Sunday 24 January 2016

Kepada AJK Masjid Permatang Bendahari


Baru-baru ini saya berkesempatan untuk mengikuti Mesyuarat Agung Tahunan Masjid Permatang Bendahari, Penaga, Pulau Pinang. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri mesyuarat agung masjid kampung saya sendiri setelah sekian lama saya mengambil sikap tidak peduli dengan perjalanan pengurusan masjid.

Banyak perkara-perkara yang menyebabkan saya mengambil sikap tidak peduli dengan perjalanan pengurusan masjid. Antaranya sikap tidak mesra pengurusan masjid dengan golongan muda, ditambah pula kehadiran kami di masjid seperti tidak diendahkan walaupun berbelas-belas tahun istiqamah menunaikan solat fardhu berjemaah di sana(mungkin saya pada awal 20an telah mengembara di luar negeri menuntut ilmu), suara anak muda pula boleh diibaratkan sperti “kanak-kanak ribena” dan ada di antara kawan saya dimaki hamun dan di’Syiah’kan oleh pengurusan tertinggi masjid disebabkan menjemput seorang ustaz PAS.

Sebenarnya inilah hakikat institusi masjid yang berlaku di beberapa buah kawasan Malaysia yang menampakkan sikap pengurusan masjid begitu kuno dan jauh sama sekali dengan peranan masjid pada zaman Rasulullah. Mungkin inilah sikap literal orang Melayu di Malaysia.

Akibatnya dengan golongan pengurusan masjid yang pasif dan eksklusif ini menyebabkan mereka lebih banyak menjadi golongan reaktif terhadap isu-isu sensitif agama dan sosial. Misalnya terdapat sebilangan golongan anak-anak muda yang tertarik dengan paderi-paderi kristian, anak muda yang suka merempit di jalanan, anak muda yang terpengaruh dengan gejala syabu dan dadah, anak muda yang suka “bercouple” dan bermacam-macam lagi gejala yang tidak sihat membelenggu anak muda.

Bila timbulnya isu-isu sensitif ini kebanyakan pengurusan masjid akan menjadikan golongan ini sebagai sasaran kritikan terhadap permasalahan yang berlaku dengan menyalahkan golongan anak muda sehinggga dikaitkan dengan keturunan-keturunan mereka.

Saya bukan bermaksud untuk membela golongan anak muda yang bersalah ini kerana secara prinsipnya perkara yang salah itu tetap bersalah dan harus dikenakan hukuman yang setimpal.

Namun persoalan yang perlu ditimbulkan adalah sikap pihak pengurusan masjid yang menjadi institusi paling berpengaruh dalam sesuatu daerah dan kampung tidak banyak melakukan program-program untuk menarik anak-anak muda.

Saya mengambil contoh apa yang berlaku di dalam masjid kampung saya. Seingat saya yang hampir bermastautin 22 tahun di kampung ini, hanya sekali program anak muda yang berjaya dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid pada tahun 1998, iaitu program kem anak soleh. Selepas itu boleh dikatakan masjid kami lengang dari aktiviti untuk mendekatkan anak muda. Kuliah mingguan pula hampir 10 tahun tidak aktif hinggalah datang pada awal tahun 2008.

Berbalik pada cerita mesyuarat agung pula kedatangan saya hanya sebagai “pemerhati bisu.” Walaupun dalam hati saya dengan darah anak muda yang membuak-buak ini kalau diusik pastinya akan meletus untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati berbelas-belas tahun.

Yang menjadi pengurusan tertinggi pula adalah mereka-mereka yang sudahpun melewati umur senggang. Kelibat anak muda yang berumur bawah 40an sukar untuk dilihat apatah lagi untuk dilantik menjadi ahli jawatankuasa masjid, memang jauh sama sekali. Apa mereka tidak fikir, apa akan jadi di masjid suatu hari nanti selepas ketiadaan mereka?

Perkara yang terbuku inilah menyebabkan saya mencari medium blog untuk diluahkan di sini dengan harapan supaya ada di antara anak qariah masjid kampung saya suatu hari nanti mungkin terbaca penulisan ini untuk dikongsikan kepada pengurusan masjid.

Saya tidak mahu mengheret pengurusan masjid memikirkan perkara-perkara yang terlampau kritis dan kritikal. Apa yang saya harapkan agar mereka dapat melakukan dua perkara ini dalam tempoh tiga tahun mereka menjadi pengurusan masjid.

Pertama saya mohon kepada mereka supaya hidupkan kembali program-program yang boleh menarik anak muda seperti kem anak soleh, kem ibadah dan seumpama dengannya. Bagi saya program ini amatlah berbekas kepada golongan muda kerana di situ mereka boleh berkumpul dan bermain bersama-sama.

Pada masa yang sama pihak pengurusan boleh memasukkan program-program agama seperti cara solat jenazah, cara semebelihan haiwan ternakan, tayamum, membetulkan bacaan Al-Fatihah dan lain-lain.

Selain itu pihak pengurusan juga boleh membuat program karnival belia sukan untuk menarik golongan anak muda, seperti pertandingan futsal, badminton, sepak takraw dan lain-lain lagi. Saya percaya sekiranya perkara ini dapat dilakukan, memang anak muda begitu berbesar hati untuk mendekatkan diri dengan masjid. Percayalah!

Keduanya saya amat mengharapkan pihak pengurusan masjid mewujudkan satu komunikasi elektronik seperti facebook atau whatsapp untuk sebarang hebahan program atau kuliah mingguan masjid. Setakat ini sama ada saya sedar atau tidak, memang tidak wujud komunikasi elektronik ini. Hebahan yang ada adalah melalui hebahan di waktu solat jumaat dan di white board sahaja. Sudah tiba masanya pihak pengurusan untuk memikirkan kaedah yang lebih efisyen untuk mewawarkan segala aktivit masjid agar tidak orang yanag sama sahaja hadir, itupun kebanyakannya warga emas yang menunggu hari!

Akhirnya, saya mengharapkan supaya pihak pengurusan masjid menjadi golongan yang proaktif dan inklusif dalam menetapkan aktiviti-aktiviti masjid. Pendekatan menghukum itu lebih baik sekiranya disusuli dengan pendekatan-pendekatan yang mampu mencegahnya terlebih dahulu kerana “kita pendakwah dan bukan penghukum.”

Wallahu’alam
Mohd Faizal Ahmad
Anak Qariah Masjid Permatang Bendahari, Penaga Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment