Thursday 3 December 2015

Di Mana Salahnya Kritikan Terbuka


Sepanjang ketamadunan negara Islam bertapak ia telah menunjukkan kepada kita bahawa pemimpin Islam telah dihadapkan dengan pelbagai kritikan tertutup dan terbuka. Malah apabila kritikan terbuka itu diadakan pemimpin mampu menyediakan jawapan kepada rakyatnya sehingga selepas itu kepercayaan rakyat bertambah kepada pemimpin tersebut.

Jika pemimpin tersebut tidak mampu menjawab soalan tersebut dengan baik, maka mereka akan dipecat daripada jawatannya. Islam menganggap bahawa kepimpinan merupakan satu amanah, maka disebabkan itu mereka akan digugurkan dari jawatan kepimpinan tersebut jika terdapat aduan yang membuktikan mereka ini tidak bertanggungjawab.

Saidina Ali bin Abi Talib berhadapan secara terbuka dengan kumpulan yang menuntut kes pembunuhan Saidina Uthman disegerakan secepat mungkin. Beliau berdialog secara terbuka dengan kumpulan tersebut untuk memberikan jawapannya kepada mereka.

Beliau berpandangan keadaan umat Islam pada ketika itu tidak stabil lantaran beliau baru sahaja menduduki kerusi khalifah. Selain itu terdapat kumpulan yang terlibat dalam pembunuhan Uthman mengambil kesempatan untuk berbaiah kepada beliau semasa perlantikan tersebut. Ia dijawab dengan penuh berani dan berprinsip oleh Saidina Ali. Pendekatan beliau menjawab terlebih dahulu segala persoalan sebelum melakukan sesuatu tindakan.

Cerita Said Bin Amir seorang gabenor di jajahan Islam menerima kritikan terbuka daripada rakyat bertanyakan tentang hal kelewatan beliau memasuki memasuki pejabat, sering pengsan dan tidak memasuki pejabat sehari dalam sebulan.

Said menjawab semua kritikan terbuka tersebut di depan Khalifah Umar dengan memberikan jawapannya. Beliau datang lewat ke pejabat kerana beliau tidak mempunyai pembantu untuk membuat sarapan pagi kepada keluarganya. Maka disebabkan itu beliau mengambil tanggungjawab untuk menyediakan sarapan terlebih dahulu kepada keluarganya sebelum memasuki pejabat.

Berkenaan persoalan mengapa beliau sering pengsan ini jawapan beliau kepada rakyat. “Aku telah menyaksikan pembunuhan Khubaib bin Adiy, kala itu aku masih musyrik, dan aku melihat orang-orang Quraisy memotong-motong badannya sambil berkata, “Apakah kamu ingin kalau Muhammad menjadi penggantimu?” maka ia berkata, “Demi Allah aku tidak ingin merasa tenang dengan isteri dan anak, sementara Muhammad tertusuk duri…Dan demi Allah, aku tidak mengingat hari itu dan bagaimana aku tidak menolongnya, kecuali aku menyangka bahwa Allah tidak mengampuni aku… maka akupun jatuh pingsan.”

Menegnai jawapan kepada persoalan beliau tidak memasuki pejabat sehari dalam sebulan kerana beliau hanya mempunyai baju sehelai dan mencucinya setiap sehari dalam sebulan dan menunggunya hingga kering!

Itu belum diambil kira lagi bagaimana halaman rumah Saad bin Abi Waqas diruntuhkan oleh arahan khalifah Umar dek kerana binaannya terlalu tinggi yang menyukarkan rakyat untuk bertemu dengan beliau.

Namun kita perlu memahami bahawa terdapat dua perkara yang berbeza antara kritikan peribadi dan kritikan pandangan atau polisi. Kritikan peribadi lebih menjurus kepada amalan atau sifat seseorang.

Sebagai contoh kita mengkritik secara terbuka Datin Rosmah disebabkan beliau tidak bertudung, anaknya tidak bertudung dan lain-lain merupakan kritikan peribadi. Sekiranya kita mengkritik beliau disebabkan kemewahan yang terlampau dinikmatinya seperti hanya membeli bag tangan dan cincin tangan jutaan ringgit itu dikira perlu untuk dikritik secara terbuka kerana mungkin duit itu adalah daripada duit rakyat dan tidak logik bagaimana seorang pemimpin itu mampu membeli barang perhiasan jutaan ringgit melainkan beliau adalah seorang ahli koprat yang berjaya sebelum menjadi pemimpin!

Apatah lagi isu seperti 1MDB, 2.6 billion, GST, dasar parti dan lain-lain yang berkait rapat dengan amanah antara rakyat dan pemimpin wajib dipersoalkan. Namun bagi kritikan peribadi adalah sewajarnya dibuat melalui teguran dalaman.

Sekiranya kita memainkan sentimen peribadi seseorang, maka sudah pasti para rasul dan nabi juga tidak terlepas dari kekhilafan ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim yang mana bapanya sendiri seorang pembuat berhala.

Nabi Luth juga mempunyai isteri yang derhaka kepada perintah Allah dan Rasul yang mana beliau bersubahat dengan penduduk kampung untuk menangkap tetamu nabi Luth iaitu malaikat yang berupa manusia. Nabi Nuh juga terpalit dalam permasalahan ini kerana ada di antara anak-anaknya tidak beriman dengan risalah yang dibawa oleh baginda sendiri!

Bagaimana mungkin seseorang tersebut menolak kritikan terbuka kerana di dalam negara moden yang memakai sistem demokrasi ia menunjukkan satu konsep kritikan terbuka iaitu menjurus kepada check & balance kepada pemimpin dan kerajaan supaya dasar yang ingin dilaksanakan kerajaan tidak tersasar daripada menjamin kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat.

Tambahan pula sesi ucapan, kritikan, perbahasan dalam parlimen ditayangkan di TV secara langsung dan boleh didengari oleh rakyat seluruh dunia menunjukkan satu ciri-ciri kritikan terbuka!

Penggunaan hujah untuk tidak membenarkan kritikan terbuka adalah fenomena untuk melindungi pemimpin parti. Kebanyakan ahli parti diberikan arahan supaya menggunakan saluran dalaman untuk menasihati pemimpin parti. Baiklah sekiranya saluran dalaman telah digunakan dan tidak mendapat perhatian, apa langkah seterusnya?

Adakah kita tidak boleh mempersoalkan polisi seseorang pemimpin? Rasul dan nabi pun boleh mempersoalkan perkara yang diragui oleh mereka kepada Allah, apatah lagi sesama manusia. Bukankah pertanyaan akan menambah keyakinan?

Perkara pokok yang paling penting sekiranya majoriti rakyat atau ahli parti sudah membuat kritikan terbuka terutamanya berkaitan soal polisi, maka wajarlah dikaji balik pendekatan yang digunakan. Bak kata orang melayu “kalau tak nak disoal, buat apa buat!”


No comments:

Post a Comment