak diperlukan lagi diberikan kepada mereka.

Contoh lain pula Saidina Umar enggan mengagihkan tanah yang diperolehi sewaktu penaklukan ke atas Iraq dan Syiria sebagai ghanimah yang berhak dikongsi oleh para tentera Islam menurut ketetapan yang telah terkandung dalam [ayat 59;6-10]. Rasulullah juga sepanjang hayat baginda telah mengagihkan harta rampasan kepada tentera Islam, tetapi Umar memberi alasan bahawa mengagihkan tanah rampasan akan menyebabkan negara akan kekurangan sumber negara yang penting untuk mengekalkan tentera bagi melindungi wilayahnya.

Pada pandangan penulis contoh-contoh dari tindakan Umar tidak boleh diketepikan sebagai kes yang terpencil yang boleh dibatalkan oleh formulasi usul fekah dan berpendapat Muslim kontemporari berupaya merumuskan semula usul fekah dan berijtihad dalam perkara-perkara yang telah jelas disebutkan di dalam Al-Quran!

Seterusnya bagi pandangan penulis sesebuah negara Islam haruslah meletakkan mahkamah syariah sebagai pemilik autoriti perundangan tertinggi yang bebas dari kawalan politik, namun konsep ini bukanlah seperti konsep sekular yang memisahkan agama dan pentadbiran. Ia adalah membebaskan autoriti agama dari sebarang pengaruh autoriti ketua negara dalam menentukan syariah.

Penulis mengemukakan pandangan ibnu Taimiyah dalam permasalahan konsep negara bangsa. Secara realistiknya beliau percaya dibolehkan lebih dari seorang imam(ketua negara) yang memerintah dalam masa yang sama. Beliau juga berpandangan untuk menjadi ketua negara tidak perlu kepada syarat-syarat yang terlampau ketat, tetapi dengan adanya kerjasama antara ulama dan umara sesiapa sahaja yang adil boleh menjadi ketua negara.

Bagaimanakah posisi non Muslim di dalam perundangan Islam? Sebagai contoh adakah non Muslim dapat dikecualikan daripada hukuman potong tangan sekiranya disabitkan dengan kesalahan mencuri? Sekiranya wujud dua perundangan sivil dan syariah, maka sudah pasti wujud rakyat kelas kedua di dalam sebuah negara. Maka menjadi persoalan yang besar siapakah yang mahu diketogerikan sebagai rakyat kelas kedua setelah mereka adalah rakyat yang sah di sisi perlembagaan negara!

Hudud merupakan penerapan syariah yang paling penting di dalam agenda negara Islam. Maka boleh dikatakan, bukanlah negara Islam sekiranya negara tersebut tidak melaksanakan hudud. Namun di dalam buku ini penulis mempersoalkan adakah hudud dikenakan berdasarkan kepada agama pesalah dengan mengambil contoh Rasulullah pernah melaksanakan hukuman rejam sampai mati ke atas Yahudi Madinah! 

Adakah ini bermakna penguatkuasaan undang-undang jenayah akan bergantung kepada agama pesalah? Berikut merupakan persoalan yang sering dibangkitkan oleh penulis mengenai posisi syariah terhadap wanita dan non muslim.

Wanita
  • Dalam isu kehakiman atau kesaksian, syariah menetapkan saksi kes memerlukan dua orang perempuan dan seorang lelaki.
  • Poligami hanya dibenarkan kepada seorang lelaki dan bukan perempuan. Adakah poligami satu ketetapan syarak yang mudah untuk digunakan sewenang-wenangnya. Lihatlah bagaimana Rasulullah melarang Saidina Ali untuk memadukan Siti Fatimah ketika baginda masih hidup.
  • Apakah penetapan syarak secara tegas terhadap kedudukan wanita di jawatan-jawatan penting di dalam negara seperti kehakiman, menteri, penggubal polisi kerajaan dan lain-lain lagi.
  • Diyat untuk pembunuhan terhadap seorang wanita ditetapkan oleh ulama separuh dari jumlah yang dikenakan terhadap pembunuhan ke atas seorang lelaki.

Non Muslim
  • Apabila seseorang kristian masuk ke dalam Islam tidak dikenakan apa-apa tindakan, tetapi apabila seorang muslim murtad dikenakan hukuman bunuh.
  • Jizyah dikenakan terhadap non Muslim sebagai zakat adalah tidak benar, kerana jizyah adalah sebagai ketundukan dan kerendahan non Muslim kepada kekuasaan Islam. Pandagan lain pula adalah jizyah dikenakan kepada kafir Dzimmi sebagai perlindungan nyawa yang diberikan oleh Muslim kerana mereka dikecualikan daripada menyertai tentera Muslim.
  • Apakah status mereka di dalam penerapan Syariah oleh sesebuah kerajaaan sekiranya mereka ini terdiri daripada minoriti golongan yang besar.
  • Non Muslim tidak dapat menerima rasional keagamaan Muslim(undang-undang syariah) dan tidak akan mendapat faedah daripada undang-undang tersebut.
  • Apakah peranan kerajaan Islam kepada status Non Muslim yang cenderung kepada keamanan.

KESIMPULAN

Membaca penulisan buku ini memberi sedikit sebanyak gambaran tentang bagaimana persepsi masyarakat luar sama ada terdiri daripada Muslim dan Non Muslim terhadap penerapan syariah. Hasil dari pembacaan saya melalui buku ini wujud satu fenomena “Islamofobia” apabila syariah Islam diterapkan secara total di dalam sesebuah negara.

Ini mengakibatkan penulis mengemukakan idea-idea yang tampaknya begitu sekular dan liberal (bagi tanggapan pro-islamist) terhadap isu kesamarataan penerapan syariah terutamanya bagi Non Muslim dan kaum wanita.

No comments:

Post a Comment