Friday 8 November 2013

Besarnya sebuah harapan Pemuda PAS itu.?

Kepada penggemar politik tanah air pastinya mereka akan menumpukan pula perhatian kepada muktamar PAS Pusat dan dewan pemuda PAS pusat yang bakal berlangsung pada hujung bulan November 2013.

Pastinya mereka akan memberikan perhatian kepada ketokohan-ketokohan individu yang bakal memimpin PAS untuk memayungi lanskap politik negara pada masa akan datang memandangkan, PAS setakat ini mempunyai jentera dan organisasi yang sistematik dan sentiasa konsisten dalam melakukan gerak kerja parti dalam pakatan rakyat.

Ramai yang sudah tahu PAS berkemungkinan besar bakal memperoleh ketua dan timbalan pemuda yang baru apabila YB Nasrudin Hasan Tantawi dan timbalannya YB Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz tidak lagi akan mempertahankan jawatan penting dewan tersebut.

Sudah pasti ramai yang dapat menjangkakan jawatan untuk ketua pemuda bakal diisi sama ada Suhaizan Kait, Kamaruzzaman Mohammad, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-His, Dr Riduan Mohd Nor atau Zulhazmi Zakaria.

Inilah bakal ketua pemuda PAS yang bakal berpencak dalam arena politik anak muda bersama ketua pemuda UMNO YB Khairy Jamaluddin, Ketua Angkatan Muda Keadilan YB Shamsul Iskandar dan juga YB Rafizi Ramli. 

Saya tidak mahu mengajak para pembaca untuk membahaskan kelima-lima pencalonan ketua pemuda PAS, tetapi saya hanya ingin berkongsi besarnya harapan selaku ahli dan penyokong kepada Pemuda PAS untuk sama-sama menggerakkan cita-cita dewan pemuda PAS.

Idea dan keterbukaan selaku pemuda PAS

Selaku pemuda PAS seharusnya kita mempunyai kerangka pemikiran yang positif terhadap idea dan perkara-perkara yang baru.

Sebagai contoh, label-melabel seperti ulama(agamawan) dan erdogan(profesional) merupakan serpihahan kecil permasalahan dalam PAS yang harus ditangani dengan baik.

Sentimen ini seakan-akan tidak realistik untuk kita menafikannya, kerana di peringkat akar umbi peyokong PAS sering bermain dengan sentimen ini menyebabkan wujudnya keobsesan mewakili puak masing-masing.

Seolah-olah seperti mahu mencari kumpulan manakah yang mempunyai fikrah yang betul dalam perjuangan. Saya beranggapan masing-masing sayangkan agama dan parti apabila menghadirkan diri dalam PAS, cumanya kita hanya berbeda dari segi pembawakan.

Ia perlu diraikan tetapi bukan beranggapan bahawa idea kita sahajalah yang betul, dan lain daripada kita adalah salah. Bagi saya sekiranya seseorang itu bukan munafiq dan mempunyai ciri-ciri al-qawiy dan al-amin, maka individu tersebut berhak untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti hatta jawatan presiden PAS pun boleh dipegang oleh individu yang bukan daripada golongan agamawan.

Cuma perbahasan dari sudut pengalaman-pengalaman kepimpinan, komitmen dalam parti dan dari sudut ilmu dan pengetahuan politik menjadi kayu ukur untuk memilih pemimpin selari dengan apa yang berlaku pada pemilihan Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman dan lain-lain lagi.

Kepimpinan islam sekarang bukan kepimpinan nubuah yang Allah sudah mentakdirkan nabi untuk menjadi pemimpin, tetapi zaman ini adalah zaman kepimpinan yang mana Allah meletakkan keizinan Allah bagi manusia untuk memilih pemimpin mereka.

Begitu juga sikap kita selaku pemuda PAS sentiasa harus bersedia dengan sebarang idea yang di luar dari pemikiran parti kita sebagai kritikan yang membina untuk menaikkan parti.

Ada yang bertanya mana pergi mereka-mereka yang hebat sewaktu zaman belajar di kampus sama ada di dalam negara atau di luar negara yang sewaktu itu mereka menggerakkan agenda harakah PAS tidak ditonjolkan dalam dewan pemuda PAS sehingga ada di antara mereka mencari alternatif lain untuk mencapai matlamat islami seperti menyertai NGO-NGO, pendakwah bebas dan lain-lain.

Mungkin mereka ini apabila usai pembelajaran ingin memberi perhatian dahulu kepada kerjaya, keluraga atau mungkin mereka merasakan wadah PAS terlalu sukar untuk mereka bergerak atau mungkin juga keserasian di antara kepimpinan dewan pemuda dan dengan mereka sendiri tidak begitu "berkehendak" menyebabkan mereka memilih jalan sendiri.

Saya selalu inginkan tokoh-tokoh seperti Dr Asri Zanul Abidin, Ustaz Hasrizal Abd Jamil, Ustaz Ramadhan Fitri, dan pelbagai lagi ketokohan anak muda harus diguna pakai oleh pemuda PAS dalam kerangka idea dan perlaksanaan.

Mungkin kehendak saya ini tidak berasas disebabkan saya tidak tahu disebalik perkara yang sebenar terjadi terhadap penolakan dan penerimaan seseorang tersebut dalam dewan pemuda PAS.

Pastinya inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh dewan pemuda PAS pada masa akan datang apabila berhadapan dengan keterbukaan yang dinamik tetapi berprinsip di dalam menerima individu untuk dijadikan pendokong parti.

Janganlah hanya berbeza pandangan terus dikatakan individu itu parasit dan mahu melawan ulama.

Lengkapkan diri pemuda PAS pada pengetahuan dan kemahiran yang bukan agama.

Agama adalah suatu ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap muslim. Perkembangan yang baik apabila seseorang itu mahu mendekati atau menjadi ahli PAS, mereka akan memahami dan mendalami ilmu agama seperti hadis, fekah, tauhid, tafsir dan lain-lain.

Cuma apa yang saya khuatirkan apabila kita hanya menumpu ilmu agama ini sehingga menjadikannya mendalam dan sukar difahami dan dipraktikkan.
Dan bertambah parah lagi apabila kita hanya memandang ilmu-ilmu seperti hadis, tafsir, fekah dan seumpama dengannya adalah ilmu agama dan bukan agama seperti matematik dan sains.

Saya melihat anak muda PAS seperti saya perlu mahir dalam bidang yang bukan agama untuk menjadikan kita mahir untuk digunakan bagi kemenangan islam. 

Sewaktu saya belajar di UKM dalam bidang kejuruteraan, saya sering bermain dengan polimik "apa yang aku belajar ni, untuk exam atau untuk ilmu."

Persoalan sebeginilah menjadi kelemahan buat saya sehingga tidak memperoleh keputusan yang memberangsakangkan semasa peperiksaan.

Cuma stelah usai saya menamatkan pelajaran dan melangkah ke alam pekerjaan dan perkahwinan, baru saya mengerti tentang apa yang selalu saya persoalkan mengenai peperiksaan dan pembelajaran saya di kampus.

Apa salahnya kita belajar untuk peperiksaan kerana akhirnya kita akan memiliki segulung jenazah dan menjadi tiket buat kita untuk mendapat mana-mana pekerjaan.

Untuk apa pekerjaan itu.?Pastinya kita ingin mecari nafkah untuk keluarga dan ummah. Dengan duit yang kita ada boleh menyara keluarga membeli rumah, kereta dan slebihnya duit itu boleh diinfakkan untuk parti atau ummah.

Maka walaupun niat kita sewaktu belajar bukan secara total untuk ilmu kerana disebabkan cara pembelajaran di Malaysia ini adalah bersifat "exam oriented",
tetapi kita masih mampu menjadikan pembelajaran kita adalah untuk mendapatkan pekerjaan bagi mencari nafkah buat keluarga dan umah.

Jadi saya beranggapan bahawa perkara ini juga merupakan jihad dan pengorbanan dan masih dikira amal islami. Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah, pemuda PAS haruslah menterjemahkan diri mereka dalam parti mengikut kemahiran ilmu atau kemahiran yang mereka ada dan bukannya menterjemahkan diri mereka sebagai seorang ustaz atau tok lebai bila menajdi ahli PAS.

Pemuda PAS haruslah menterjemahkan diri mereka sebagai seorang yang beragama dan bukannya menjadi ustaz jadi-jadian. Saya mengkhuatiri jika PAS terlibat di dalam konflik identiti kepimpinan yang terlalu lama, sekaligus menjadikan agama itu rumit dan sempit, tidak seperti PKR atau UMNO yang tidak menjadikan sentimen keustazan sebagai pemimpin.Jadi, orang awam dengan mudah akan membuat kesimplan bahawa agama sebagai alat perpecahan manusia.

Ya, kita tahu UMNO memang mempunyai masalah yang teruk dalam soal intrigiti dan pembawaan parti untuk membela rakyat, tetapi mereka tidak terlibat dalam permasalahan agama untuk menjadi presiden atau ketua parti. Walaupun isu sebaliknya adalah mereka menggunakan politik wang untuk menjadi ketua mana-mana jawatan dalam parti.

Kesimpulannya, pemuda PAS tidak dapat lari daripada membawa imej agama dalam parti kerana PAS mampu menterjemahkan agama dalam kehidupan meliputi ibadat dan kehidupan sosial. 

Sudah lama kita rakyat muslim Malaysia hidup di bawah pemerintahan yang menjadikan hidup muslim jauh dari kehidupan agama, dan dengan asakan putaran hidup yang meningkatnya masalah sosial menjadikan PAS sebagai alternatif kepada penyelesaian masalah ini dan harapnya generasi pemudalah yang membawa kepada kemenangan PAS pada masa mendatang. 

~Takbir~




















No comments:

Post a Comment