Sunday 19 May 2013

Dun Penaga, 5 tahun lagilah.


Statistik PRU 13 Di N.01-Penaga

Penaga merupakan sebuah Dun negeri paling utara di Pulau Pinang yang mempunyai komposisi kaum melayu sebanyak 91% dan hanya 9% kaum cina sahaja.

Sebagai seorang yang telah bermastautin hampir 14 tahun di Dun Penaga ini, maka saya terpanggil untuk menulis satu artikel ini buat tatapan rakan-rakan, guru-guru, dan jiran-jiran yang sekarang ini masih bermastautin di Dun Penaga.


Penulisan saya kali ini lebih berkisar tentang perbahasan dalam konteks politk di Dun Penaga, kerana saya mersakan Penaga merupakan satu kawasan yang perlu diambil perhatian dalam menuju era politk matang.

Menuju era politik matang, kita seharusnya kaya dengan idea-idea pembawakan, seperti pemantapan modal insan, hub ilmu, ekonomi masyarakat, pusat kegiatan penduduk dan lain-lain lagi. Maka saya merasakan teras negara berkebajikan dalam tag line Pakatan Rakyat adalah kaedah yang paling baik untuk menuju era politik matang.

Persoalannya bagaimanakah, perincian yang perlu dilakukan oleh Pakatan Rakyat yakni Pas untuk memastikan agenda berkebajikan ini sampai ke peringkat dasar.?

Terlebih dahulu saya ingin menegaskan tulisan saya ini merupakan pendapat peribadi dan tidak mewakili suara parti dalam PAS. Agenda negara berkebajikan yang saya maksudkan ini adalah bersifat fokal iaitu hanya berkisar di Dun Penaga sahaja, dan tidak merangkumi agenda berkebajikan Pas pusat seperti yang kita sudah maklumi. 

Untuk memenangi hati pengundi Dun Penaga saya merasakan agenda politik matang mahupun agenda negara berkebajikan perlu dilaksanakan secara berkala walaupun kemenangan di Dun Penaga buat pakatan tidak diketahui bila masanya. Beberapa penambahbaikkan yang saya berpandangan perlu dilakukan oleh PR Penaga bagi memastikan idealisme yang diperjuangkan oleh kita sampai ke akar penduduk di sini.


Demografi Penduduk Penaga

Rata-rata penduduk di dun ini bekerja sebagai nelayan, pesawah, guru dan pekerja kilang. Boleh saya katakan pekerjaan di dun ini belum lagi mencapai tahap peringkat esekutif yakni mereka ini berpendapatan sederhana dan miskin. 

Berbeza dengan pengundi luar di dun ini, kerana kebanyakan mereka bekerja di bandar dan kembali ke dun ini untuk membuang undi. Maka saya berpandangan, golongan ini adalah terdiri daripada mereka yang berpendatan lebih lumayan, kerana pekerjaan mereka telah mencapai tahap esekutif di samping kehidupan suami isteri yang bekerja. 

Jadi sebab itu dengan bantuan BRIM yang diberikan oleh BN, mudah untuk memancing pengundi dalam berbanding pengundi luar kerana mereka memerlukan duit untuk menyara atau menambah pendapatan tahunan keluarga.

Tahap Pendidikan Penduduk Dun Penaga

Berbicara dengan tahap pendidikan di dun ini, kita dapat bahagikan kepada dua kategori. Kategori yang pertama adalah pengundi dalam dun itu sendiri iaitu pengundi yang bermastautin di kawasan ini. 

Berdasarkan pekerjaan mereka, dapat dinilai bahawa penduduk di sini kebanyakannya memiliki sijil SPM, diploma dan paling tinggi pun hanya Ijazah. Manakala pengundi luar di dun ini kebanyakannya memiliki sekurang-kuranya Ijazah. 

Cuma majoriti penduduk di sini memiliki diploma dan ke bawah. Jadi ruang lingkup untuk penduduk di sini berfikir mengenai politik adalah terhad, melainkan mereka hanya nampak apa yang ada di depan mereka, maka itulah yang mereka akan nilai dan tafsir di samping akses maklumat juga adalah terbatas seperti penggunaan internet dan jauh dari bandar utama di Pulau Pinang.

Pemahaman Agama

Suka saya menyentuh perkara yang berkaitan dengan agma islam bagi dun ini kerana seperti yang saya katakan komposisi penduduk di dun ini 91% adalah masyarakat melayu muslim. 

Biarpun komitmen agama seseorang kita tidak boleh mempertikaikan, tetapi saya suka membicara perkara berkaitan dengan pemahaman agama penduduk di dun ini. Islam itu dilihat dari kaca penduduk di sini sekitar ibadat khusus seperti solat, bacaan yasin, puasa, dan zakat. 

Kebanyakan mereka yang berpegang kepada pendirian ini boleh saya katakan adalah pengundi UMNO. Sukar untuk menembusi pemikiran golongan seperti ini bila mana untuk membahaskan islam secara siasah(pengurusan negara), kerana mereka masih di takuk pemikiran yang lama, iaitu islam itu ibadat khusus dan bukan pengurusan masyarakat, (social engineering)

APA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH KITA AHLI PAS DI DUN INI

Seperti yang saya katakan sekarang kita telah menuju politik matang yakni kaya dengan idea-idea pembawakan ataupun alternatif pembawakan daripada lawan kita iaitu UMNO. 

Kita tidak mahu lagi mengamalkan politik hentam-menghentam kerana sudah kita maklumi UMNO seperti bahtera yang hampir tenggelam iaitu keburukannya sudah ramai ketahui. 

Di sini saya sertakan pandangan peribadi saya untuk dilakukan oleh kita ahli PAS di dun ini.

a. Penyusunan semula UPU (unit pengurusan peti undi) atau markaz-markaz PAS yang statik

UPU hanya ditubuhkan semula bila mana hampirnya piliha raya. Tindakan ini dikira wajar kerana ahli PAS akan memfokuskan gerak kerja parti. Cuma pemantaun berkala diperlukan bagi memastikan UPU berperanan sebaiknya,  sekurang-kurangnya kelengkapan IT, seperti penggunaan komputer dan internet, program-program yang lebih kreatif yang bukan sahaja memfokuskan kepada ceramah kelompok, tetapi program-program berbentuk kesihatan dan kesukanan misalnya.

Berbeza dengan penubuhan markaz, kerana markaz ditubuhkan secara statik yakni penubuhan ini adalah tidak boleh ditiadakan, atau diwujudkan semasa hampirnya pilihan raya. 

Penubuhan markaz adalah pusat sebaran maklumat, pusat sebaran ilmu, atau pusat sebaran dakwah kepada masyarakat yang berada di sekitar kawasan ini, agar mereka dapat memahami perjuangan PAS. 

Di samping itu markaz berperanan untuk mengetahui keadaan demografi penduduk di sekitar ini, seperti ketegaran kadar kemiskinan, pekerjaan masyarakat, bencana alam, minat penduduk di sini dan sebagainya.

Untuk mewujudkan pusat markaz yang tersusun di setiap kawasan di dun ini, maka ia memerlukan latihan khusus pimpinan PAS Penaga kepada jundi-jundinya atau amilin-amilinnya untuk menggalas tanggungjawan yang besar ini.

b. Pemerkasaan Usrah dan aktiviti tarbiah di setiap markaz

Usrah merupakan tunjang tarbiah kepada ahli PAS untuk mengisi kemenangan dan menggalas taklif yang besar. Hampir kebanyakan markaz di dun ini saya berpandangan aktiviti usrah secara bulanan dan mingguan tidak dilakukan di setiap markaz, kalau diadakan pun, hanya menghampiri waktu piliharaya sahaja.

Maka sebab itu ramai di antara ahli PAS, hanya mengetahui jihad PAS adalah politik dengan memacakkan bendera dan kayu semasa pilihan raya. Usrah perlu dilakukan setiap minggu sekurang-kurangnya, kerana di dalam usrah ini kita akan membincangkan masalah agama dalam konteks pengaplikasian agama yang bersifat waqi", dan menyelaraskan fikrah pejuang PAS.

Aktiviti munajat lain seperti solat hajat dan tahjjud perlu dilakukan secara berjemaah di markaz, bagi membangkitkan jiwa kita yang sentiasa lalai. 

Program-program seperti rehlah(riadah) pula perlu dilakukan untuk mengeratkan hubungan sillaturrahim antara petugas PAS. Pendek kata perkara ini dapat dilaksanakan dengan mengadakan taqwim tahunan markaz, dan mempunyai petugas PAS yang cukup terlatih untuk menghidupkan markaz PAS.

c. Pemantapan aktiviti sukan dan kebudayaan penduduk

Dua isi yang saya tuliskan di atas tadi hanya bersifat internal(dalaman), iaitu lebih memfokuskan kepada ahli PAS itu sendiri dan bukannya lagi madu', kerana bagi saya untuk sampai keperingkat madu kita mestilah terlatih dari dalam hingga mampu sampai ke peringkat sasaran. Perubahan itu bermual dari dalam ke luar.

Pemantapan aktivti sukan dan kebudayaan ini boleh dilakukan dengan mewujudkan sukan tahunan dun Penaga. Hanya tiga aktiviti sukan terbesar yang saya rasakan boleh digiatkan semula berdasarkan minat penduduk di sini. Ia adalah sukan tahunan bola sepak/futsal, sepak takraw dan badminton. 

Ketiga-tiga permainan ini sudah lama tidak dilakukan pertandingan tahunan, dan sekiranya dilakukan semula ia sungguh selari dengan agenda negara berkebajikan PAS. Cuma perlaksanaannya perlu diperincikan semula seperti penutupan aurat, penjagaan solat dan sebagaigainya.

Namun kesukanan ini lebih didominasi oleh kaum lelaki, kerana saya berpandangan minat kesukanan bagi kaum wanita di dun ini kurang, tetapi kaum wanita lebih gemar kepada aktiviti kesukanan bersifat keluarga seperti lari dalam guni, tiup tepung, tiup belon dan lain-lain. 

Maka PAS Penaga boleh menjadi penganjur terhadap kedua-dua aktivti yang besar ini, dan sekiranya ia dilaksankan, maka penduduk di sini mula untuk harmonis dengan ahli PAS di dun ini.

d. Pemampanan persatuan penduduk Dun Penaga

Persatuan penduduk merupakan satu kesatuan yang amat kuat dan menyeluruh untuk membawa suara penduduk Penaga, biarpun ada pandangan yang menyatakan sudah cukup untuk seorang YB dun menjadi wakil suara rakyat dun penaga. 

Kesatuan ini adalah diperlukan bagi mewujudkan jalinan kerjasama antara rakyat dan wakil rakyat bagi memastikan kesejahteraan, keamanan dan pembangunan kawasan ini digerakkan secara bersama oleh segenap lapisan masyarakat.

Maka saya berpandangan PR Penaga harus menjadi alternatif atau mereka yang mengepalai kesatuan ini bagi menggembleng usaha dan tenaga ke arah menuju negara berkebajikan ini.

Sekiranya persatuan  penduduk ini ditubuhkan, maka segala aktiviti program dapat dijalankan dengan lancar di samping penduduk di sini dapat bertukar-tukar pandangan untuk memastikan kawasan mereka sejahtera. 

e. Pemupukan kefahaman islam secara menyeluruh

Kebanyakan masjid di kawasan dun ini diketuai oleh UMNO, maka sukar ustaz-ustaz untuk mengajar ilmu islam secara menyeluruh seperti maqasid syariah, fiqh siasah dan lain-lain kerana kebanyakan pengerusi masjid lebih gemar untuk mengambil ustaz-ustaz yang hanya mengajar tentang bab solat, perkara membatalkan solat, dan haid.

Tetapi di kawasan ini terdapat surau-surau yang diketuai oleh ahli PAS, dan saya pernah datang beberapa kali ke surau-surau ini, dan memang surau ini memainkan peranan yang sangat baik sebagai pusat penyebaran ilmu seranta Penaga.

Jadi hebahan maklumat untuk mengajak penduduk ini datang sini sangat diperlukan seperti penyebaran sms yang meluas, poster, facebook dan lain-lain. 

Terdapat juga alternatif yang lain, iaitu memperbanyakkan ustaz-ustaz yang berfikrah PAS untuk memasuki masjid-masjid secara halus di kawasan ini bertujuan mengajar ilmu agama secara menyeluruh.

f. Keprihatinan kepada golongan muda

Saya berpandangan golongan muda adalah golongan yang menguasai media-media sosial network seperti facebook, youtube dan lain-lain lagi. Begitu juga golongan muda di dun ini, mereka hampir kesemuanya menguasai media sosial network. 

Maka PR Penaga perlu mengaktifkan sosial network mereka seperti facebook, blog dan website.

Selain itu anak muda di dun ini gemar dengan aktiviti permotoran. Maka arc PAS perlu memainkan peranan yang baik untuk menarik minat mereka, dengan mengadakan konvoi bulanan dan pertandingan permotoran di peringkat dun.

g. Turun padang agenda negara berkebajikan yang berkekalan

Program turun padang bukan sahaja dilakukan bila menjelangnya pilihan raya, tetapi ia harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas pilihanraya secara berterusan. Boleh saya katakan turun padang semasa menjelangnya waktu kempen adalah politik orang UMNO, dan bukannya PAS. 

Kita bukan berniat untuk memancing undi sebagai perkara utama, tetapi kita turun padang adalah berniat untuk berdakwah. Sekiranya penduduk di kawasan ini sering melihat gerak kerja kita, nescaya peluang dakwah kita akan lebih terbuka untuk bertemu dengan mereka.

Aktiviti turun padang mempunyai beberapa objektif, seperti menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, menziarahi penduduk yang sakit, beramah mesra dengan penduduk bagi mengetahui permasalahan dan kehendak mereka dan sebagainya.

Jelas aktiviti turun padang harus dilakukan secara berkala bagi memastikan PR Penaga sentiasa menjaga kebajikan penduduk di kawasan ini.

KESIMPULAN

Penulisan ini adalah salah satu pandangan peribadi saya yang mengundi dan pernah bermastautin hampir 14 tahun di dun Penaga ini. 

Pembaikan kepada apa yang tulis ini hasil daripada pemerhatian semasa saya bermastautin di sini, dan pada waktu itu tenaga dan buah fikiran yang ada pada saya belum melayakkan saya untuk bersama dengan pejuang PAS di kawasan ini, disebabkan oleh faktor usia dan keterbatasan waktu saya semasa belajar di kampus induk Bangi UKM.

Sekiranya saya kembali berada di dun ini suatu hari nanti saya ingin bersama-sama dengan mereka yang menggerakkan perjuangan PAS, terlebih lagi untuk menjadi pendokong.

Cuma saya hanya mampu memberi sumbangan kepada PAS dun Penaga sebagai pengundi luar dan penulisan artikel ini. Saya yakin dan percaya apa yang saya tuliskan ini dapat digerakkan oleh amilin yang terlatih, dan saya sudah nampak beberapa golongan muda mampu menjadi golongan yang terlatih untuk menggerakkan PAS di kawasan ini.

Biarpun kita memakan masa berbulan-bulan untuk melatih amilin ini, tetapi kesannya cukup besar dalam memberi impak kepada PAS Penaga. Maka gerakkanlah golongan pemuda di kawasan ini untuk mejadi sebahagian mereka-mereka yang terlatih.

Al-Faqir Mohd Faizal Bin Ahmad
~Membangun Bersama Islam~








2 comments: