Perjuangan kepada isu "Free Education" merupakan usaha murni yang harus diberi sokongan oleh semua lapisan masyarakat.
"Buat apa ambil tahu isu PTPTN, nanti dapat kerja, pandai-pandailah mahasiswa bayar...! Pandai pinjam pandailah bayar...! Berdosa tahu kalau kita pinjam duit tapi tak mahu bayar, tergantung pahala mati syahid..!"
Mungkin usaha ke arah pemansuhan PTPTN mahupun perjuangan pendidikan percuma tidak semudah dilakukan biarpun negara Malaysia bakal diambil alih oleh Pakatan Rakyat.
Cuma berapai ramai di antara kita mengambil tahu tentang pendidikan percuma yang diperjuangkan oleh mahasiswa harus menjadi tanda tanya yang besar di sini? "Sesiapa tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukan dari kalangan mereka."
Saya sudah hampir 5 tahun mendapat biasiswa untuk menampung kos sara hidup dan pengajian, Alhamdulillah. Mungkin mereka yang dominan untuk memperjuangkan pendidikan percuma ini daripada kalangan peminjam PTPTN.
Mereka lebih merasakan tentang kepentingan pendidikan percuma, seperti mereka yang menikmati buah tembikai, merekalah yang lebih menikmati kelazatan buah tersebut, amat sukar untuk menceritakan kesedapan buah tersebut melainkan kita sendiri yang merasanya.
Siapa kata dengan pendidikan percuma kita tidak mampu bersaing dan mempertingkatkan kadar kualiti ilmu di instutusi pengajian tinggi di dalam tempatan mahupun luar negara?
Kebanyakan pelajar-pelajar yang mendapat tajaan pendikan adalah daripada kalangan yang mendapat keputusan pendidikan yang tinggi semasa peperiksaan, sampai sekarang walaupun mendapat tajaan bertahun-tahun, mereka masih mampu untuk mengekalkan prestasi akademik mereka.
Sewaktu kecil dahulu saya pernah belajar mengaji Al-Quran, setiap hari saya belajar daripda guru saya dengan bayaran hanya RM10.00 sahaja setiap bulan, hingga mewakili sekolah saya dalam pertandingan Hafiz sekolah. Bandingkan dengan sekarang, RM 50.00 setiap minggu bayaran yang selalu diberi kepada guru untuk mengajar Al-Quran kepada anak-anak.
Walaupun dengan pendidikan yang mengenakan bayaran yang rendah, dapat juga saya menghabiskan belajar Al-Quran dalam umur 11 tahun, tahu juga hukum-hukum tajwid dalam Al-Quran.
Mahasiswa bukan menuntut pemansuhan PTPTN, tetapi mereka meminta supaya kerajaan Barisan Nasional membayar hutang pinjaman mereka dengan menyediakan pendidikan percuma mahupun subsidi yang lebih terhadap pendidikan.
Mereka juga menuntut supaya sistem 1% atau 3% caj yang dikenakan oleh PTPTN kepada peminjam PTPTN dijernihkan semula. Keputusan (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337) mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman.
Mahasiswa terkejut mengapa nilai rasuah sebanyak 28 billion setiap tahun yang dikeluarkan oleh ketua audit negara melebihi jumlah hutang PTPTN secara keseluruhan iaitu 24.7 billion.
Mahasiswa lebih hairan mengapa kerajaan 'Barisan Nasional' dengan mudah melupuskan hutang 58.9 billion Dato' Tajuddin Ramli sedangkan ramai mahasiswa terpaksa menanggung hutang pinjaman PTPTN yang entah bila mereka boleh langsaikan hutang tersebut.
Berapa ramai di antara kita yang peduli berapakah nilai pinjaman hutang yang perlu dibayar mereka, sedangkan apabila mereka sudah habis belajar sudah tentu mereka mempunyai komitmen yang lebih tinggi seperti tuntutan kahwin, makan minum, rumah, kereta, haji, sakit, insurans, anak-anak dan sebagainya.
Dengan hutang seperti ini menyebabkan pelajar akan menangggung bebanan kehidupan dan menyebabkan mereka bekerja untuk membayar hutang terhadap pendidikan, sedangkan pendidikan merupakan kewajipan asas yang perlu disediakan oleh kerajaan kepada rakyat.
Jika kita sebagai rakyat hanya menganggap isu perjuangan pendidikan percuma sebagai perkara yang sia-sia, ketahuilah kelak kita mempunyai tanggungan seperti anak-anak atau saudara mara, dan suatu nanti kita akan tahu keperitan menanggung mereka hingga kita terpaksa membatalkan niat untuk menghantar anak-anak atau saudara mara ke Universiti kerana tiada upaya untuk membiayai pengajian di universiti disebabkan sentiasa menanggung hutang...?
Jadilah rakyat yang sedikit peduli tentang pendidikan percuma walaupun kita bukan "siapa-siapa.."
No comments:
Post a Comment