Friday 10 August 2012

Suami Isteri Yang Tidak Bekerja

"Dah dapat kerja belum paksu.?"

"Sudah, cuma dah berhenti daripada kerja tempoh hari."

"Habis tu kau sekarang buat apa.? Sedang mencari kerja baru yang lebih sesuai."

Isteri kau sudah bekerja?
 
"Belum lagi, setakat ni menjadi suri rumah sepenuh masa membantu emak menjahit dan menjual kuih sempena bulan ramadhan."

Alhamdulillah genap tiga bulan saya dan isteri sudah mendirikan rumah tangga dalam keadaan masih lagi belum bergelar graduasi secara keseluruhan.

Sungguh perkahwinan itu merupakan tanggungjawab yang besar, dan ia bertambah berat apabila berkahwin sewaktu bergelar pelajar. Izhar sekali tidak sama bagi mereka yang mendirikan rumah tangga sewaktu belajar dengan mereka yang sudah berkerjaya.

Yang belajar akan mula sibuk dengan tesis, peperiksaan akhir semester,siapkan assignment, mula berfikir kepdada perancangan keluarga dan sebagainya.

Mereka yang sudah bekerja, majoritinya mampu menyediakan keperluan asasi yang secukupnya kepada pasangan masing-masing, sedangkan lelaki dan wanita yang berkahwin semasa belajar berkemungkinan keperluan asas pun hanya memperoleh simpati daripada orang lain.

Berkahwin semasa belajar sama sahaja dengan komitmen dengan seorang pelajar, iaitu selepas tamat belajar, kita akan mencari pekerjaan, rumah, dan kereta. Maka selalunya perkara tersebut dapat dicapai selepas beberapa bulan bekerja.

Sebab itu saya dan isteri sama sahaja seperti pelajar-pelajar lain yang baru sahaja menamatkan pelajaran. Kami masih lagi berusaha untuk mendapatkan pekerjaan, rumah, kereta dan lain-lain lagi. Mungkin untuk mendapat pekerjaan pun akan mengambil masa berbulan-bulan.

Pri pentingnya buat saya dan isteri bukan menyelesaikan perkara-perkara teknikal terlebih dahulu, tetapi mendepani emosi dan psikologi buat diri sendiri, keluarga dan masyarakat yang berada di sekeliling.

Sebab itu saya menjadikan perkahwinan ini sebagai pembangunan manusia terlebih dahulu dengan melengkapi diri dan keluarga dengan pemupukan keilmuan kepada agama dan ummah serta mempelajari pengurusan emosi dalam kehidupan berumah tangga.
 
Siapa yang tidak malu mendepani ibu bapa dalam keadaan diri sendiri terutamanya suami yang tidak bekerja, mahu pula mendepani saudara-mara dalam keadaan isteri yang belum tertanggung nafkah zahirnya, melihat adik beradik yang sudah berkahwin berbincang mengenai kuasa beli kepada keperluan dan kehendak asasi dan bermacam-macam lagi tekanan emosional yang perlu ditangani dengan baik.

Bertuah apabila Allah s.w.t telah mentakdirkan pengalaman mengurus kehidupan berumah tangga dalam keadaan yang masih muda. Walaupun terdapat banyak perkara yang saya perlu belajar daripada pengalaman ini yang kadang-kadang jauh daripada pembacaan teori-teori perkahwinan sewaktu kita belum berumah tangga.

Benar Allah s.w.t telah menjanjikan rezeki yang berlimpah ruah, ketenangan dan pemupukan perasaan kasih sayang kepada mereka yang mendirikan rumah tangga, cuma Allah s.w.t sengaja mahu menguji hamba-hambaNya dengan melambatkan pemberian nikmat tersebut untuk mengetahui sejauh mana kesabaran kita terhadap ujian tersebut supaya kita terus istiqamah berusaha untuk memperoleh janji Allah itu.

Sebagai manusia saya hanya beriltizam untuk berusaha dan bertawakal supaya Allah s.w.t sentiasa memberikan perkara yang terbaik buat kehidupan beragama saya dan terus bersemangat dengan telah menghantar lebih kurang 60 resume ke Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka bagi memupuk elemen tanggungjawab sebagai orang yang kahwin muda.

Sepencarian saya untuk mendapatkan sebuah pekerjaan, banyak saya lihat bahawa kebanyakan syarikat-syarikat yang besar bukan dimiliki oleh orang Islam, dan menyebabkan saya dan sahabat mula berfikir apakah kekurangan yang dimiliki oleh umat islam di negara ini menyebabkan kita hanya tapikal untuk berfikir dengan makan gaji sahaja.

Syarikat yang berteraskan industri teknologi pastinya elemen perkauman tidak dapat dielakkan dengan masing-masing mahu mengangkat kaum sendiri dan menafikan kaum yang lain.

Mungkin terdapat banyak kekangan yang menyebabkan umat islam lemah dari segi pembangunan industri berasaskan teknologi seperti modal, rasuah, pendidikan, cuma dari sekarang kita sudah mula untuk berfikir bagi menguasai industri berasakan teknologi ini.

Soalnya sekarang ini kita sebagai umat islam bukan mahu meraih keuntungan terlebih dahulu apabila melibatkan diri dalam perniagaan, cuma kita mahu memberi peluang pekerjaan kepada umah islam supaya mereka dapat menikmati sebuah kehidupan.

Ya, kerana untuk memberi sebuah penghidupan kepada seseorang. Walaupun saya seorang graduan jurutera mekanikal yang mana kekerapan untuk seorang jurutera untuk mendapatkan pekerjaan merupakan paling tinggi berbanding bidang yang lain, itupun saya terasa kesukaran untuk mendapatkannya.

Inikan pula pelajar-pelajar lain yang mengambil jurusan-jurusan yang kurang begitu "familiar", pastinya terdapat masalah yang sangat besar apabila berhadapan dengan isu pengangguran.

Biarpun saya dan isteri masih lagi tidak bekerja, tetapi hakikatnya kami sudah bekerja sebagai langkah permulaan dengan berusaha dan berfikir untuk memberi sebuah penghidupan kepada umat islam.




1 comment:

  1. Semoga enta dimurahkan rezeki di bulan yg mulia ni..sekarang duk kt penang ka?

    ReplyDelete