Friday 18 October 2013

Benarkah Aku Berada di Bumi Madinah

Penulis berada di depan pintu King Masjid Nabawi

Dahulunya Madinah dikenali dengan "Yathrib", yakni suatu kawasan yang penduduknya hidup dalam kegelapan, kejahilan dan penuh dengan peperangan, terutamanya perbalahan suku Aus dan khazraj yang didalangi oleh provokator yahudi.

Yathrib akhirnya bertukar menajdi Madinah Al-Munawwarah, menjadi permulaan yang baik untuk agama Islam bertapak dan meluaskan pengaruhnya sehingga memayungi 2/3 dunia.


Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Masjid Nabawi, Madinah pada 14.10.2013 apabila bersama-sama dengan 11 orang pekerja Saudi K-Kem untuk menyambut hari raya Aidil Adha di sini yang mengambil masa lebih kurang 13 jam perjalanan daripada Jubail ke Madinah menggunakan pathfinder pacuan empat roda.

Ini merupakan pengalaman pertama saya meyambut raya Aidil Adha di negara orang biarpun terpaksa meninggalkan seketika memoir saya di Malaysia, tetapi ia tetap merupakan lipatan pengalaman kehidupan yang cukup bermakna.

Hanya lebih kurang seminggu mencecah kaki di negara Saudi ini, saya telah berkesempatan untuk menunaikan ibadah di sini walaupun tujuan saya datang di sini adalah untuk membina kerjaya sebagai NDT engineer oil and gas dan perlu menghabiskan tiga sijil penting dalam tempoh tiga tahun seperti API 510, API 653, dan MERIDIUM, tidak menjadi penghalang buat saya untuk mencari peluang menjijakkan kaki di bumi Madinah ini.

Sudah menjadi impian seorang muslim untuk sampai ke bumi Madinah ini bagi menunaikan ibadat di masjid nabawi yang dikurniakan 50 000 pahala ibadat setiap kali solat di samping dapat menunaikan ibadah di Raudah dan melihat sendiri makam nabi Muhammad s.a.w, Abu Bakar dan Umar di dalam masjid tersebut.


Raudhah tempat di mana nabi menyampaikan ilmu dan berkongsi ilmu dengan para sahabat. Di mana ada majlis ilmu di situlah taman-taman syurga, tetapi Raudhah mempunyai kelebihan yang tersendiri disebabkan berada di dalam masjid nabawi. Tiada upacara-upacara pelik yang perlu dilakukan di tempat ini. Kawsan Raudhah tidak begitu besar dan begitu ramai orang yang mahu menunaikan ibadat di sini, sekiranya kita mahu menunaikan ibadah di sini, cepat-cepat cari peluang dan segera meninggalkan tempat ini untuk memberi peluang kepada orang lain pula untuk menunaikan ibadat di Raudhah.


Makam nabi terletak bersebelahan dengan Raudhah, terdapat tiga pintu di makam ini, pintu yang tengah merupakan makam nabi, Abu Bakar dan Umar. Tidak perlu rasanya berdoa untuk memohon hajat di makam ini, cukup hanya sampaikan salam kita kepada mereka di makam ini.

Mungkin kita tertanya-tanya, beruntunglah mereka yang tinggal di Madinah kerana sentiasa dapat beribadat dengan ribuan pahala yang diperoleh walaupun hanya beriktikaf sahaja.

Memang tidak dapat dinafikan mereka ini memang untung, tetapi pandangan saya agama bukan semata-mata diturunkan untuk ibadat di dalam masjid nabawi sahaja sehingga tidak mengendahkan kemelut sosial yang berlaku di negara umat islam yang semakin hari hilang kegemilangan islam sewaktu ketika dahulu. Perkara ini amat dicela oleh nabi kita.

Lihat apa yang berlaku di Saudi sendiri, komitmen penduduk arab terhadap ibadat sangat tinggi, ada kalanya mulut mereka sentiasa berkumat-kamit dengan zikir dan bacaan Al-Quran, tetapi malas untuk bekerja, seperti sentiasa lambat datang ke tempat kerja, lambat dalam urusan pengurusan kerana masa bekerja digunakan untuk bermain internet, membuat kopi, brsembang dan lain-lain. Pendek kata mereka ini lambat serba serbi.

Walaupun bukan semua warga arab berkelakuan seperti itu, tetapi majorinya menggambarkan suasana keadaan di negara ini. Sebab itu tidak hairan arab merupakan sekutu besar Amerika Syarikat, walaupun di negara mereka adanya Mekah dan Madinah.


Berkesempatan berada di masjid Quba (masjid pertama yang dibina nabi sewaktu baginda berhijrah ke Madinah). Masjid Quba tidak berapa jauh dengan masjid Nabawi. Sekiranya kita siap berwudu menuju masjid ini dan disusuli pula dengan satu solat ia bersamaan dengan satu pahala umrah. Apabila berada di sini sila berhati-hati dengan kanak-kanak yang paksa beli barang-barang seperti biji tasbih, ayat-ayat al-quran, dan lain-lain kerana mereka ini mungkin didalangi oleh sindiket yang mempergunakan kanak-kanak sama seperti Malaysia.



Nabi selalu menziarahi Masjid Quba setiap hari Sabtu.
Penulis berada di atas bukit memanah. Bukit memanah merupakan kawasan tentera memanah ditempatkan semasa Perang Uhud. Bukit ini tidak terlalu tinggi dan luas, dan diberitakan hanya lebih kurang 50 orang sahaja pasukan pemanah ditempatkan di sini. Peperangan ini pada mulanya dimenangi oleh tentera Islam, cuma disebabkan oleh kebanyakan pasukan pemanah agak teruja melihat harta ghanimah dan melupakan pesan nabi supaya tetap berada di atas bukit ini walaupun apa yang terjadi, akhirnya tentera Islam tewas di bawah tentera taktikal hebat mereka Khalid Al-Walid yang pada ketika itu belum memasuki islam. Dalam peperangan ini gugurnya Saidina Hamzah bapa saudara dan rakan sepermainan nabi, dan beberapa orang sahabat lagi. Makam mereka ini berada berdekatan dengan kawasan bukit ini. Peperangan ini juga telah mencedarakan rasulullah, apabila ggi baginda berdarah terkena baju besi berantai. Bukit di belakang penulis adalah Bukit Uhud, sangat tinggi dan luas.
Penulis berada di depan pintu perkuburan Baqi', tetapi malangnya saya tidak berkesempatan untuk menziarahi perkuburan ini disebabkan waktu ziarah sudah habis. Buat pembaca waktu ziarah adalah serta merta selepas subuh, sehingga lebih kurang pukul 8 pagi, dan selepas asar pulul 4 petang sehingga sebelum maghrib lebih kurang pukul 5.30 malam. Atau dibolehkan masuk di perkuburan ini sekiranya kita bersama-sama untuk menyusung jenazah walaupun di luar waktu ziarah. Digalakkan untuk menzirahi di tanah perkuburan ini, kerana begitu banyak para syuhada bersemadi di perkuburan ini. Perkuburan Baqi' terletak berhampiran dengan kawasan Masjid Nabawi.


Suasana sayu menyambut Hari Raya Aidil Adha di Masjid Nabawi, pengalaman pertama beraya di negara orang.




ARC di masjid Nabawi

Sempat bermesra dengan unta. Sesiapa yang berkesempatan datang ke ladang unta di Bukit Magnet, cubalah rasa susu unta. Harganya 5 rial untuk satu cawan.

Walaupun di Saudi bermazhab Wahabi, suatu mazhab yang dikatakan rigid berpegang dengan amalan agama, cuma saya tertarik di Masjid ini, kerana konsepnya begitu mesra(merakyat) jemaah. Tetamu yang hadir bebas melakukan aktiviti yang bermanafaat seperti berkelah di dataran masjid, kanak-kanak boleh bermain basikal, bola, skate board dan lain-lain. Suasana yang sangat berbeza dengan masjid-masjid utama negara.
Demikianlah pengembaraan saya di bumi Madinah, sebenarnya saya tidak terfikir untuk sampai ke sini, hanya menjadi impian saya di usia 40-an baru mahu menjejakkan kaki di sini apabila mahu mengerjakan haji dan umrah. Rezeki Allah pada manusia siapa yang tahu, Allah telah mempercepatkan saya untuk sampai ke sini di usia yang agak muda.

Apa-apa pun perancangan Allah kepada manusia tidak siapa yang tahu, apa yang lebih penting kita hanya berusaha. Travelog ini mudah-mudahan menjadi permulaan dan inspirasi buat saya apabila kembali ke tanah air untuk meningkatkan bakti dan amal kepada agama dan keluarga.




No comments:

Post a Comment