Saturday 19 July 2014

Solidariti Untukmu GAZA

"Abang Shahril, musuh kita zionis itu memang kuat, sampai satu tahap kita tidak boleh mengalahkan mereka lagi." Saya memulakan perbualan dengan abang Shahril, senior yang lebih berumur daripada saya di Jubail, Saudi Arabia.

Zionis itu apa yang mereka tidak ada untuk memenangi pertempuran, sistem keselamtan udara yang canggih, cengkaman ekonomi terhadap seluruh dunia, kelengkapan teknikal dan tektikal yang sangat canggih, mana mungkin kita mampu menewaskan mereka.

Memang setakat ini tidak ada lagi negara umat islam yang mampu menyalurkan bantuan kelengkapan dari segi teknikal dan tektikal ketenteraan kerana kebanyakan kita menjadi pengguna kepada Amerika Syarikat dan Israel terhadap perkara tersebut.


Sengaja saya menganggap zionis itu memang kuat dan hampir tidak dapat dikalahkan, kerana lebih baik kita menganggap sedemikian supaya sekurang-kurangnya kita tidak terlalu berada di dalam zon selesa atau tidak mempedulikan warga Gaza yang setiap hari dibedil oleh ribuan peluru.

Ya, memang janji Allah peperangan di Gaza di akhirnya akan dimenangi oleh umat islam, tetapi saya mahu membawa kita kepada satu realiti yang benar yang kita umat islam ini lemah dan sangat lemah.

Zionis adalah zionis yang diceritakan dalam Al-Quran, mereka memang kuat, dan untuk kita umat islam memenangi pertempuran ini, juga memerlukan muslim yang tulen iaitu muslim yang benar-benar muslim.

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.[Al-Isra' 17: 7]

Hanya muslim yang tulen mampu mengalahkan zionis tulen. Namun bila kita dengar sahaja negara islam, realitinya adalah seperti pelampau agama(extremis), keobsesan terhadap perbezaan mazhab, perpecahan di kalangan ahli gerakan islam, kepelbagaian jemaah dalam menegakkan islam, sifat ketidaketerbukaan apatah lagi kemunduran negara umat islam untuk memajukan negara dan juga kejahilan umat islam untuk menuntut ilmu yang menyeluruh dunia dan akhirat.

Yang kita tahu melebel orang seperti "aku lebih islam, kau liberal, jemaah aku lebih islamik, jemaah kau lari dari islam, kau wahabi, aku salafi" dan lain-lain. Memang terlalu banyak perbezaan islam yang perlu kita lalui, sehingga kita lemah disebabkan perbezaan dalam agama.

Perbezaan tidak akan selesai, dan kita tidak boleh jadikan manusia itu sama dalam pandangan kehidupan dan agama. Yang ada dan perlu kita lakukan adalah mengurangkan perbezaan pandangan ini.

Umat islam kebanyakannya tidak mampu untuk menghantar tentera, dan kelengkapan senjata untuk mempertahankan Gaza kerana kita belum bersedia ke arah itu disebabkan kebanyakan negara Islam masih lemah solidariti, politik, kelengkapan teknikal dan tektikal untuk mempertahankan Gaza.

Yang kita mampu adalah dengan menerusi jalan-jalan yang sangat halus dengan menyalurkan kewangan melalui NGO-NGO kebajikan seperti Muslim Care, Aqsa Syarif dan lain-lain. Ini merupakan jalan selamat dan nafas panjang untuk menjadi bukti kita di depan Allah kelak dalam usaha untuk mempertahankan Gaza. 

Disebabkan kelemahan umat islam berpunca daripada kepimpinan negara Islam itu sendiri, maka masih ada jalan lain bagi sebilangan mereka yang mahu menegakkan Islam menggunakan jalan-jalan halus ini untuk mempertahankan Gaza.

Untuk menjadi muslim tulen ia bukan sahaja dengan percakapan yang berapi rapi dalam kuliah, khutbah, demonstrasi dan lain-lain, apatah lagi apa yang kita cakap itu adalah percakapan yang kosong. Tetapi ia adalah nafas panjang dalam sebuah perancangan membebaskan bumi Gaza dari zionis laknatullah. 

-PrayforGaza- 










1 comment:

  1. Semoga kita dapat pengajaran dari apa yang berlaku. Betapa bertuahnya kita yg tinggal di Malaysia.

    ReplyDelete