Wednesday, 30 July 2014

Untukmu Sebuah Syawal

Meraikan hari kedua syawal di rumah rakan sekerja penulis, Jubail Saudi Arabia
Syawal mendatang dengan penuh rasa kesyukuran setelah kita berjaya mengharungi tarbiah Ramadhan dengan diiringi lapar dan dahaga, mendirikan solat sunat tarrawikh, berjaya mengawal kesabaran dan rasa marah, menghidupkan tadarus, memperbanyakkan sedekah, hinggakan bulan yang mulia ini adalah bulan khas untuk kita memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah.

Selepas ramadhan kita akan didatangkan segala ujian dan cabaran hidup, bermulanya dalam diri kita sendiri apabila mula berhadapan dengan dua musuh iaitu syaitan dan nafsu yang sentiasa mengajak kita ke arah kejahatan.

Kita pula akan mengharungi masalah-masalah dalam rumah tangga yang sentiasa memerlukan kebijaksanaan dan hikmah setiap pasangan untuk menyelesaikannya. Selain itu masalah umah atau masyarakat yang turut membabitkan diri kita sendiri untuk sentiasa memikirkan dan mencari maklumat yang betul. Andai salah, kita akan terpesong dan jauh dari kebenaran.


Cabaran hidup ini turut dipanjangkan sehingga ke alam kerjaya. Ada di kalangan rakan-rakan sekerja kita terasa cemburu dengan apa yang dimiliki kita. Dalam kerjaya pula, kita akan sentiasa memikirkan soal kecemerlangan untuk memperolehi nikmat kehidupan yang terbaik. Tetapi ia bukan mudah, kita terpaksa menempuh caci maki, iri hati, malah memakan masa bertahun-tahun untuk memilikinya, sampaikan ada kalanya kita kekurangan masa bersama anak dan isteri.

Tidak cukup dengan itu,  kebobrokan politk yang melanda negara turut menjadikan kita  sebagai pemain kepada politikus. Lihat sahaja isu pertukaran MB Selangor, dari awal tahun hingga sekarang tidak habis-habis menjadi perbincangan hangat.

Saya sangat mengikuti perkembangan dalam negara walaupun tinggal berjauhan dengan negara. Sebab semangat cintakan negara dan ingin melihat Malaysia lebih maju dan aman di samping Islam sebagai asas kepada keharmonian dan kemajuan negara.

Tapi di Malaysia tidak seperti apa yang saya fikirkan, di atas sentimen agama kita makin berpecah belah, agama dijadikan bahan lawak dan jenaka dek kerana perbuatan penganutnya sendiri


Kadang-kadang saya terfikir atas hujah yang kuat apakah Tan Sri Khalid ingin ditukar. Soal isu SYABAS dan Kidex yang tidak menguntungkan pakatan rakyat dan memberi peluang kepada kroni UMNO untuk memperoleh habuan daripada projek tersebut menjadi mainan politik supaya MB Selangor ditukar.

Akhirnya ia mengheret Dr Zuhdi menjadi kambing hitam dalam permainan MB Selangor, daripda PKR menjadi subjek utama yang perlu diselesaikan masalah dalaman parti terlebih dahulu, akhirnya PAS pula menjadi pelakon utama menggantikan PKR.

Ya saya merupakan ahli PAS, dan pernah menjadi ketua pemuda cawangan Taman Cempaka, Melaka, dan saya juga ada sentimen untuk mempertahankan parti saya apabila dikambingkan hitamkan seperti ini.

Daripada presiden sampailah ke peringkat ahli bawahan, dijadikan bahan fitnah. Ada masanya ahli PAS sendiri turut membangkitkan fitnah yang sedang tidur, hinggakan akhlak dalam iktilaf(perbezaan pandangan) tidak dijaga hingga mewujudkan sifat keakuan dalam diri yang melampau. Bukan itu sahaja dek kerana sifat keakuan ini mesej dalaman group whatsapp pun dibocorkan.

Kadang-kadang juga terasa malu buat saya untuk mengakui sebagai ahli PAS, setelah saya cuba melakukan sekadar yang termampu menjadi juru cakap kepada kawan-kawan tentang imej dan pembawaan PAS yang bertunjangkan islam sebagai cara hidup yang syumul.

Namun apa yang berlaku ini mungkin ada hikmahnya yang tersembunyi. Seperti apa yang saya katakan ia merupakan ujian hidup daripada Allah untuk kita tempuhinya. Sebaik-baik jalan untuk menempuhinya adalah dengan mendekatkan diri kepada Allah dan mencari teman-teman yang juga mampu membawa kita dekat kepada Allah agar jalan yang kita tempuhi itu adalah jalan yang benar jauh daripada jalan-jalan syaitan.

Semoga Allah menerima akan segala amalan dan ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN. -Ikhlas daripada Mohd Faizal Ahmad, Jubail Saudi Arabia-


No comments:

Post a Comment