Tuesday 15 December 2015

Bagaimana Dengan Usaha Yang Gagal


Ibrahim berkata: "Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat." (Surah Al-Hijr : 56)

Ayat di atas merupakan ayat yang sentiasa menggalakkan umat Islam agar terus berusaha untuk mencapai cita-cita mereka sama ada dalam usaha untuk mencari rezeki, uasaha untuk mengubati penyakit, usaha untuk mengembangkan perniagaan, usaha untuk sentiasa bertaubat dan lain-lain lagi.

Itu adalah teori asasnya seseorang Islam hidup di atas muka bumi ini. Namun apabila kita berada di dalam dunia realiti ini mahu tidak mahu kita akan dambakan hasil terhadap apa yang telah diusahakan dan sekiranya gagal untuk meraih hasil usaha tersebut maka kita akan mengalami kekecewaan sama ada sedikit atau banyak.

Dalam melayari realiti ini terkadang kita akan meletakkan emosi, keperluan dan kehendak kita pada kedudukan yang tinggi berbanding dengan teori asas dalam ayat Al-Quran di atas. Atas nama manusia kita tidak dapat lari daripada falasi ini.

Cuba kita perhatikan sejenak di dalam persekitaran masyarakat kita, misalnya orang yang berharta dan berkedudukan akan di pandang tinggi oleh masyarakat berbanding dengan mereka yang tidak ada apa-apa elemen tersebut. Kita tidak perlu menipu dalam menggapi realiti ini bukan!

Maka di atas rumpun Melayu ini, lalu masyarakat akan didatangkan hujah agama kepada individu yang berharta dan berkedudukan sebagai tanda hormat seperti hidupnya sentiasa berkat, Allah telah merahmati beliau dan bertambah perit apabila kasih sayang manusia yang berlebihan dan seakan-akan berat sebelah terhadap dua golongan ini. Mungkin mereka mendapat manafaat yang banyak daripada golongan yang berkedudukan dan berharta daripada golongan miskin.

Saya bukanlah bermaksud skeptikal terhadap golongan yang kaya ini dengan cuba membawa persepsi buruk terhadap mereka. Ingin saya nyatakan di sini contoh yang saya bawakan seperti golongan kaya dan miskin terdiri daripada dua golongan iaitu mereka yang rendah diri dan ego. Bahasa mudah golongan kaya ada yang ego dan rendah diri dan golongan yang miskin juga ada yang ego dan rendah diri.

Masyarakat mungkin ringan mulut mengaitkan golongan yang kaya dengan rezeki yang berkat, usaha yang gigih, baik hati dan lain-lain.Tetapi bagaimana pula dengan golongan miskin? Tambah pula mereka ini bukanlah golongan yang tidak rajin, bukanlah pemalas, bukan tidak pandai, tetapi mereka telah berusaha dan hasilnya tidaklah seberapa. Apatah lagi golongan ini diuji dengan kesihatan hingga menyebabkan kesukaran bagi mereka untuk mencari pendapatan.

Dua golongan ini sering dijadikan perbandingan masyarakat. Sudah pasti secara teori dan praktikalnya miskin akan kalah dan golongan kaya pula akan menang. Kasih sayang masyarakat akan lebih kepada golongan kaya, dan ia terbawa-bawa di dalam sesebuah keluarga.

Abang yang baik dan kaya lebih disenangi oleh si ayah berbanding adik yang baik dan miskin. Maklumlah adik yang miskin tidak mampu sangat untuk memberi apa-apa kepada si ayah berbanding dengan abang yang kaya.

Benar hakikatnya Islam telah menyatakan keadilan kasih sayang tidak dituntut di dalam soal hati tetapi keadilan dituntut apabila berkaitan dengan perkara luaran iaitu berupa percakapan, pemberian material dan lain-lain lagi.

Ternyata bukan realitinya manusia akan memandang keadaan luaran seseorang untuk memberikan rasa hormat mereka. Islam telah menunjukkan bahawa golongan yang beriman atau diberkati hidupnya bukanlah hanya terdiri daripada golongan yang kaya raya sahaja tetapi terdapat juga golongan yang miskin. Lihatlah para sahabat nabi sendiri seperti Abdul Rahman Bin Auf yang begitu kaya raya dan golongan miskin seperti Bilal Bin Rabbah. Perkara sama juga terpakai kepada mereka-mereka yang kufur.

Kita mengagumi kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Kota Constantinopel pada usia pemudanya. Kita mengkaji dan membaca strategi-strategi beliau semasa menawan kota tersebut dan menceritakan kepada generasi kita sekarang agar mengikut jejak langkah beliau.

Namun disebalik kegaguman kita terhadap kejayaan baginda, kita tidak tahu atau tidak ambil peduli selepas penaklukan kota tersebut, Sultan Muhammad Al-Fateh mengalami kekalahan dalam siri-siri peperangan baginda dan adakalnya baginda cedera teruk.

Islam hanya nampak di pandangan kita adalah perkarta-perkara yang indah sahaja seperti kejayaan dalam peperangan, kekayaan, kedudukan dan lain-lain. Namun kalau tidak bukan perkara yang tidak indah seperti kegagalan atau kemiskinan apa pula persepsi kita?

Persoalan pokok yang perlu kita fahamai adakah seseorang itu miskin atau kurang cemerlang di dalam akademiknya secara mudahnya kita akan mendakwa bahawa mereka itu pemalas? Mungkin sesetengahnya benar dan sesetenaghnya tidak benar. Ini pertimbangan logik seorang yang berilmu.

Begitu juga dalam hal-hal lain sekalipun. Soal iman dan kufur adalah dua perkara yang berbeza. Dua kelompok ini terdiri daripada yang kaya dan miskin, berkedudukan atau rakyat terhina dan bermacam-macam lagi. Namun sesetengah orang terlampau obses bila membawakan sesuatu kisah yang berkaitan dengan dua golongan ini.

Apabila mereka skeptikal dengan golongan kaya, mereka akan bawakan contoh golongan miskin yang baik-baik, zuhud dan lain-lain. Sesetengahnya pula skeptikal dengan golongan miskin lantas membawa contoh-contoh golongan kaya yang baik-baik, dermawan dan lain-lain. Malah bertambah buruk semuanya dikaitakan dengan sentimen islam dengan tidak adil sekali!

Ada orang yang bersolat penuh ditambah dengan solat sunat apabila berusaha dia gagal, malah jatuh miskin dan sakit. Yang tidak bersolat pula dia bertambah kaya, berjaya dan sihat wal-afiat!

Namun ada juga orang yang bersolat penuh ditambah dengan solat sunat apabila berusaha dia bertambah kaya, berjaya dan sihat wal-afiat. Yang tidak bersolat pula apabila berusaha dia gagal, malah jatuh miskin dan sakit! Memang wujud realiti kehidupan dua keadaan seperti ini.

Cuba kita bayangkan sewaktu ketika dahulu di bangku sekolah guru-guru selalu berpesan kepada kita siapa yang solat akan dimurahkan rezeki, bertambah kaya, sihat wal-afiat dan lain-lain. Namun apabila berada di dalam dunia yang sebenar, siapa yang paling kaya ,muslim atau non muslim? Kita boleh lihat beratus-ratus orang yang terkaya di dalam dunia ini adalah daripada non muslim?

Bila realitinya begini maka didatangkan hujah agama bahawa dunia adalah syurga bagi non muslim. Apa sudah jadi dengan masyarakat Islam kalau semua perkara menggunakan hujah agama untuk mencandukan umatnya sendiri. Saya nasihatkan berhentilah daripada tabiat buruk ini!

Asasnya dalam kerumitan ini hendaklah kita sebagai manusia hanyalah berusaha dan terus berusaha. Mungkin kita boleh tetapkan satu prinsip usaha tidak menjamin kejayaan atau kegagalan. Tugas kita adalah berusaha dan manusia bukan Tuhan untuk menentukan hasil usaha mereka.

Biarpun persepsi masyarakat sukar untuk dielak mahupun diubah maka biarkanlah proses itu berlalu secara evolusi atau revolusi. Mungkin kita cuba memupuk budaya kemanisan sepanjang usaha kita terhadap sesuatu perkara. Dengan itu kita akan terus bekerja dan bekerja di samping mengharapkan pergantungan usaha ini terhadap Allah biarpun hasilnya  gagal atau berjaya!

No comments:

Post a Comment